BAITUL MAQDIS..KAMI MENCINTAIMU
BAITUL MAQDIS..KAMI MENCINTAIMU!!!
https://www.facebook.com/bkan.penang/posts/1601874683225906 |
MUKADIMAH
Dengan berita yang amat
mengejutkan pada pagi ini, iaitu 7 Disember 2017 Kota Baitul Maqdis telah
diisytiharkan sebagai ibu negara Israel oleh Kuasa Besar. Ia menjadi tragedi
kepada umat Islam. Sefahaman kita dan makrifah kita yang kota Baitul Maqdis
adalah milik umat Islam sejak dibuka oleh Saidina Umar al-Khattab. Hal ini
dipertahankan lagi walaupun pernah jatuh, tetapi Salahuddin al-Ayyubi telah
mengambilnya kembali. Dengan berita ini, kami mengemukakan Bayan Linnas kali
ini dengan tajuk: Baitul Maqdis..Kami Mencintaimu.
PERTAMA: APA KATA PRESIDEN
AMERIKA?
Presiden Amerika Syarikat, Donald
Trump telah mengumumkan dan mengiktiraf Kota Baitul Maqdis sebagai ibu negara
Israel. Pada masa yang sama, beliau mengumumkan pelan memindahkan pejabat
kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Trump menganggap
keputusan ini sebagai pengiktirafan secara realiti daripada aspek sejarah dan
juga era moden.
Beliau berkata: “Saya memutuskan
sudah tiba masanya untuk mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu
negara Israel. Presiden sebelum ini gagal melaksanakannya walaupun berjanji
melakukannya. Hari ini, saya melaksanakannya. Apabila saya menjadi presiden,
saya berjanji melihat cabaran global dengan mata terbuka, dengan fikiran yang
jelas. Kita enggan menerima sebarang ibu negara Israel tetapi hari ini, kita
akhirnya menerima hakikat itu bahawa Baitulmaqdis ialah ibu negara Israel. Ia
adalah pengiktirafan sesuatu yang sudah menjadi hakikat.”
Menurut Trump, Amerika akan terus
menyokong usaha damai Israel-Palestin.
“Pada sama sama, saya meminta
semua pihak menghormati status Baitul Maqdis sebagai bandar suci. Baitulmaqdis
perlu kekal sebagai tempat penganut Yahudi bersembahyang di Dinding Barat,
penganut Kristian berjalan di ‘Stations of the Cross’ dan umat Islam
bersembahyang di Masjidil al-Aqsa.”
Menurutnya lagi, kerja pemindahan
kedutaan akan dilakukan segera dengan melantik arkitek, jurutera dan perancang.
KEDUA: REAKSI TOKOH
Kami nyatakan di sini, reaksi dan
pandangan daripada beberapa orang tokoh:
Presiden Turki, Recep Tayyib
Erdogan
Beliau mengancam untuk memutuskan
hubungan diplomatik dengan Israel. Baitul Maqdis merupakan garis sempadan untuk
orang Islam. Kami (Turki) sekali lagi memohon supaya Amerika Syarikat tidak
mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Keputusan tersebut boleh
‘membakar’ rantau ini.
Presiden Mesir, Abdel Fattah
al-Sisi
Beliau memberi amaran bahawa
tindakan Donald Trump akan mengurangkan perdamaian di Asia Barat. Selain itu,
dalam satu kenyataan, Abdel Fattah menyatakan sokongan padu terhadap Palestin
untuk melindungi Baitul Maqdis.
Raja Arab Saudi, Raja Salman
Abdul Aziz al-Saud
Beliau menyatakan, keputusan
tersebut akan menjejaskan rundingan damai dan meningkatkan tekanan di Palestin.
Arab Saudi menyokong rakyat Palestin serta hak mereka dan keputusan
pengiktirafan tersebut hanya akan menimbulkan kemarahan penduduk islam di
seluruh dunia.
Raja Jordan, Raja Abdullah II
Beliau menyatakan bahawa
keputusan Presiden Amerika, Donald Trump untuk membuat pengiktirafan tersebut
hanya akan menjejaskan kestabilan dan keselamatan serantau. Beliau turut
menegaskan bahawa Baitul Maqdis adalah kunci untuk mencapai keamanan dan
kestabilan di Palestin serta di seluruh dunia. Jika Amerika Syarikat masih
dengan keputusan untuk mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel,
maka tindakan itu akan mengguris hati komuniti Islam dan Kristian.
Bagi menunjukkan kesatuan Negara
Jordan tersebut, Raja Abdullah menegaskan bahawa Jordan sedia membantu Palestin
menghadapi sebarang situasi yang mungkin timbul akibat pengumuman pengiktirafan
tersebut.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas
Beliau telah memberi amaran
bahawa tindakan Amerika itu akan mencetuskan akibat bahaya kepada pelbagai
pihak terutamanya dalam usaha damai melibatkan Palestin dan Israel, kestabilan
dan keselamatan negara itu dan dunia. Tindakan terkutuk dan tidak boleh diterima
ini menjejaskan semua usaha damai. Tindakan demikian hanyalah untuk mencetuskan
konflik di rantau ini kepada perang agama. Langkah-langkah ini yang kami tolak
dan enggan terima mencipta kekangan yang sengaja diadakan terhadap semua usaha
mewujudkan keamanan. Ia juga mencerminkan penarikan diri Amerika Syarikat dari
peranan yang telah dipegangnya pada masa lalu dalam mengawasi proses
perdamaian.
Ketua Kumpulan Hamas, Ismail
Haniyyeh
Beliau menegaskan bahawa penduduk
Palestin tidak akan membenarkan konspirasi itu dilaksanakan dan mereka akan
mempertahankan tanah air dan kawasan suci umat Islam.
Presiden Perancis, Emmanuel
Macron
Beliau menegaskan status Baitul
Maqdis hanya boleh ditentukan antara Palestin dan Israel dalam rangka
perundingan di bawah naungan PBB. Beliau berkata, dia telah menyatakan dengan
jelas ketika bertemu dengan Presiden Trump. Status Baitul Maqdis melibatkan
soal keselamatan antarabangsa dan komuniti antarabangsa. Beliau menegaskan
lagi, keputusan ini melanggar undang-undang antarabangsa dan semua resolusi
PBB. Perancis akan terus komited terhadap keamanan dalam rantau ini dan tidak
akan mengubah pendirian mereka untuk melihat dua negara ini (Palestin dan
Israel) mencapai persetujuan.
Setiausaha Agung PBB, Anthonia
Guterres
Sebarang tindakan mencemar
rundingan yang masih berlangsung antara Palestin dan Israel adalah melanggar
undang-undang antarabangsa. Menurutnya, sejak hari pertama pertikaian ini
dibangkitkan di New York, PBB menetapkan hanya rundingan langsung kedua-dua
belah pihak yang akan diiktiraf dunia. Dari hari ke hari, sebagai setiausaha
agung PBB, beliau secara konsisten menegaskan bahawa sebarang langkah
unilateral tidak akan diterima kerana ia akan menjejaskan prospek perdamaian
bagi Israel dan Palestin. Baitul Maqdis adalah isu status akhir yang mesti
diselesaikan melalui rundingan langsung antara kedua-dua belah pihak
berdasarkan resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung yang relevan.
Tegasnya lagi, tidak wujud ‘Pelan B’ dalam pelan damai dan rundingan terbabit.
Diplomat Kesatuan Eropah,
Federica Mogherina
Beliau berkata, sebarang tindakan
yang akan menjejaskan usaha damai untuk membentuk dua negara berasingan bagi
Israel dan Palestin perlu dielakkan sama sekali.
Menteri Luar Britain, Boris
Johnson
Beliau turut melahirkan rasa
bimbang terhadap keputusan Trump. Katanya, Baitul Maqdis perlu menjadi
sebahagian daripada penyelesaian muktamad dalam rundingan pelan damai
Israel-Palestin.
Menteri Luar Jerman, Sigmar
Gabriel
Beliau melahirkan rasa kebimbangan
mengenai perkara tersebut dan menegaskan bahawa apa jua keputusan AS untuk
mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel tidak akan meredakan
konflik yang berlaku malah memburukkan lagi keadaan tersebut.
Pope Francis
Menurut Beliau, Baitul Maqdis
adalah bandar yang unik, suci kepada orang Islam, Yahudi dan Kristian. Katanya
lagi adalah penting untuk mengekalkan status quo Baitul Maqdis dan mengelakkan
daripada menambah elemen ketegangan baharu di dunia yang sudah bergolak akibat
begitu banyak konflik kejam.
KETIGA: KENYATAAN MALAYSIA
Perdana Menteri Malaysia, Dato'
Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Malaysia menolak sekeras-kerasnya
usaha menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.
Beliau menyatakan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam apa-apa jua
hal yang melibatkan penghinaan ke atas kesucian Islam.
"Pendirian ini kita ambil
bukan sahaja di tanah air ini, bahkan di seluruh pelusuk dunia. Jadinya,
apabila kita dikejutkan dengan usaha Amerika Syarikat untuk mengiktiraf satu
daripada tiga tanah suci umat Islam sebagai ibu negara Israel, saya yakin dan
percaya, mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai
bila-bila.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Beliau berkata, anggota
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu senada dalam membantah cadangan Amerika
Syarikat (AS) dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Ahli
OIC perlu bertindak pantas terhadap perancangan pentadbiran Presiden Donald
Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel kerana ia boleh
mencetuskan krisis besar di rantau Asia Barat.
Kata beliau: "Kami memandang
serius perkembangan ini dan saya harap anggota OIC sekata dalam bersuara untuk
membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha Amerika Syarikat mengiktiraf
Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Negara anggota OIC mesti melihat perkembangan
ini melangkaui isu Palestin kerana ia adalah isu antarabangsa.
Presiden Parti Islam Se-Malaysia
(PAS), Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Beliau berkata, Parti Islam
Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis
sebagai ibu negara Israel yang disifatkan mencabar kesabaran umat Islam dan
mencemarkan kesucian bumi Al-Quds.
Beliau juga berkata, melalui
kerajaan Malaysia, PAS mengharapkan Perdana Menteri menghantar surat bantahan
kepada Rumah Putih dan memanggil segera Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia
bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan rakyat Malaysia. Baitul Maqdis adalah
titik kesatuan umat Islam berpaksikan syariat Islam yang adil.
Kementerian Luar Negeri, Malaysia
Wisma Putra berpendapat, pengiktirafan
atau usaha memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqdis merupakan
satu pencerobohan terhadap bangsa Arab dan umat Islam. Pengiktirafan berkenaan
juga adalah satu pencabulan kepada hak orang Islam da Kristian. Sebarang
percubaan untuk mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, menubuhkan
atau memindahkan mana-mana misi diplomatik ke bandar itu dianggap sebagai
pencerobohan bukan sahaja terhadap arab dan umat Islam tetapi juga melanggar
hak-hak umat Islam dan Kristian.
Keputusan itu juga sekaligus
menamatkan usaha mencari penyelesaian kepada isu Palestin. Ini akan membawa
kesan yang serius bukan sahaja terhadap keselamatan dan kestabilan rantau arab,
tetapi turut membangkitkan kemarahan dan menyukarkan usaha memerangi keganasan
secara global. Malaysia berpegang kepada pendirian, Baitul Maqdis adalah
perjuangan Palestin dan meminta semua anggota PBB tidak mengiktiraf sebarang
perubahan kepada sempadan sebelum 1967 termasuk status Baitul Maqdis.
Pengiktirafan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel tidak menggambarkan
keadaan yang sebenar sebaliknya sekadar sokongan kepada dasar Israel yang
bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
KEEMPAT: MENYENTUH ISU PALESTIN
SUPAYA DIBEBASKAN DARIPADA CENGKAMAN ISRAEL
Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi
begitu prihatin terhadap permasalahan Palestin yang mana beliau tidak
menganggap isu tersebut sebagai isu negara dan rakyat Palestin sahaja atau
bangsa Arab semata-mata tetapi ini ialah isu umat islam sejagat. Justeru,
seluruh umat Islam sewajarnya dikejutkan berkenaan isu ini serta bahayanya jika
ia dibiarkan begitu sahaja.
Dengan sebab itulah, syeikh
melalui banyak karya dan ceramahnya menyatakan sejarah pahlawan Islam seperti
Nuruddin dan Salehuddin. Begitu juga di dalam kitabnya yang masyhur:
al-Muslimun dan Pemasalahan Palestin.
Firman Allah SWT:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ
الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ
مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ (1) وَآَتَيْنَا مُوسَى
الْكِتَابَ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِبَنِي إِسْرَائِيلَ أَلَّا تَتَّخِذُوا مِنْ
دُونِي وَكِيلًا
Maksudnya: “Maha Suci Allah, yang
telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke
Al-Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah
Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan Kami berikan kepada Musa Kitab
(Taurat) dan Kami jadikan Kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil (dengan
firman), "Janganlah kamu mengambil penolong selain aku”.
(Surah al-Isra’: 1-2)
Al-Quran Membuktikan Keburukan
Yahudi
Dalam al-Rahiq al-Makhtum
disebut: “Dalam surah Al-Isra’, pembaca akan melihat bahawa Allah SWT menyebut
kisah tersebut dalam satu ayat sahaja. Setelah itu Allah SWT terus menyebut
tentang keburukan dan dosa-dosa yang dilakukan oleh orang Yahudi”.
Kemudian Allah SWT memperingatkan
mereka bahawa Al-Quran ini benar-benar menunjuk jalan yang lurus. Mungkin
pembaca menyangka dua ayat ini tidak ada sangkut paut antara satu sama lain,
sedangkan bukan itu sebenarnya.
Sesungguhnya Allah SWT
mengemukakan pendekatan ini untuk memberi kefahaman bahawa peristiwa Isra’
berlaku dengan dibawa Nabi SAW ke Baitul Maqdis, kerana orang Yahudi
disingkirkan daripada menjadi pemimpin umat manusia.
Ini disebabkan mereka telah
melakukan pelbagai dosa yang menyebabkan tiada ruang untuk mereka terus menerajui
umat manusia.
Allah SWT akan memindahkan
kepimpinan ini dengan sebenarnya kepada Rasul-Nya. Allah SWT akan menyatukan
untuknya dua pusat dakwah Nabi Ibrahim A.S.
semuanya, kerana telah tiba masanya kepimpinan rohani itu bertukar daripada
satu umat kepada umat yang lain. Iaitu berpindah daripada umat yang sejarahnya
dipenuhi dengan pengkhianatan, dosa dan permusuhan kepada umat yang melahirkan
kebaikan dan kebajikan, di mana Rasul umat itu sentiasa mendapat wahyu Al-Quran
yang menunjukkannya ke jalan yang lurus.
KELIMA: FATWA DAN PENDAPAT ULAMA’
Kami kemukakan di sini beberapa
fatwa dan pendapat ulama, antaranya:
Keputusan Majma’ al-Fiqh
al-Islami
Persidangan Majma’ al-Fiqh
al-Islami pada 22-27 Disember 2001 di Kuwait memutuskan bahawa menceroboh
kehormatan orang Islam, menjajah negeri mereka, menumpahkan darah mereka, dan
menguasai harta benda serta ekonomi mereka adalah haram, wajib bagi ulama’
Islam mendedahkan hakikat ini khususnya berkenaan isu Palestin.
Bahkan wajib bagi seluruh umat
Islam dan pemerintahnya mengembalikan bumi tersebut kepada umat Islam dan
memelihara Masjid al-Aqsa daripada najis Yahudi yang menjajah bumi tersebut.
Dr Yusuf al-Qaradhawi
Beliau telah menyebut beberapa
fatwa tentang Palestin di dalam bukunya yang terkenal, al-Fatawa al-Mu’asirah,
yang antaranya:
·
Tidak harus bagi Presiden
Yassir Arafat mengugurkan hak tuntutan terhadap bumi al-Quds.
·
Haram menjual tanah kepada
musuh iaitu Israel atau menerima ganjaran atau pampasan untuk bumi Palestin
sekalipun harganya mencecah jutaan dolar.
·
Haram mengadakan hubungan
antara sheikh al-Azhar dengan al-Khakham (Ketua Agama Yahudi).
·
Haram mengunjungi Batul
Maqdis khususnya Masjid al-Aqsa selama mana dalam penguasaan Yahudi.
·
Haram berdamai dengan
Yahudi Zionis berdasarkan sikap yang ditunjukkannya untuk memusuhi umat Islam
Palestin.
KEENAM: KENYATAAN MUFTI WILAYAH
PERSEKUTUAN
Sesungguhnya, kami amat
tersinggung dan kecewa dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat tersebut. Ini
seakan satu pengiktirafan secara terbuka yang Baitul Maqdis adalah milik Israel
dan dijadikan pula sebuah ibu negara. Perasaan hampir 2 billion umat Islam
sudah pasti remuk.
Kami masih ingat kenyataan guru
kami, Syeikh Dr Mustafa Wahbah al-Zuhaili[23] ketika kami bertanya kepadanya
apa lagi cita-citanya lalu beliau menjawab: “Aku bercita-cita agar dapat solat
di Masjidil Aqsa dalam keadaan ia terbebas daripada cengkaman Israel.”
Kami mengajak umat Islam berdoa
dan bermunajat untuk bumi yang dinyatakan Tuhan:
...الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ...
Maksudnya: … yang telah Kami
berkati sekelilingnya..
(Surah al-Isra’: 1)
Pada saat yang sama, umat Islam
wajib bersatu untuk mempertahankan agama Islam itu sendiri. Semoga sebuah
natijah yang baik berpihak kepada umat Islam.
Baitul Maqdis, kami mencintaimu dan
kami akan berjuang untukmu!
Sumber rujukan :
Bayan Linnas : http://muftiwp.gov.my/…/1850-bayan-linnas-siri-ke-120-baitu…
Comments