KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW



KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Tujuan kita mempelajari Sirah Nabi adalah bukan sekadar untuk mengetahui kejadian-kejadian bersejarah yang telah dilalui oleh nabi kita Muhammad sebagaimana kita mempelajari teks-teks sejarah lain.

Di sana terdapat tujuan-tujuan yang lebih penting untuk kita mempelajari sirah Rasulullah. Apabila menghayati sirah nabi, seseorang Islam itu akan lebih memahami hakikat Islam. Ini kerana hakikat Islam itu sendiri keseluruhannya terkandung dalam keperibadian Rasulullah dan seluruh perjalanan hidupnya.

Di antara objektif utama kita menghayati sirah Rasulullah boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Memahami syakhsiah (keperibadian) Nabi Muhammmad SAW melalui riwayat hidupnya dan suasana yang dialami dalam hidupnya. Dengan menghayati syakhsiah dan kehidupan ini dapat menguatkan keyakinan kita bahawa Nabi Muhammad bukan sahaja pintar di kalangan kaumnya bahkan telah di bantu oleh bantuan wahyu yang telah diturunkan kepadanya dari sisi Allah yang maha kuasa.

2. Supaya manusia seluruhnya dapat menjadikan Nabi sebagai suri tauladan ataupun role model yang paling utama dalam setiap aspek kehidupan. Menjadikan kehidupan rasul sebagai ikutan tanpa ragu dan syak. Kalaulah manusia mencari seseorang yang boleh menjadi role model lengkap dalam setiap aspek kehidupan, mereka tidak akan menjumpainya melainkan ianya wujud dalam diri nabi Muhammad. Oleh sebab itulah Allah telah menyifatkan baginda sebagai Qudwah hasanah (contoh tauladan) bagi seluruh manusia sebagaimana firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat ke 21:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”


3. Penghayatan Sirah Nabi memudahkan kita memahami dan menghayati kandungan kitab suci (Al-Quran) dan dapat merasai kemanisan dan kehendak al-Quran. Ini kerana terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan kejadian dan peristiwa yang telah dialami oleh Rasulullah dan bagaimana Rasulullah menghadapinya.

4. Seorang Muslim dapat mengumpul sebanyak mungkin maklumat yang tepat berkaitan dengan pengetahuan Islam. Maklumat dan pengetahuan ini meliputi setiap aspek yang berkaitan aqidah, hukum hakam, akhlak dan sebagainya.

5. Menjadi contoh tauladan yang paling baik kepada pendidik dan juga pendakwah Islam dalam mendidik dan menyebarkan dakwah kepada manusia. Rasulullah adalah seorang guru, pemberi nasihat dan pendidik yang tak kenal erti jemu. Baginda Nabi telah mencuba pelbagai cara yang berkesan untuk menyampaikan dakwahnya.


Sesungguhnya kehidupan Rasulullah seluruhnya adalah role model atau pun suri tauladan yang perlu kita sanjung.

1. Baginda adalah merupakan contoh yang jelas sebagai seorang remaja dan pemuda yang baik dan berakhlak mulia sehinggalah beliau digelar al amin di kalangan kaumnya.

2. Pendakwah atau pendidik yang paling cemerlang dalam menyeru umat manusia kepada Allah Taala dengan menggunakan konsep hikmah dan mau’izah hasanah (peringatan dengan cara yang baik).

3. Seorang yang tidak pernah putus asa dalam dakwahnya. Telah mencuba pelbagai cara dan jalan untuk menyampaikan risalahnya.

4. Seorang ketua negara yang memegang kuasa politik yang paling tinggi. Mentadbir setiap urusan politik dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

5. Seorang suami misali dalam pergaulan dengan keluarga.

6. Seorang ayah yang pengasih yang teliti dalam membezakan hak dan kewajipan bagi setiap isteri dan anak-anak.

7. Seorang ketua perang yang mahir dan penuh dedikasi.

8. Sebagai seorang muslim yang teliti dan adil dalam beribadat kepada Allah, bergaul dan bergurau dengan keluarga dan sahabat-sahabatnya.

SUMBER-SUMBER RUJUKAN SIRAH
Terdapat tiga sumber utama untuk rujukan sirah dan perjalanan dakwah Nabi Muhammad serta para sahabat.

Al-Quran, As-Sunnah An-Nabawi dan kitab-kitab sirah.

1. Al-Quran merupakan rujukan utama untuk memahami sifat-sifat umum Rasulullah s.a.w. dan mengenal tahap-tahap umum dari sirah yang mulia ini. Al-Quran mengunakan dua pendekatan dalam mengemukakan sirah nabi ini iaitu dengan mengemukakan sebahagian kejadian dari kehidupan dan sirahnya seperti ayat-ayat yang menjelaskan tentang perang badar, perang uhud serta ayat-ayat yang mengisahkan perkahwinan dengan Zainab binti Jahsyi. Kedua mengomentarikan peristiwa-peristiwa yang terjadi untuk menjawab masalah-masalah yang timbul, mengungkapkan masalah yang belum jelas atau nasihat yang terkandung di dalamnya. Semua itu berkaitan dengan salah satu aspek dari sirahnya. Tetapi perbicaraan al-Quran tentang semua itu disampaikan secara umum dan terputus-putus serta penyajian secara global. Demikianlah cara Al-Quran dalam menyampaikan setiap kisah tentang para nabi dan umat-umat terdahulu.

2. As-Sunnah pula adalah rujukan kedua yang terkandung dalam kitab-kitab hadis yang muktabar walaupun pada permulaannya belum tersusun secara urutan dan sistematik kerana pada kebanyakan ulamak hadis menyusun kitab mereka berdasarkan bab-bab feqah. Di antara keistimewaan sumber kedua ini ialah bahawa sebahagian besarnya isi riwayatnya dengan sanad yang shahih yang bersambung dengan Rasulullah seperti peristiwa haji al-Wada’ yang diriwayatkan secara terperinci. Antara buku rujukan terbaik dalam kategori ini ialah buku Al-Asas fi Sunnah (Bahagian Sirah) oleh Said Hawa yang mana beliau telah menyusun hadis-hadis dan membahagikannya mengikut urutan masa hayat Rasulullah dari kitab-kitab hadis yang muktabar.

3. Sumber ketiga ialah kitab-kitab sirah yang ditulis oleh pengkaji sirah nabi seperti Ibn Hisham yang terkenal dengan kitab sirah Ibn Hisham. Dalam kategori ini, terdapat kitab yang hanya membicarakan tentang peperangan yang disertai oleh Rasulullah seperti kitab Maghazi Urwah bin Zubir, kitab yang hanya membicarakan tentang mukjizat nabi seperti Dala’il al-Nubuwwah oleh Ibn Qutaibah, kitab yang membicarakan fizikal dan cara hidup nabi seperti Kitab As-Syama’il Al-Muhammadiah oleh Imam At-Tirmidzi.

Pada zaman sekarang, terdapat buku-buku berkaitan sirah dalam bahasa Melayu sama ada ditulis oleh ulama’ di sini atau terjemahan. Antaranya buku terjemahan sirah yang boleh didapati di pasaran ialah Fiqh Sirah oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Sejarah Nabi oleh Abul Hassan Ali al-Nadwi. Kisah-kisah Nabi Muhammad telah tersebar luas ke alam Melayu dan kisah ini digubah kembali ke dalam bahasa Melayu dalam bentuk hikayat seperti Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Kejadian Nur Muhammad, cerita Nabi Lahir, Hikayat Khatim al-Nabi dan Hikayat Kejadian Baginda Rasulullah. Kitab-kitab ini merupakan penyaduran, ringkasan dan terjemahan dari bahasa Arab dan bahasa Parsi.

Antara kepentingan sirah kepada kehidupan manusia dan pembinaan umat ialah kajian sirah dapat melengkapkan kefahaman tentang akidah kerana beriman kepada nabi menuntut supaya kita lebih memahami maklumat-maklumat diri Baginda s.a.w. Keduanya adalah menunaikan perintah Allah yang menyuruh supaya umat Islam mengikuti contoh teladannya.

Oleh itu, melalui sirah umat Islam mendapat gambaran yang lebih lengkap dan terperinci tentang kehidupan Rasulullah. Di samping itu, ia dapat membantu dan mempermudahkan lagi mempelajari ilmu-ilmu lain seperti tafsir dan sejarah Islam. Ia juga menonjolkan nilai-nilai keinsanan yang praktis yang dilakukan oleh Rasulullah untuk ikutan generasi muda kini supaya Rasulullah sentiasa menjadi qudwah mereka sepanjang hayat.



“Pedoman untuk ibu ayah, sahabat-sahabat dan guru-guru tercinta”

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

“RIBAT UKHUWAH TEGUH WEHDAH”



Disediakan oleh,
Unit Penerbitan & Penerangan Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir sesi 15’16


Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL