Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden





Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden
Oleh : Nurhannani Husna Binti Shaidan




        Menurut Kamus Dewan Edisi Empat teknologi merujuk kepada aktiviti atau kajian yang menggunakan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan, sains gunaan dan sebagainya. Dalam pada itu, teknologi ini juga membawa maksud kaedah atau proses menangani sesuatu permasalahan elektronik yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat telekomunikasi misalnya teknologi komputer dan komunikasi yang berasaskan kajian saintifik termaju seperti peralatan elektronik yang canggih. Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak kemajuan teknologi seiring pembangunan yang gah di persada dunia. Namun demikian, kita acap kali tersentak dengan permasalahan sosial yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri yang tidak bertanggungjawab dalam penyalahgunaan teknologi. Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang menjadi fokus perbincangan akan dihuraikan secara lebih terperinci.
  
      Arus teknologi yang semakin berkembang ini telah banyak memberi maslahah dalam kehidupan seharian kita. Pelbagi peralatan telah dinaiktaraf untuk memudahkan kehidupan kita. Misalnya, mesin basuh pakaian, mesin basuh pinggan, peti ais dan sebagainya. Pastinya setiap rumah di Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai mesin basuh pakaian dan peti ais. Para suri rumah tidak lagi perlu mengerah tenaga untuk mencuci pakaian. Dalam perspektif Islam pula, Allah berfirman di dalam Surah Al-Asr, “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian”. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan mengenai masa. Apabila semua pekerjaan telah menjadi mudah, maka masa seseorang itu dapat digunakan dengan lebih efisien untuk melakukan perkara yang berfaedah. Tamsilnya, membaca kitab suci Al-Quran, berzikir, meluangkan masa bersama keluarga dan sebagainya.



        Lanjutan daripada huraian di atas, kemudahan teknologi maklumat dan telekomunikasi telah memberikan pelbagai manfaat kepada kita. Kewujudan aplikasi-aplikasi seperti Skype, Yahoo Messenger, emel dan sebagainya bak cendawan tumbuh selepas hujan telah memudahkan komunikasi jarak jauh dan penyebaran maklumat ke serata dunia. Jika dahulu, telefon, surat khabar dan televisyen merupakan medium utama penyebaran segala maklumat. Kini, pelbagai teknologi komunikasi diperkenalkan bagi memudahkan kita untuk berhubung dengan sesiapa sahaja di serata dunia. Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat ini menjadikan mesyarakat lebih cakna mengenai pergolakan dunia seperti yang berlaku di Uyghur, Kashmir, Gaza dan negara-negara yang lain.



        Kemunculan teknologi di alaf baru ini telah banyak memberikan cabaran kepada umat Islam kerana maklumat yang diperoleh tidak mampu disekat apatah lagi ditapis terlebih dahulu. Hal ini kerana, kemajuan teknologi dimonopoli oleh pihak barat, maka tidak hairanlah kemajuan teknologi ini mengikut acuan barat. Berdasarkan perangkaan pada tahun 2018, sebanyak 8,313 kes penipuan siber berjumlah kira-kira RM 300 juta direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Januari sehingga 3 Oktober pada tahun tersebut. Malahan, perkara ini telah menimbulkan kerisauan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai kes jenayah siber yang direkodkan iaitu sebanyak 10,203 kes berjumlah kira-kira RM 184 juta pada tahun 2017. Antara jenayah yang direkodkan dengan catatan yang tertinggi iaitu penipuan yang berlaku dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian indentiti dan pencerobohan data. Seyogianya, pihak syarikat telekomunikasi perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan memberikan maklumat yang diperlukan agar dapat menangani permasalahan jenayah siber ini.

        Sementelahan itu, kepincangan teknologi juga dapat dilihat dalam teknologi nuklear. Sememangnya tidak dapat dinafikan teknologi nuklear ini memberikan kebaikan namun impak negatifnya mengancam nyawa manusia. Tragedi nuklear yang berlaku di Chernobyl pada tahun 1986 di Ukraine merupakan tragedi yang paling teruk pernah berlaku. Banyak nyawa yang telah terkorban di dalam tragedi ini, malahan kesan radiasi daripada nuklear tersebut telah menular ke tiga buah negara iaitu Belusar, Ukraine dan Russia. Kesan radiasi yang didapati daripada nuklear ini menjadi asbab kepada berlakunya kanser serta penyakit-penyakit berbahaya dalam tempoh masa yang lama. Jelaslah bahawa teknologi nuklear memberi impak negatif kepada manusia.



          Sebagai menyimpul kata, janganlah kita menjadikan kepincangan yang terdapat pada kemajuan teknologi sebagai asbab untuk menolak kemajuan ini secara menyeluruh, akan tetapi kutiplah mutiara kebaikan yang terdapat di dalamnya untuk memajukan negara kita. Jika kita selami dengan lebih mendalam, kemajuan teknologi telah banyak memudahkan urusan kehidupan seharian kita. Teknologi ini dilihat bertambah maju dari semasa ke semasa. Oleh itu, sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita seyogianya mempersiapkan diri untuk menerima pembaharuan demi pembaharuan supaya kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Malahan, kemajuan ini dapat menjadikan negara kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain.




Catatan :

Esei ini telah mendapat tempat yang pertama bagi pertandingan menulis esei (akhawat) yang dianjurkan oleh Fiesta Conference Of Thaqafi (FACULTY’19) pada September yang lalu. Semoga para pembaca dapat memperoleh manfaat darinya dan tahniah kepada pemenang.


Disediakan oleh : Lajnah Penerangan Dan Penerbitan BKPPPM 18/19

"Empowering Islamic Knowledge and Thinking"
              "Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
              "Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
              "Bersatu dan Berbakti"
              "Biah Berkualiti"
              "Fikrah dan Thaqafah Islamiah"



Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL