3 Mac Hari Umat Islam - Sejarah Perlu Dipelajari

Kerajaan Uthmaniah yang berpusat di Turki tertegak selama 5 kurun, kerajaan ini berantai dari Kerajaan Abbasiah yang berpusat di Baghdad, Kerajaan Umayyah yang berpusat di Damsyik sehinggalah ia berangkai ke zaman Khalifah 4 Sahabat dan zaman Rasulullah SAW.
 
Khilafah adalah kepimpinan rohani umat Islam, ia menjaga kepentingan ummat dalam segenap segi. Khilafah juga merupakan sumber kekuatan ekonomi, politik, kemasyarakatan, dan ketenteraan.
 
Khilafah Uthmaniyah sangat ditakuti oleh musuh-musuh Islam khususnya pihak barat yang cuba menghancurkan kerajaan-kerajaan Islam.
 
3 Mac merupakan bermulanya detik yang perlu diingati oleh seluruh umat Islam, kerana detik ini merupakan detik  yang paling hitam bagi umat Islam setelah kita melihat jatuhnya sebuah empayar agung iaitu Khilafah Uthmaniyah.
 
Para pengkaji sejarah banyak menyebut bahawasanya 2 titik hitam yang memberikan kesan cukup besar kepada umat Islam iaitu:-
  • Serangan keatas umat Islam oleh tentera Tatar di Baghdad yang menyebabkan Empayar Abbasiah jatuh sehingga jumlah kematian mencecah 1 juta 800 ribu orang.
  • Kejatuhan Khilafah Uthmaniah tanggal 3 Mac 1924 yang telah dihapuskan oleh Mustafa Kamal Attaturk, maka runtuhlah Khilafah Islamiah sehingga berpecah negara-negara umat Islam dan tiada lagi naungan Islam  seterusnya umat berpecah belah. Natijahnya, umat Islam  tiada kuasa pemerintahan dan serangan pemikiran menjalar kejiwa umat Islam. Pelbagai ideologi dan bentuk pemikiran yang memusnahkan jatidiri umat
 
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir menetapkan dan menjadikan detik hitam 3 Mac sebagai “Hari Umat Islam” yang perlu diperingati oleh ahli-ahli PMRAM khususnya dan umat Islam umumnya.  
 
Detik hitam ini perlu dijadikan sebagai iktibar oleh seluruh umat Islam bahawasanya kita pada hari ini perlu bangkit mempertahankan Islam dari dipermainkan oleh musuh. Kita perlu mempersiapkan diri dari pelbagai sudut dan segenap aspek bagi membangkitkan semula roh Islam yang telah terpadam di dalam diri umat Islam. 
 
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM pada sesi 2011 ini telah melaksanakan dan menghidupkan beberapa gerak kerja untuk menjayakan agenda 3 Mac sebagai “Hari Umat Islam” ini:-
  1. Program RIBAT (Solat Subuh Berjemaah & Tazkirah Fikrah) antara pimpinan dan ahli. Bentuk tazkirah yang ditekankan bukanlah ‘pengisian sekadar biasa’, akan tetapi nilai tazkirah yang menekankan isu umat Islam dan peranan mahasiswa.
  2. Ijtimak Fasilitator PMRAM sebulan sekali yang menekankan kepada fasilitator dan ahli betapa pentingnya peranan Muzakarah Berkelompok/Usrah untuk digerakkan dan merupakan asas tarbiah kepada ahli.
  3. Perbincangan isu-isu semasa dan sejarah umat Islam yang dikendalikan oleh Unit Biah Solehah PMRAM. Antara yang kita mahukan ahli-ahli kita begitu cakna dengan isu semasa serta celik dengan sejarah umat Islam, kerana sejarah merupakan kepentingan aulawiyat/prioriti yang utama sebelum memahami sebarang isu yang melanda umat Islam.
  4. Muzakarah Berkelompok Gabunganperbincangan khusus Sirah Nabawiyah, Sejarah Empayar Agung Islam, dan buku-buku fikrah yang menambahkan thaqafah ahli. Ringkasan memahami Sirah Nabawiyah dan Sejarah Umat Islam berpandukan kitab-kitab pemikir dan ulama’ yang muktabar
  5. Melaksanakan Ta’lim Muta’allim (konsep Naqibu Nuqaba’) bagi tahun 1 dan 2 untuk memperkasakan manhaj Muzakarah Berkelompok di setiap peringkat. PMRAM menekankan isu-isu semasa dan sejarah serta perbincangan ilmiah yang menambah thaqafah dan pengetahuan.
  6. Kolokium Ilmuan PMRAMsalah satu tarbiah berbentuk ilmiah bagi mahasiswa baru, PMRAM juga menilai beberapa silibus/manhaj yang perlu ditambah nilai antaranya perbincangan mengenai “Strategi dan Perancangan Musuh Islam”. 
  7. Menggalakkan peringkat PMRAM Cawangan untuk menghidupkan biah solehah serta perbincangan, forum mengenai isu-isu yang melanda umat Islam
Begitu juga, PMRAM dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM bertanggungjawab menjadikan “Hari Umat Islam” ini sebagai mesej untuk menyedarkan betapa pentingnya kita pada hari ini memperanankan umat serta membangkitkan kesedaran tentang kuasa Islam dalam masyarakat
 
Di samping itu, kewujudan blog Mini Pavilion sebagai medium penerangan tentang  isu Palestin dan MAP 2 Care sebagai medium penerangan tentang isu-isu semasa di peringkat global dan antarabangsa merupakan salah satu usaha berterusan bagi menimbulkan kesedaran dan memberikan kefahaman kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi tentang perlunya Islam memimpin kebangkitan dan perubahan.
 
Peranan PMRAM selaku gerakan mahasiswa Islam di Mesir memainkan peranan dalam menggerakkan agenda dakwah, tarbiah, dan kebajikan kepada seluruh ahli-ahlinya. Peranan ini perlu disahut secara bersama dalam menjayakan agenda 3 Mac sebagai detik hitam pada umat Islam. Bukan hanya tanggal 3 Mac sahaja kesedaran kita mengenai kejatuhan Empayar Islam Uthmaniyyah, malah kesedaran ini perlu berterusan agar kita lebih berwaspada daripada perancangan musuh dalam memecah belahkan ummah pada hari ini.
 
Mohd Faizzudin Ghazali
Naib Presiden I
Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2011
 

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL