PERUTUSAN HARI RAYA YDP BKPPPM


Bismillah wal hamdulillah, segala puji dan puja hanya layak bagi Allah swt, selawat dan salam buat junjungan mulia baginda Rasulullah SAW, para sahabat dan ahli keluarga baginda serta seluruh pejuang Islam.

Firman allah swt : “Dan supaya kamu sempurnakan bilangan puasa Ramadhan dan supaya kamu membesarkan allah kerana mendapat petunjuk-NYA, dan supaya kamu bersyukur”. (surah Al-Baqarah: ayat 185)

Sahabat-sahabatku,

Ramadhan bakal pergi meninggalkan kita pada kali ini, membawa ribuan nikmat dan peluang, entah sempat atau tidak untuk menemui Ramadhan yang akan datang. Hakikatnya, yang berlalu sudah pasti menjadi kenangan dan sejarah buat kita. Namun, pemergian Ramadhan bukan sebagai garisan penamat bagi kita selaku muslim untuk culas dan malas beribadah. Nabi SAW ada menyebut “ Jadilah kamu hamba Allah yang Rabbani, janganlah kamu menjadi hamba Ramadhan”. Islam mengajar kita supaya ibadah yang kita laksanakan bukan hanya terhenti bila bermulanya Syawal bahkan jadikan Syawal sebagai medan sebenar untuk kita bermujahadah beribadah kepada Allah.

Kini Syawal menyusul dan diraikan sebagai merayakan kemenangan dalam menuai hasil dari kesungguhan menyambut bulan festival ibadah, Ramadhan Al Mubarak. Syawal mengajar kita menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan kurniaan rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada api neraka yang dijanjikan pada bulan Ramadhan. Ia adalah bulan kembalinya manusia kepada fitrah setelah sebulan mujahadah puasa.

Justeru saya ingin membuat seruan kepada para sahabat agar memurnikan mujahadahdan penat lelah kita di bulan puasa dan memaknakan kemenangan kita di bulan syawal ini dengan sama-sama kita panjatkan syukur yang tidak terhingga kehadrat Allah subhanahu Wata’ala atas nikmat yang besar ini. Syawal adalah keraian suatu kemenangan dan kita disunatkan membesarkan Allah swt walau di mana dan ketika kita berada, serta bersyukur kepada-Nya di atas daya upaya menyambut kemenangan fizikal dan spiritual ini.

Bersempena dengan syawal ini, saya mengajak sahabat-sahabat ahli BKPPPM untuk menjayakan visi BKPPPM pada sesi ini Membina Mahasiswa Islam Yang Rabbani”. Visi yang diletakkan oleh kepimpinan tidak akan berjaya dilaksana sekiranya tidak mendapat kerjasama yang padu dari ahli BKPPPM. Mahasiswa yang Rabbani ini mestilah mempunyai fikrah Islamiah yang mantap serta syaksiah yang terpuji. Ini tidak akan terlaksana sekiranya kita hanya menjadi hamba Ramadhan dan Lailatul Qadar sahaja tanpa mengislahkan diri di bulan-bulan yang lain. Akhir kalam, BKPPPM mengharapkan agar visi yang dibawa oleh kepimpinan tahun ini memcapai misi dan hadafnya.

Salam Aidilfitri 1431H. Siru ‘ala barakatillah…….

Sekian. Wassalam

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

BERSATU DAN BERBAKTI

MUHAMAD HILMI BIN MD YUSOF
YANG DIPERTUA
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR PULAU PINANG MESIR.

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963