[TINTA MUTIARA | DUNIA TEMPAT BERPENAT]


     Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

    Di era kontemporari ini, umat Islam kian hanyut dengan fitnah dan keseronokan dunia hingga terlupa akan hakikat kejadian manusia itu sendiri. Sedangkan maksud dan tujuan kehidupan manusia itu telahpun termaktub dengan sangat lengkap dalam kitab agung yang diwariskan kepada kita sejak 1400 tahun yang lalu.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mukminun ayat 15:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَٰكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Mafhumnya: “Maka apakah kamu menyangka bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu dengan main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

 Dan Allah SWT tegaskan lagi dalam surah al-Anbiya ayat 16:

وَمَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَآءَ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَٰعِبِينَ

Mafhumnya: “Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main.”

    Jelas menzahirkan bahawa kehidupan kita di alam fana ini ada tujuan dan misinya yang perlu kita laksanakan sebelum kembali menghadap Sang Maha Kuasa .Oleh itu, perlulah kita sebagai hamba Allah SWT yang bertakwa kepada-Nya, cakna dengan tujuan utama diciptakan manusia di muka bumi ini agar tidak menyesal di hari kelak.

    Sehubungan itu, wajiblah untuk kita tahu bahawa tujuan utama Allah SWT menciptakan manusia adalah untuk beribadah dan bertakwa pada-Nya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Dzariyat: 56 yang berbunyi:

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Mafhumnya: “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”

    Demikian itu, dapat kita lihat bahawa mengabdikan diri pada Allah SWT dalam kehidupan ini merupakan satu keutamaan yang senantiasa perlu kita terapkan dalam hati. Juga daripada ayat ini, dapat  kita fahami bahawa betapa rugi, sia-sia dan malanglah buat mereka yang lalai dan tidak mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana tiadalah manfaat walaupun sedikit buat mereka yang tidak beribadah kepada Allah SWT.

    Hal ini kerana menurut Tafsir Ibnu Qoyyim Al Jauziyah, bahawa tujuan Allah menciptakan kita manusia serta jin dan makhluk lainnya di bumi ini adalah untuk beribadah kepada-Nya. Maka tiada guna dan faedahlah buat manusia yang tidak beribadah kepada-Nya kecuali untuk diseksa di akhirat kelak. Juga ini mendidik manusia untuk senantiasa meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

    Manusia mampu beribadah kepada Allah dengan berbagai hal. Namun tanpa satu ibadah ini, maka sia-sia lah segala amal kebaikan yang dilakukan. Ibadah agung tak ternilai sehinggakan diperintah sendiri oleh Allah SWT kepada Nabi SAW tanpa perantaraan Jibril AS di Sidratul Muntaha pada peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku dalam Bulan Rejab yang sangat mulia.

    Solat fardhu 5 waktu sehari semalam yang merupakan rukun Islam yang ke-2 juga sebagai tiang ugama yang akan runtuh buat siapa yang meninggalkannya itu sering diabai dan ditinggalkan oleh umat Islam sendiri. Sedangkan meninggalkan solat secara sengaja itu adalah hampir dengan kufur seperti mana yang diperkatakan dalam hadis Riwayat Muslim.

    Selain daripada solat, terdapat banyak lagi ibadah lain yang dituntut oleh agama Islam. Namun manusia zaman kini mementingkan hal duniawi melebihi perintah Allah. Dengan seribu alasan sehingga sanggup meremeh dan mengetepikan perintah Allah.

    Terjadinya hal yang sedemikian berpunca daripda cintanya manusia kepada dunia, Imam Al-Ghazali pernah berkata dengan tegas dalam kitab Minhajul Abidin, "Dunia ini semua perkara yang tidak ada manfaat untuk akhirat". Oleh itu orang yang beriman kepada Allah SWT memegang prinsip bersusah di dunia dahulu, bersenang-senang di akhirat kemudian. Sebaliknya, orang yang tidak beriman, akan memilih untuk bersenang dahulu di dunia tetapi menderita selama-lamanya di akhirat.

    Namun demikian, mengutamakan akhirat bukan bererti mengetepikan dunia kerana Dr Yusuf Al-Qardawi Rahimahullah pernah berkata "Mencintai syurga bukan bererti meminggirkan dunia". Dunia ini juga penting kerana bekalan untuk menuju ke akhirat itu dipersiapkan di dunia. Dalam perbahasan kitab Ihya’ Ulumuddin karangan daripada Imam Al-Ghazali mengatakan,“Tidaklah mungkin untuk menghasilkan bibit (tanaman) ini kecuali di dunia, tidak ditanam, kecuali pada kalbu dan tidak dituai kecuali di akhirat.” Dalam erti kata lain, dunia ini ialah tempat untuk menyemai manakala akhirat nanti tempat untuk menuai. 

    Oleh hal yang demikian, untuk mendapatkan kejayaan akhirat kita perlu bekerja keras di dunia. Ini juga bererti orang yang mencintai akhirat sangat sibuk, aktif dan produktif di dunia. Bayangkan orang yang sedang giat berkebun, tentu sibuk menggembur tanah, menanam, membaja, mengairi dan menjaga tanaman daripada serangga perosak. Dapat disimpulkan di sini,pengorbanan yang besar daripada sudut masa dan tenaga perlu dilakukan. Namun ,itulah yang bersesuai dengan hakikat kejadian manusia itu sendiri iaitu mengabdikan diri pada Yang Esa.

'Dunia tempat berpenat, akhirat tempat berehat.'

    Itulah prinsip hidup orang yang menganggap dunia sebagai ladang tanam-tanaman. Mereka akan bersungguh-sungguh menjaga pohonnya. Hanya pohon yang baik akan menghasilkan buah yang baik. Maksudnya, jika inginkan kecemerlangan di akhirat, kecemerlangan di dunia mesti dicapai terlebih dahulu. Kecemerlangan dunia adalah bayangan kecemerlangan akhirat! Setiap inci tanah di dunia adalah tempat yang paling subur untuk menanam benih syurga.

    Tuntasnya, perlulah kita sebagai muslim yang beriman pada Allah SWT untuk tidak tertipu dengan fatamorgana dunia dan sentiasa mengingati bahawa hakikat penciptaan manusia di dunia ini adalah untuk beribadah dan mengumpul sebanyak mungkin pahala untuk di bentangkan kepada Rabbul Izzati di hari perhitungan kelak. Akhir kalam, semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada fitnah dunia dan akhirat, serta diberikan pengakhirat yang indah dan baik di alam sana.

 

Sekian,

Muhammad Adib Asyraf Bin Ahmad Kamarut

Ahli Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL