[ TINTA MUTIARA | ILMU SEDEKAH PALING BARAKAH ]

 


Islam adalah agama yang menyeluruh hingga tiap-tiap perbuatan baik dikategorikan sebagai sedekah. Dan tiap-tiap sedekah yang dilakukan dengan ikhlas tentulah ganjarannya besar di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam :

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : كل سلامى من الناس عليه صدقة كل يوم تطلع فيه الشمس : تعدل بين اثنين صدقة ، وتعين الرجل في دابته فتحمله عليها أو ترفع له عليها متاعه صدقة ، والكلمة الطيبة صدقة ، وبكل خطوة تمشيها الى الصلاة صدقة ، وتميط الأذى عن الطريق صدقة. (رواه البخاري ومسلم)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata : Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Setiap persendian dari manusia itu ada sedekahnya pada setiap hari yang matahari terbit padanya. Berbuat adil antara dua orang adalah sedekah, menolong seseorang dalam urusan kenderaannya membantunya agar boleh menaiki kenderaannya atau engkau angkatkan barang–barangnya ke atas kenderaannya itu juga sedekah. Sebuah ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju tempat solat adalah sedekah dan engkau menyingkirkan gangguan dari jalan adalah sedekah.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Dari hadis di atas telah kita ketahui bahawasanya sedekah tidak terbatas hanya dalam bentuk material sahaja dan erti kata lain tidak ada alasan untuk kita tidak bersedekah.

Seperti yang diketahui, bersedekah dengan harta benda merupakan ibadah yang sangat mulia dan pahalanya begitu besar. Akan tetapi ada cara bersedekah yang lebih utama dan pahalanya lebih besar jika dibandingkan bersedekah dengan harta, iaitu bersedekah dengan mengajarkan ilmu terutama yang dapat membuat seseorang manusia lebih dekat kepada Allah dan memperbaiki hubungannya sesama manusia.

Dalam kitab at-Targhib wa at-Tarhib menuliskan sebuah hadis Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Lebih utamanya sedekah adalah seorang Muslim yang belajar suatu ilmu kemudian ia mengajarkan ilmu itu kepada saudaranya sesama Muslim.”

Dalam hadis ini menyebutkan bahawa sedekah yang terbaik adalah mengajar orang lain akan suatu ilmu yang bermanfaat, kerana apabila kita menolong orang lain untuk sempurnakan suatu hajatnya, maka kemungkinan hajatnya itu hanya untuk keperluan dunia sahaja.

Tetapi jika menyampaikan ilmu, sama ada ilmu yang digunakan untuk kehidupan dunia mahupun akhirat, maka sudah pasti ilmu tersebut akan menolongnya dalam mencari keredhaan Allah SWT, maka pekerjaan ini adalah sebaik – baik pekerjaan.

Berdasarkan hadis tersebut dapat difahami bahawa mudahnya bagi seseorang Muslim memperoleh pahala sedekah dengan hanya menyampaikan ilmu yang diketahuinya. Dengan ilmunya, ia dapat meraih ganjaran sedekah bahkan lebih utama dari sedekah lainnya kerana sedekah ilmu akan abadi bahkan dapat mengubah keadaan dan akhlak juga perilaku seseorang.

 

Sedekah ilmu bermaksud mengajarkan ilmu pengetahuan yang kita miliki kepada orang lain. Hal ini juga akan menjadi amal jariyah bagi yang mengajarkannya, kerana kita akan selalu mendapat pahala daripada ilmu yang sudah kita sampaikan kepada orang lain. Bahkan ketika kita sudah meninggal, pahala tersebut akan tetap mengalir selagimana ilmu tersebut terus disebarkan dan diamalkan. Sepakat ulama’ mengatakan amalan soleh yang dilakukan oleh seseorang itu akan kekal walaupun ia sudah meninggal dunia. Ia berdasarkan sebuah hadis Riwayat daripada Abu Hurairah mafhumnya “Jika matinya anak Adam maka terputus segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.” (H.R Muslim dan Ahmad)

Mungkin dengan ilmu yang diajarkan dengan ikhlas dapat menjadikan saudara Muslim yang lain mengenal Allah, memperoleh hidayah, membantu jati diri seorang Muslim ke arah yang lebih baik, beramal dengan ilmu yang diajarkan, maka semuanya akan beroleh pahala yang ganjarannya tentulah amat besar di sisi Allah.

 

Selain itu, ilmu yang disampaikan akan berkekalan, di samping bertambah ilmunya dan semakin kuat tersemat dalam ingatan. Meskipun begitu, para penyampai ilmu hendaklah menyampaikan ilmu yang diketahuinya sahaja dan hendaklah berhati–hati kerana ada segelintir para penyampai ilmu menyampaikan perkara yang tidak diketahuinya, sedangkan jika masyarakat mengamalkannya, mereka akan hanyut daripada berpegang dengan perkara yang hak.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam :

من دل على خير فله مثل أجر فاعله

“Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakannya.” (HR. Muslim)

Siapa yang mengajarkan ilmu, maka ia mendapatkan pahala orang yang mengamalkannya, tidak berkurang dari pahala orang yang beramal itu sedikit pun, begitu juga sebaliknya. Maka pesanan kepada penuntut ilmu dan para pengajar, sertakanlah takwa dalam setiap pekerjaan kita agar lebih berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu lebih-lebih lagi dalam urusan agama.

 

Maka menjadi tanggungjawab kepada para penuntut ilmu mendisiplinkan diri untuk belajar bersungguh–sungguh, tambahan pula apabila umur semakin meningkat dan berada pada tempat yang diberi jolokan lubuk ilmu sedunia. Semestinya tanggungjawab penuntut ilmu tidak terhenti sampai di situ sahaja. Sekiranya di dunia ini orang yang memiliki ilmu tidak menyampaikannya, maka dengan siapa lagi hendak menadah ilmu. Kerana dengan ilmulah membezakan kita dengan makhluk lain. Allah memuliakan manusia dengan ilmu dan meninggikan darjat orang yang berilmu, seperti firman Allah Taala dalam surah al-Mujadalah ayat 11 mafhumnya : “Dan apabila dikatakan, ‘Berdirilah kamu’. Maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.”

 

Kesimpulannya, suka untuk saya berkongsi satu hadis nabi yang masyhur ini, “Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat.” Oleh yang demikian, jangan pernah kekok dan kedekut untuk berkongsi ilmu. Ekoran teknologi yang semakin berkembang kini memudahkan kita untuk mencari dan juga menyampaikan ilmu. Gunalah wasilah ini dengan sebaiknya sama ada melalui penulisan ataupun menyampaikan dengan ucapan video dan sebagainya. Selagi mana ilmu yang disampaikan sentiasa dimanfaatkan maka pahalanya akan berterusan dan tidak akan putus.

Wallahua’lam.

 

Nur Nadiah Syafiqah binti Nordin
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL