MINDA PIMPINAN | RAMADAN MENTARBIAH JIWA, SYAWAL MEMBENTUK TAKWA

RAMADAN MENTARBIAH JIWA, SYAWAL MEMBENTUK TAKWA

Ramadan bulan yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan. Nilai kebaikan dari setiap perbuatan yang bernilai ibadah menjadi lebih tinggi dari bulan-bulan lain dan segala amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan akan di balas dengan pahala yang berlipat kali ganda. " Barang siapa yang pada bulan itu mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu kebaikan, nilainya seperti orang yang melakukan perbuatan yang diwajibkan pada bulan lainnya. Dan, barang siapa yang melakukan suatu kewajiban pada bulan itu, nilainya sama dengan 70 kali lipat dari kewajiban yang dilakukannya pada bulan lainnya. Keutamaan sedekah adalah sedekah pada bulan Ramadan." (HR. Bukhari-Muslim).

” Ibadat puasa, pahalanya secara khusus, karena Allah sendiri yang memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang rela menahan lapar dan dahaga sepanjang hari kerana-Nya. Takwa merupakan natijah daripada sebulan kita menelusuri tarbiah Ramadan. Dengan takwa yang terbentuk, manusia akan lebih bersungguh-sungguh dalam melakukan ketaatan kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya terutama pada bulan-bulan lain setelah Ramadan. 

Keperluan untuk berterusan dalam melaksanakan ibadah sebagai hamba, tujuan penciptaan kita di atas muka bumi adalah untuk beribadah kepada Allah dengan penuh taat dan rendah diri menyedari hakikat sebagai hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Allah SWT berfirman di dalam surah Adh-Dhariyat ayat ke 56 :-
{وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَ الْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ}
Maksudnya : Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada Ku. 

Kini kita Sedang berada di bulan Syawal dan bulan Ramadan telah pun berlalu. Sebagai seorang hamba, wajib ke atas diri kita untuk menunaikan hak-hak kita kepada Allah. Jangan lah kita hanya bersemangat melakukan Ibadah pada bulan Ramadan sahaja dan kembali kepada kebiasaan kita pada bulan-bulan yang lain. Hal ini sangat ketara berlaku di kalangan umat Islam. Di bulan Ramadan, semua umat Islam berlumba-lumba dalam memperbanyakkan amal ibadah, tetapi semangat beribadah ketika di bulan Ramadan tidak berterusan hingga ke bulan-bulan seterusnya.

كن ربانيا ولا تكن رمضانيا
Maksudnya : Jadilah hamba kepada Tuhan Yang Rabbani, Janganlah menjadi hamba kepada Ramadan (beribadah di bulan Ramadan sahaja)

Janganlah membiarkan amalan-amalan kita di bulan Ramadan terhenti apabila berakhirnya Ramadan. Mari kita berarah kepada persoalan, mengapakah perlunya untuk berterusan dalam melakukan amal ibadah?

1) Amalan yang disukai oleh Allah ialah Amalan yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit.

Rasulullah SAW bersabda : Lakukanlah amal sesuai dengan kesanggupan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak akan bosan sehingga engkau menjadi bosan, dan sesungguhnya amal yang paling Allah SWT sukai ialah yang terus menerus dikerjakan walaupun sedikit. "
(Riwayat Abu Daud)

Allah tidak memerintahkan hamba-Nya untuk melakukan sesuatu yg membawa mudarat dan Dia tidak akan memberi sesuatu yang diluar kemampuan hamba-Nya, malah segala perintah yang disyariatkan kepada manusia pada dasarnya untuk kebaikan di dunia dan akhirat dan sangat bermanfaat merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. 

2) Amal ibadah yang kita kerjakan di dunia merupakan bekalan menuju akhirat yang kekal selamanya. Oleh itu, bagi menyediakan bekalan untuk ke akhirat, tidak cukup sekadar beberapa hari jika dibandingkan dengan jangka hayat kita. Oleh itu, beribadahlah selagi hayat dikandung jasad kerana kita tidak tahu amalan kita yang manakah yang akan diterima di sisi Allah SWT. 

3)Tanda sebagai hamba yang bersyukur
Bersyukur bukan hanya pada satu atau dua perkara sahaja, tapi bersyukurlah kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan sama ada kecil mahupun besar. Salah satu tanda seorang hamba itu bersyukur adalah dengan memperbanyak amal ibadah kepada Allah serta memperbaiki kualiti ibadah.

4) Sebagai tanda Allah menerima amalan puasa Ramadan.
Jika Allah SWT menerima amalan hamba-Nya, maka Dia akan memberikan taufiq pada Amalan soleh selanjutnya. Sebagaimana sebahagian salaf mengatakan : " Balasan dari amalan kebaikan adalah amalan kebaikan yang selanjutnya, barang siapa melaksanakan kebaikan lalu diikuti dengan kebaikan yang seterusnya maka itulah tanda diterima amal pertama, begitu pula dengan orang yang melakukan kebaikan lalu diikuti dengan melakukan keburukan, maka ini adalah tanda tidak diterima amal kebaikan yang telah dilakukan."

🔸 KEUTAMAAN BULAN SYAWAL
Bulan Syawal merupakan bulan kemenangan bagi umat Islam setelah berjuang selama sebulan penuh menahan lapar dan dahaga serta melawan hawa nafsu. 

(i) Bulan kembali kepada fitrah
Syawal adalah bulan di mana umat islam kembali kepada fitrah, diampuni segala dosanya seolah bayi yang baru dilahirkan. Pada tanggal 1 Syawal, umat islam kembali makan pagi dan diharamkan untuk berpuasa pada tanggal tersebut. Bulan Syawal sebagai lambang kemenangan dari peperangan menentang musuh sebenar dalam jiwa manusia, iaitu hawa nafsu. 

(ii) Bulan peningkatan
Keutamaan yang paling utama di bulan Syawal adalah peningkatan pada kualiti ibadah seiringan dengan peningkatan kuantiti. Peningkatan ini hasil pelatihan selama sebulan dari Madrasah Ramadan. Umat Islam digalakkan meningkatkan amal kebaikannya pada bulan Syawal. 

(iii) Pembuktian nilai keimanan
Rasulullah SAW bersabda tentang iman :-
الإيمان بضع وسبعون شعبة فأفضلها : قول لا إله إلا الله وأدناها : إماطة الأذى عن الطريق والحياة شعبة من الإيمان
" Maksudnya: iman itu ada lebih dari 70 cabang, yang paling tinggi adalah pernyataan tiada Tuhan selain Allah SWT, yang paling rendah adalah memindahkan gangguan yang terdapat di jalan, dan sifat malu merupakan sebahagian daripada iman." (HR Bukhari dan Muslim) 

Umat islam telah berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah di bulan Ramadan dan dengan izin Allah diampunkan segala dosa , hendaknya di bulan Syawal ini, umat islam menzahirkan keimanan dengan lebih gigih agar mendapat redha dan keampunan Allah SWT.

🔸 AMALAN-AMALAN SUNAT PADA BULAN SYAWAL

1) Puasa enam Syawal
Berpuasa enam hari di bulan Syawal setelah berpuasa sebulan Ramadan fadhilatnya seperti berpuasa setahun penuh. 
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر 
Rasulullah Saw bersabda : Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun. 

Setelah menjalani puasa selama satu bulan penuh pada bulan Ramadan, puasa 6 hari di bulan Syawal ini menjadi pelengkap atau penyempurna kepada kekurangan yg terdapat pada amalan di bulan Ramadan. 

2) Menjaga ibadah sunat
Solat malam dan ibadah sunat yang lain
Sudah pasti ramai yang sudah terbiasa melaksanakan berbagai ibadah sunat sepanjang Ramadan. Hal ini tentunya harus tetap dijaga di bulan-bulan berikutnya. Amalan di bulan Syawal ini adalah menjaga solat malam dan ibadah sunat lainnya. Kerana  sesungguhnya, mengamalkan solat malam besar ganjarannya di sisi Allah dan banyak fadhilatnya. Oleh itu sebaiknya segala amalan sunat yang dilaksanakan sepanjang Ramadan berterusan juga di bulan Syawal. Hal ini kerana amalan sunat di bulan Syawal dapat menampung kekurangan yg terdapat pada ibadah wajib di bulan Ramadan. Oleh itu, janganlah kita sia-siakan peluang ini kerana kita sendiri tidak dapat menjamin amalan manakah yang diterima oleh Allah. 

3) Bersedekah
Amalan sunat seterusnya yang boleh dilakukan di bulan Syawal adalah bersedekah. Selain mendapatkan pahala yang , sedekah juga ternyata memiliki manfaat lain untuk diri kita.
Umum mengetahui sedekah mampu meningkatkan rasa simpati seseorang, menghindarkan dari sifat bakhil, meluaskan rezeki, melatih berfikiran positif, dan meningkatkan rasa syukur. Mereka yang suka bersedekah dipanjangkan umur oleh Allah.
Amalan bersedekah tidak hanya bermanfaat untuk diri sendiri, namun duit yang disedekahkan juga akan sangat bermanfaat bagi penerimanya. Doa mereka yang menerima sedekah merupakan ketenteraman bagi pemberi sedekah. 

4) Mengeratkan silaturahim
Bersilaturahim sudah tidak asing lagi buat umat Islam di bulan Syawal. Bulan Syawal adalah bulan di mana yang jauh dan dekat bertemu, berkunjung-kunjungan dan bertanya khabar antara satu sama lain. Bulan di mana kita saling bermaafan dengan keluarga,sanak saudara,jiran tetangga, dan teman-teman. Suasana meriah begin hanya terdapat pada bulan Syawal. Ianya merupakan bulan yang penuh berkah dan mendapat pengampunan dari Allah SWT dengan bersilaturahim  dan bermaaf-maafan yang dilaksanakan oleh seluruh umat islam. 

5) Bernikah
Pernikahan merupakan amalan di bulan Syawal. Amalan ini merupakan Amalan yang tidak asing lagi di kalangan umat islam setelah Hari Raya Aidilfitri. Menikah pada mana-mana tarikh dan pada hari apapun di bulan Syawal merupakan suatu kebaikan bagi yang melaksanakannya. Seperti yang dikisahkan dalam hadith Muslim dari Ummul Mukminin, isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA.
عن عائشة : قَالَتْ تَزَوَّجَنِي رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم في  شوال و بَنَى بي في شوال فَأَيُّ نِسَاءِ رسول الله صلى الله عليه وسلم كَانَ أَحْظَى عِنْدَهُ مِنِّي
“Rasulullah SAW menikahiku pada bulan Syawal dan mula tinggal bersamaku pada bulan Syawal, siapakah di antara isteri - isteri Rasulullah Saw yang lebih beliau cinta berbanding aku."
(HR. Muslim, An Nasa’i)

Bernikah di bulan Syawal merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW. Baginda juga sangat menggalakkan umatnya untuk bernikah dan melahirkan lebih ramai umat nabi Muhammad SAW di atas muka bumi.


......................................................................

Asmaa' Binti Khairul Anuar
(Timbalan Lajnah Dakwah BKPPPM 2020/2021)

" Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "

" Ukhuwah Berkualiti, Wehdah Dirahmati "

#BKPPPM_KeluargaKita

#Bersama_Bersatu

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL