MINDA PIMPINAN | KEUTAMAAN BULAN RABI'UL AWAL

 



KEUTAMAAN BULAN RABI’UL AWAL


Bulan Rabi’ul Awal adalah bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaan di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabi’ul Awal pokok atau tumbuh-tumbuhan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim bunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw terus mengekalkan nama Rabi’ul Awal ini sehinggalah sekarang.


Bulan Rabi’ul Awal adalah bulan yang sangat istimewa bagi umat Islam. Kerana pada bulan ini atau secara tepatnya pada tanggal 12 Rabi’ul Awal tahun gajah, telah lahirnya seorang pemimpin agung bagi sekalian umat manusia dan rahmat bagi seluruh alam iaitu junjungan besar Nabi Muhammad saw.


Firman Allah swt :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya : “Dan tidaklah Kami utuskan kamu (wahai Muhammad), melainkan menjadi rahmat bagi semesta alam” 

(Surah al-Anbiya: ayat 107)


قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ

Maksudnya : “Katakanlah : Dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. (Kerana) itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”. 

(Surah Yunus: ayat 58)


Selain itu, terdapat banyak peristiwa-peristiwa penting yang telah dicatatkan sejarah tentang jatuh bangunnya tamadun Islam di bulan yang mulia ini. Antaranya ialah :


1) Kelahiran dan kewafatan Nabi saw. 

Nabi saw lahir pada 12 Rabi’ul Awal tahun gajah manakala kewafatan Nabi saw pada hari Isnin 12 Rabi’ul Awal 11 Hijrah bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.


2) Perlantikan Nabi saw menjadi Rasul.

Dibulan Rabi’ul Awal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.


3) Di dalam bulan ini juga berlakunya banyak peperangan dizaman Rasulullah di antara tentera Islam dan tentera kuffar iaitu peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan. 


4) Saidina Abu Bakar ra menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi saw.

Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai’ah Saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa’idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra.


5) Pembukaan Kota Iraq.

Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al-Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman Saidina Abu Bakar ra.


6) Pembukaan Baitul Muqaddis. 

Panglima Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada bulan Rabi’ul Awal tahun 583 H.


7) Kejatuhan Empayar Islam Sepanyol. 

Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.


Kesimpulannya, banyakkanlah berselawat ke atas junjungan Nabi saw disamping meneruskan gerak kerja Nabi saw, para sahabat, tabi’in dan salafussoleh dalam memperjuangkan agama Allah swt dalam segenap bidang. 


Wallahu a’lam..



...............................................................

ZUL ARIEF BIN ZULKEPLI

( Setiausaha Agung, Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPPPM Sesi 2019/2020 )


" Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan " 

" Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah " 

" BKPPPM_KeluargaKita " 

" Bersama_Bersatu "


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL