FUTUR YANG PERLU DIRAWAT



 

Diseantero dunia ini, setiap manusia pasti tidak akan lari dengan satu penyakit  yang sukar untuk kita tolak. Malah, ia akan hadir tanpa diundang dan pergi tanpa disuruh. Penyakit ini ada penawarnya. Janganlah kita gusar dan risau. Itulah yang dikenali sebagai penyakit Futur.




❖ Apa yang dimaksudkan dengan Futur ?

Futur  ialah  rasa malas, enggan, dan lambat dalam melakukan kebaikan, yang mana sebelumnya seseorang itu rajin dan bersemangat melakukannya. Futur  adalah penyakit yang sering menyerang sebahagian ahli ibadah, para da’i, dan penuntut ilmu. Sehingga seseorang menjadi lemah dan malas, bahkan terkadang berhenti sama sekali dari melakukan suatu aktivitas kebaikan dan kebajikan.

 

Alhamdulillah, nampaknya kita sudah ketahui maksud Futur secara terperinci. Terlalu bahaya penyakit ini jika terdapat pada diri kita kerana ia akan membuatkan Allah rindu akan rayuan dan permohonan atas pertolongan daripada hamba-Nya. Tetapi, usahlah kita risau, bahawa setiap penyakit ada penawarnya.Sebelum kita ketahui penawar, mari kita hadamkan faktor atau sebab yang boleh munculnya penyakit Futur ini dalam diri kita. Bagaimana kita boleh Futur ? Mari kita renungkan ..


❖  Terdapat banyak pintu yang boleh membuka jalan kepada futur :

1 - Terlebih dalam pergaulan

Rasulullah S.A.W menasihatkan supaya kita memilih kawan sebagaimana sabdaannya yang bemaksud;

"Seseorang itu mengikut agama temannya kerana itu hendaklah kamu melihat orang yang kamu jadikan teman."

(Hadis Riwayat Abu Daud)                          


2 - Berlebih-lebihan atau melampau di dalam beramal

Ramai aktivis muda begitu bersemangat pada mulanya untuk melakukan pelbagai perkara sehingga melupakan anjuran Islam dan kemampuan diri sendiri. Akhirnya apabila fenomena futur menjelma, maka dia menjadi lemah dan bosan.

Ada juga di kalangan manusia yang suka dan berlebihan menilai orang lain, namun kemudiannya dia sendiri futur dan menjadi lebih jelek dari orang yang dinilainya.


Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud;

"Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


3 - Berlebih-lebihan dalam perkara yang harus

Satu contoh berlebihan di sini ialah di dalam melayari internet, chatting atau ber-facebook. Apabila berlebihan dengannya, seseorang itu akan ketagihan sehingga banyak masa yang digunakan untuk 'terbang' di alam siber. Akibatnya masa untuk berbuat kebaikan menjadi kurang dan dia sering merasa konflik antara dua perkara ini.


4 - Suka bersendirian

Apabila seseorang suka bersendirian, maka dia telah hilang satu sistem pertahanannya daripada SyaitanSyaitan ibarat serigala yang sentiasa mengintai kambing yang terasing dari kumpulannya.


Pastinya Syaitan akan sentiasa berbisik agar seseorang itu meninggalkan amal kebaikan yang diperjuangkannya. Kita hanya akan mampu berkekalan di dalam kebaikan sekiranya terusbekerja dan hidup di dalam keadaan berjemaah dan bermasyarakat.


5 - Kurang mengingati mati

Antara faktor yang menjadi pemangkin kepada perjuangan ke arah kebaikan ialah dorongan untuk mendapat pahala, rindu dengan syurgaku , takutkan dosa dan siksa Neraka. Amat penting bagi kita untuk terus mendidik diri agar istiqamah di dalam ibadah seperti membaca al-Quransolat subuh berjemaah dan amalan-amalan lain yang akan mengingatkan kita kepada akhirat dan bukan hanya bercakap mengenai hal ehwal semasa atau politik semata-mata.


6 - Enteng dengan perkara syubhat dan berbuat dosa

Ada orang yang suka mengambil mudah atau enteng memandang dosa-dosa kecil. Lama-kelamaan dia tercebur dan berterusan dengannya. Manusia pasti melakukan silap dan dosa tetapi apabila berterusan melakukannya maka ini akan menyebabkan hatinya gelap, dia menjadi futur dan kemudiannya berakhir dengan gugur.


7 - Hati yang berpenyakit

Ada di kalangan manusia berbuat kebaikan kerana inginkan nama dan populariti, ada yang berbuat demikian untuk mencuri hati gadis yang dicintainya dan pelbagai sebab yang lain. Kegagalan untuk memperbetulkan atau memperbarui niatnya akan menyebabkan dia sukar untuk bertahan lama daripada futur dan terus berundur.


8 - Permasalahan dalaman organisasi

Bermacam-macam faktor yang boleh menyebabkan konflik internal. Hanya mereka yang mampu berbesar hati dan berlapang dada serta dengan kebijaksanaan kepimpinan maka permasalahan-permasalahan ini akan dapat diatasi dengan baik.


9 - Terlalu asyik dengan kerjaya dan dunianya

Apabila seseorang telah menjadi terlalu asyik dengan kehidupannya, maka dia boleh tenggelam dengannya dan sukar untuk bangkit melainkan sekiranya dia ikhlas hubungannya dengan Allah S.W.T dan bersegera bangkit setelah dilanda futur.


Mari kita renungi bersama maksud sabda Rasulullah S.A.W ini;

"Sesungguhnya ada seorang hamba yang beramal dengan amalan ahli Syurga menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Neraka, ada seorang hamba beramal dengan amalan ahli Neraka menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Syurga. Sesungguhnya amal-amal itu bergantung daripada akhirnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

 


Terdapat banyak lagi punca penyakit Futur . Marilah kita mencegah kerana mencegah itu lebih baik dari mengubati. Walaupun kita tahu bahawa penyakit ini ada syifa’nya, jangan pula kita memandang remeh terhadap kesannya nanti. Kemudian, mari kita fahamkan pula kesan buruk dari penyakit Futur .


Di antaranya :

1 - Cuai kepada tanggungjawabnya

• Futur menyebabkan seseorang menjadi lemah dan malas dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab yang dipikulnya. Ini menyebabkan tugasan tersebut tertangguh atau terbengkalai keseluruhannya.

2 - Gugur dari jalan kebaikan

• Sekiranya futur dibiarkan berpanjangan tanpa rawatan, maka dia akan menjadi satu tabiat. Lama-kelamaan penyakit ini menjadi sebati dalam diri  dan seseorang itu menjadi semakin jauh dari amal kebaikan dan dia terus tenggelam di dalam dunianya.

Apabila dia gugur dari jalan kebaikan, maka hilanglah kebaikan yang banyak darinya. Bahkan lebih teruk lagi apabila dia pula yang menentang seruan kebaikan yang pernah diperjuangkannya.


3 - Mati di dalam keadaan yang futur

• Apabila futur sudah menjadi kebiasaannya, maka dia menanggung risiko besar untuk mati di dalam keadaan sedemikian. Amat kita takuti sekali jika Allah S.W.T mengambil nyawa kita sedangkan kita dalam keadaan futur, sedangkan Allah S.W.T menghisab amal seseorang berdasarkan akhir hayatnya. Di atas sebab itulah Rasulullah S.A.W mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dengan doa;

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepada-Mu dari penyakit lemah dan malas."

(Hadis Riwayat Abu Daud)

 

Seterusnya, mari kita tamamkan cara mengubati penyakit Futur ini pula.

❖ Kiat Mengubati Penyakit Futur

Allah mentakdirkan adanya penyakit  futur, tentulah Allah memberikan ubatnya. Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin pernah ditanya, " Banyak penuntut ilmu agama yang lemah tekadnya dan futur dalam menuntut ilmu. Sarana apa sahaja yang dapat membangkitkan tekad dan semangat dalam menuntut ilmu? ". Beliau menjawab: " Dha’ful himmah (tekad yang lemah) dalam menuntut ilmu agama (Islam) adalah salah satu musibah yang besar ".


Untuk mengatasi penyakit ini ada beberapa kaedahnya:


1. Mengikhlaskan niat hanya untuk Allah ‘Azza WaJalla dalam menuntut ilmu

➢ Niat dalam melakukan suatu perbuatan (yang baik) tentunya harus ikhlas untuk Allah semata. Keikhlasan suatu niat sangat berpengaruh pada amalan-amalan yang kita lakukan. Jika seseorang ikhlas dalam menuntut ilmu, dia akan memahami bahawa amalan menuntut ilmu yang dia lakukan itu akan diberi ganjaran pahala. Sebagaimana dalam hadis yang disampaikan di bawah, 

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وإنما لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنكحها فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ


Sesungguhnya setiap amal itu (tergantung) pada niatnya, dan sesungguhnya sesesorang itu hanya mendapatkan sesuai dengan apa yang diniatkannya.Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya (dinilai) kerana Allah dan Rasul-Nya, dan barangsiapa yang hijrahnya kerana harta dunia yang hendak diraihnya atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu hanyalah kepada apa yang menjadi tujuan hijrahnya.” 

(HR. Bukhari dan Muslim)


➢ Kemudian, dengan mengikhlaskan niat tersebut seseorang akan berada pada tingkatan yang ketiga dari umat ini, lalu dengan itu semangatnya pun akan bangkit.

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا

Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang shalih. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya”. 

(QS. An Nisa: 69)


2. Selalu bersama dengan rakan-rakan yang semangat dalam menuntut ilmu

➢ Rakan merupakan orang yang sangat berpengaruh pada diri kita. Rakan juga turut membentukkarakter seseorang itu. Oleh kerana itu dalam berteman hendaknya kita memilih rakan –rakan yang mampu membimbing kepada kebaikan. Rakan yang demikian dapat membantu kita dalam berdiskusi dan meneliti masalah agama. Jangan condong untuk meninggalkan kebersamaan bersama mereka selama mereka senantiasa membantu dalam menuntut ilmu. Selain itu, kita juga dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama umat islam.

3. Bersabar, iaitu ketika jiwa mengajak untuk berpaling dari menuntut ilmu

➢ Kesabaran akan membawa kita kembali kepada ilmu dan kebaikan-kebaikan. Oleh kerana itu, hendaknya kita terus berusaha dalam bersabar agar penyakit  futur  itu hilang dengan secepatnya. Allah Ta’ala  berfirman kepada Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam:

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

 Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan di dunia ini

 (QS. Al Kahfi: 28).


➢ Seorang penuntut ilmu tidak boleh terburu-buru dalam meraih ilmu Syar’iMenuntut ilmu Syar’i tidak boleh didapatkan dengan kilat atau dikursuskan dalam waktu singkat. Harus diingatkan bahwa perjalanan dalam menuntut ilmu adalah panjang dan lama, oleh kerana itukita sewajibnya tanam sifat sabar dalam diri dan selalu memohon pertolongan kepada Allah agar kita terus istiqamah di atas kebenaran.


Alhamdulillah, selesai pembacaan kita kali ini, semoga penulisan ini memberi manfaat  pada kita. Insyaallah. 


Sebelum tutup penulisan ini, bacalah rangkap kata ini :


Futur itu penyakit lemah,

Malas itu sangat bahaya,

Janganlah kita terus jatuh ke tanah,

Kerana penyakit ini ada penawarnya.

 

Syakhsiah diadun berdikit-dikit

Tanpa gopoh dan tanpa kendur,

Andainya futur  segera bangkit,

Usah dibiarkan bersembah gugur.  

 

Harapannya, agar setiap pembaca dapat mengambil istifadah dan kebaikan dari perkongsian kali ini. Semoga kehidupan kita dibawah perlindungan dan kerahmatan Allah SWT. 


 Salam perjuangan.





Kredit Penulis : 

Nur Syuhada Binti Abdul Razak.

Mahasiswi Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah. 



....................................................

“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
“Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah”
“BKPPPM_KeluargaKita”
“Bersama_Bersatu”


Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963