ARTIKEL UNIT BIAH SOLEHAH | MEMBUDAYAKAN ETIKA PERGAULAN SYARIE ( SIRI 1 )

 



ARTIKEL UNIT BIAH SOLEHAH MEMBUDAYAKAN ETIKA PERGAULAN SYARIE

 ( SIRI 1 ) 

Tajuk : Halangan Berikhtilat


Ikhtilat merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi dan merupakan perkara yang ditegah oleh Islam. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari. Tambahan pula, dengan adanya kemajuan teknologi tinggi sekarang, ikhtilat bukan sahaja melibatkan perjumpaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi malah dengan kemudahan yang ada seperti Yahoo Messenger, SMS, Whatsapps dan lain-lain. Jarak yang jauh didekatkan, masa yang berbeza tidak menjadi masalah begitu juga dengan kos perhubungan. 


Budaya ini kian sebati serta menjadi darah daging masyarakat kita terutama remaja-remaja.Kadang kala perhubungan dimulakan atas dasar kerja tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi bukan perkongsian kepakaran. Maka tenggelamlah konsep 'Kerja adalah kerja, peribadi adalah peribadi'. Kononnya hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Seolah-olah kita mencari keredhaan manusia dalam kemurkaan Allah taala. Apabila wujud golongan yang mencegah dan menunjukkan kaedah muamalat yang selari dengan syariat Islam maka timbullah konsep SYADID. Sememangnya Islam itu mudah dan tidak membebankan tapi tidak bermakna kita layak untuk mempermudah-mudahkan syariat Islam.


 Adakah salah seorang nisa’ dan rijal menjaga maruah dan pergaulannya? Bercakap,berurusan,berjumpa dan berbincang atas keperluan? Adakah salah bagi seorang nisa’ terutamanya menegaskan suaranya dan menjaga pandangan demi menjaga maruah dirinya?


Firman Allah S.W.T :

Maksudnya "Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari orang-orang beriman supaya menahan pandangan mereka serta menjaga kehormatan mereka dan katakanlah kepada perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka."

 (Surah An-Nur:31) 



Sebenarnya dalam Islam, lelaki dan perempuan tidak dibenarkan bergaul terlalu rapat, sehingga menjadi teman karib dan sebagainya. Lelaki tidak boleh mengahampiri perempuan dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati tanpa sebab. Tetapi Islam membenarkan apabila ada keperluan dan tujuan yang benar-benar perlu. Misalnya apabila ditugaskan mengadakan perbincangan dalam kumpulan besar yang melibatkan lelaki dan perempuan atau perlu berbincang mengenai sesuatu yang penting. Untuk berbual-bual kosong atau bergurau senda tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk saling meluahkan perasaan dan sebagainya. Cukuplah kaum sejenis sendiri untuk dijadikan teman karib dan tempat berbincang masalah.


 Apabila rijal dan nisa' berjumpa tidak kira atas apa jua keperluan dan keadaan perlulah berteman bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: " Tiada akan menyendiri seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan syaitan akan menjadi orang yang ketiga." Ada yang menimbulkan alasan malas menyusahkan rakan untuk menemankan kita. Malas nak tunggu rakan. Malas itu malas ini. Besar sangatkah malas kita berbanding arahan Allah dalam Al-Quran? Tegarkah kita melawan syariatNya?. 


Syariat Islam turut menyarankan kepada kita untuk menundukkan pandangan. Bukan sahaja haram melihat aurat bukan muhrim malahan bahagian-bahagian bukan aurat turut dilarang. Sabda Rasulullah SAW: " Wahai Ali janganlah pandangan (yang kedua) menuruti pandangan (yang pertama) kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (berdosa)." Menjaga pandangan bukannya perkara yang boleh dipandang remeh. Ia merupakan suruhan Allah S.W.T. kepada setiap individu Muslim yang beriman. 


Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nur ayat 30 :

Maksudnya : " Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." 


Kita bukanlah manusia yang sempurna daripada segala salah dan silap. Kita seharusnya sedar jika telah berbuat kesalahan dan melakukan perubahan. Itulah yang membezakan Adam dan Iblis. Kedua-duanya membuat kesalahan tetapi Adam bertaubat sedangkan Iblis telah bersumpah dengan angkuh dan sombongnya untuk menyesatkan anak cucu Adam sampai hari perhitungan. Berhenti dan periksa diri kita, muhasabah kembali tiap perlakuan kita. Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai. Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.



Akhir sekali, ambillah Islam secara syumul,bukan hanya ambil Islam pada perkara yang disukai, tetapi kita tinggalkan sebahagian yang lain yang tidak sesuai dengan kehendak kita. Semoga ia menjadi peringatan bagi kita dan semoga kita dapat mewujudkan biah solehah dalam keredhaanNya. Kembalilah ke jalan yang lurus. Tinggalkanlah perkara-perkara maksiat yang telah kita lakukan sebelum ini. Bertaubatlah sementara kita masih ada kesedaran, jangan tunggu sampai kita dibiarkan sesat oleh Allah sehingga hati kita tertutup untuk menerima kebenaran,

Allah berfirman dalam Surah Al-Jaatsiah ayat 23 : 

Maksudnya : “ Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”  Memang pada mulanya untuk meninggalkan maksiat-maksiat ini amat susah, tetapi,ia masih wajib kita tinggalkan.

Ingatlah Allah berfirman juga dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 :

Maksudnya : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”


Semoga kita dapat mengambil manfaat serta mempraktikkan dalam kehidupan sebagai seorang individu muslim dan berusaha menjadi muslim yang terbaik. Semoga Allah SWT sentiasa memberi rahmat-nya kepada kita.



Nantikan sambungan artikel seterusnya... 





Disediakan oleh : Unit Biah Solehah BKPPPM Sesi 2019/2020.

"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"

#BKPPPM_KeluargaKita
#Bersama_Bersatu

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL