MINDA PIMPINAN | MENGURAI ERTI KEIKHLASAN YANG HAKIKI





اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَالَمِيْنَ وَٱلصَّلَاةُ وَٱلسَّلَامُ عَلَى مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ ٱلْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلَهَ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ ٱلْعَلِيْمُ ٱلْحَكِيْم. وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيْمِ. أَمَّا بَعْدُ.

Ikhlas itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu yang sangat hitam pada malam yang gelap gelita. Begitulah ikhlas; tidak nampak di mata tapi bertapak di hati. Zahirnya tidak kelihatan namun nyata wujudnya di sisi Allah SWT sebagaimana firman-Nya menerusi Surah Ali-Imran ayat 29 mafhumnya, “(Katakanlah, sungguh jika kamu semua menyembunyikan apa yang ada di dalam dada kamu atau menampakkannya maka Allah akan mengetahuinya)”.

Imam Al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya Ayyuhal Walad ketika menasihati muridnya: “Engkau bertanyakan kepadaku mengenai ikhlas, maka ikhlas itu engkau menjadikan segala amalanmu hanya untuk Allah SWT dan hati engkau tidak merasa senang dengan pujian manusia serta engkau tidak peduli dengan kecaman mereka.”

Ikhlas merupakan sesuatu yang batin, tersembunyi di dalam hati manusia yang hanya pemilik hati dan Allah SWT mengetahuinya. Ikhlas berasal dari kalimah ‘kha-lam-sad’ yang membawa maksud kosong, bersih, bebas, tidak bercampur dan jernih.
Timbul satu persoalan, dimana kita semua ketahui, bahawasanya di dalam Al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan Al-Ikhlas, tetapi tiada satu pun perkataan ikhlas di dalam surah tersebut. Mengapa begitu?
Ini kerana, sifat ikhlas itu bukan untuk dipamerkan.Ianya datang dari hati. Tidak dilihat oleh sesiapa melainkan Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Hati yang ikhlas tidak akan tersentuh dek pujian dan tidak akan terkesan dengan kejian mahupun cercaan kerana hati itu tahu pandangan siapa yang perlu diutamakan. keikhlasan perlu diburu bukan hanya duduk diam menunggu ia datang.

Ikhlas adalah roh amal atau jiwa ibadah bagi menjamin kebahagian dan kejayaan kita bukan hanya untuk akhirat malah di dunia lagi kita memerlukannya. Jika ditamsilkan amal ibadah sebagai seorang manusia, dan rohnya adalah nyawa. Maka jasad akan menjadi bangkai dengan ketiadaan nyawa. Bangkai perlu dibuang atau dikuburkan kerana nilai kemanusiaannya sudah tiada lagi di waktu itu. Begitu juga dengan kerja yang tidak ikhlas, diumpamakan seperti bangkai yang tiada nilai di sisi Allah SWT. Semestinya kita mengharapkan setiap amal soleh kita dinilai oleh Allah SWT, malangnya jika ia tidak dalam penilaianNya bermakna ianya tertolak ibarat debu-debu berterbangan hanya kerana tiada ikhlas dalam amalan.

Firman Allah SWT:

هُوَ الْحَيُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ فَادْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: 
" Dialah yang Maha Hidup, tidak ada tuhan selain Dia. Maka sembahlah Dia dengan tulus ikhlas beragama kepada-Nya. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam."
(Ghafir; 65) 

Firman Allah SWT lagi:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya :
 " Padahal mereka hanya diperintah untuk menyembah Allah dengan ikhlas dalam beragama secara lurus, dan juga agar mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar)." 
(Al-Bayyinah; 5)

Juga di dalam Surah Al-Kautsar:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya :
 " Maka laksanakanlah solat dan berkorbanlah semata-mata karena Tuhanmu."
 ( Al-Kautsar; 2)

Kesemua firman Allah SWT diatas jelas menyatakan bahawasanya seseorang hamba itu dituntut untuk ikhlas dalam menyembah Allah SWT sekaligus menuntutnya untuk ikhlas di dalam setiap perbuatan yang dilakukan.

▪️Kaitan diantara faham dan ikhlas

Sabda Nabi SAW:

  عن مُعَاوِيَةَ، قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُول :  
[ مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ) [متفق عليه)    

Daripada Mu'awiyah (RA): Saya pernah mendengar nabi bersabda: "Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman dalam agama." 
[H.R Bukhari dan Muslim]

Melalui hadith ini, jelaslah bahawasanya kefahaman itu adalah pemberian daripada Allah SWT dimana pemberian tersebut diberikan kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya di kalangan orang-orang yang beriman. Sebelum seseorang itu melahirkan sifat ikhlas dalam melaksanakan sesuatu amalan, perlu keatas seseorang itu untuk memahami dengan sebenar-benar faham dengan amalan yang bakal dilakukan. Mana mungkin seseorang itu boleh beramal dengan sebaiknya jika dia masih belum faham bagaimana cara melaksanakannya, apa syarat sahnya, apa hukum hakam yang berkait dengannya. Oleh itu, faham adalah kunci utama di dalam suatu perbuatan, kemudian disusuli dengan ikhlas dalam melaksanakannya.

Hikmah yang dapat kita petik dari hadith ini, antaranya:

1. Ilmu yang disebutkan keutamaannya dan dipuji oleh Allah Ta’ala dan Rasul-Nya adalah ilmu agama. 

2. Salah satu ciri utama orang yang akan mendapatkan taufik dan kebaikan dari Allah Ta’ala  adalah dengan orang tersebut berusaha mempelajari dan memahami petunjuk Allah Ta’ala dan Rasul-Nya SAW dalam agama Islam. 

3. Orang yang tidak memiliki keinginan untuk mempelajari ilmu agama akan terhalang untuk mendapatkan kebaikan dari Allah Ta’ala. 

4. Yang dimaksud dengan pemahaman agama dalam hadith ini adalah ilmu/pengetahuan tentang hukum-hukum agama yang mewariskan amalan soleh, karena ilmu yang tidak disusuli dengan amalan soleh bukanlah merupakan ciri kebaikan. 

5. Memahami petunjuk Allah Ta’ala dan Rasul-Nya SAW dengan benar merupakan penuntun bagi manusia untuk mencapai darjat takwa kepada Allah Ta’ala. 

 6. Pemahaman yang benar tentang agama Islam hanyalah bersumber dari Allah semata, oleh itu hendaknya seorang muslim disamping giat menuntut ilmu, selalu berdoa dan meminta pertolongan kepada Allah Ta’ala agar dianugerahkan pemahaman yang benar dalam agama.

Niat merupakan ukuran kepada amalan seseorang hamba, Allah SWT menilai segala amalan melalui niat kita. Sama ada amalan kita benar-benar ikhlas kerana-Nya ataupun beramal dengan sebab-sebab yang lain.

Niat yang ikhlas juga merupakan sesuatu yang amat penting kerana itu, Imam Nawawi Rahimahullah Ta'ala telah meletakkan hadith berkaitan niat sebagai hadith yang pertama di dalam Arbain Nawawiyah kerana betapa pentingnya niat  dalam melaksanakan sesuatu, yang akhirnya menatijahkan apa yang diniatkan. Sungguh Ikhlas itu sangat mudah untuk disebut, tetapi hendak mempraktikkannya agak sukar. Kerana itu perlu kepada seseorang hamba itu untuk sentiasa melatih dirinya agar sifat ikhlas itu terbit di dalam setiap amalan dan perbuatan yang dilakukan.

Kisah 3 Jenis Manusia menghadap Allah bersama amalan masing-masing.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: Yang pertama kali diseru pada hari kiamat adalah orang yang menghafal Al Quran, orang yang mati syahid dan orang kaya. Kepada orang-orang yang menghafal Al Quran, Allah berfirman: “Apakah Aku tidak mengajar kamu membaca Al Quran yang Aku turunkan kepada RasulKu?” Jawab mereka: “Tentu sahaja, ya Tuhanku” Firman Allah seterusnya: “Untuk apa ilmu yang engku miliki itu?” Jawab mereka: “Saya amalkan dan saya kaji siang dan malam” Firman Allah lagi: “Engkau dusta!” Para Malaikat juga berkata: “Kamu dusta!” Firman Allah: “Sebenarnya engkau ingin mendapat pujian dari orang ramai bahawa engkau seorang qari. Maka cukuplah pujian ramai sebagai pahala untukmu” Sekarang, giliran orang kaya pula dihadapkan kepada Allah. Firman Allah: “Apakah Aku tidak memberi kekayaan kepada mu, hingga engkau tidak memerlukan sesiapa pun?” Jawabnya: “Tentulah ya Tuhanku. Hamba telah mendapat kakayaan dariMu”. Seterusnya Allah berfirman: “Engkau gunakan kekayaan yang Aku berikan itu untuk apa?” Dia menjawab: “Saya gunakan untuk bersilaturahim dan bersedekah” Maka Allah berfirman: “Engkau berdusta!” Firman Allah seterusnya: “Sesungguhnya engkau ingin mendapat pujian sebagai seorang yang pemurah. Nah, ambillah pujian itu sebagai bahagian untuk mu” Kini, tiba giliran yang yang mati syahid dihadapkan kepada Tuhan.Allah berfirman: “Apa yang engkau lakukan selama di dunia?” Jawabnya: “Saya diperintahkan untuk turut serta dalam perang sabil dan perintah itu saya turuti hingga saya mati dalam peperangan itu” Firman Allah: “Kamu dusta!”

Kemudian Allah berfirman: “Sebenarnya engkau hanya ingin dipuji sebagai seorang pahlawan yang berani dan pujian itulah bahagian untukmu”.

Lihatlah penangan keikhlasan, jika tiada maka hilang nilaian Allah SWT pada amalannya. Antara petanda bahawa hati itu sudah terjejas adalah apabila kita tidak endah kepada penghargaan dari Allah SWT tetapi resah apabila tidak dihargai oleh manusia..

Oleh itu, perlu untuk kita fahami disini, menjadi kemestian bagi seseorang muslim itu, menjadikan ikhlas kerana Allah SWT sebagai niat utama dalam melaksanakan amalan dan faham dengan sebenar-benar faham akan sesuatu amalan menjadi kewajipan sebelum kita mengamalkannya. Kita mestilah mengaplikasikan faham dan ikhlas di dalam setiap perbuatan dalam kehidupan kita, supaya amalan yang dipersembahkan dihadapan Allah SWT diterima oleh-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita dengan kefahaman yang baik dalam agama dan mengurniakan sifat ikhlas di dalam setiap perbuatan kita khususnya dalam beribadah kepada-Nya.

Wallahu A'lam..

Semoga bermanfaat, Assalamualaikum wbt..



.........……………………………………
FATIN NURDINI BINTI MUHAMMAD FAZLI
(Timbalan Lajnah Dakwah BKPPPM 2019/2020)

“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
“Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah”
“BKPPPM_KeluargaKita”
“Bersama_Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL