MINDA PIMPINAN | HARGAI NIKMAT SIHAT SEBELUM SAKIT








السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِالله ِمِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَسَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

  .فَيَا عِبَادَ اللهِ أُوصِيكُمْ وَإِيَّايَ نَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ قَالَ اللهُ تَعَالَى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُونَ 


Firman Allah SWT :

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ(3

Maksudnya :
Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. 
(Surah Al Asr) 

Allah SWT telah mengatakan kepada manusia bahawa manusia itu banyak termasuk dalam golongan yang rugi, disebabkan terlalu banyak membuang waktu. Didalam surah ini Allah SWT telah mengajarkan kepada kita untuk memanfaatkan setiap detik yang kita ada dengan meningkatkan keimanan kepada Allah SWT, beramal soleh dan saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran. 

Allah memberikan kepada kita nikmat yang banyak, tetapi disebabkan yang banyak itu diperolehi percuma, tanpa bayaran, berterusan pula, maka kita lupa nilainya. Apatah lagi, bila nikmat itu diberi sejak lahir dan tidak  putus-putus. Apabila nikmat itu hilang, maka baru terasa tinggi nilainya.

Ada dua nikmat yang Nabi sebut yang tidak terasa tetapi bila ia hilang atau ditarik balik oleh Allah, barulah kita terasa ia amat besar, iaitu nikmat sihat dan masa lapang. 


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Dari Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW bersabda:

“Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”
(HR Bukhari) 


Nikmat kesihatan adalah bonus tambahan bagi seseorang untuk melakukan amalan-amalan soleh yang belum tentu mampu dilaksanakan oleh mereka yang ditarik nikmat kesihatannya. Malah ibadah yang dilakukan oleh mereka yang sihat lebih sempurna pelaksanaannya berbanding ibadah yang dilakukan oleh orang yang sakit. Dalam hal ini, hadits riwayat Muslim, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

''Mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah.''


Kaedah terbaik dalam penjagaan kesihatan ialah dengan melakukan pencegahan seawalnya. Namun apabila diserang penyakit, kita terpaksa juga  berikhtiar untuk menyembuhkannya walaupun terpaksa mengambil masa yang panjang. Ini bermakna mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubatinya. Kita diminta berubat apabila ditimpa penyakit  tanpa mengambil sikap membiarkannya. Jangan sesekali  berubat dengan benda yang diharamkan agama. 


Rasulullah SAW  telah bersabda yang bermaksud :

”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”
( Hadis Riwayat Abu Daud).


Dalam satu peristiwa,  orang Arab Badwi telah datang kepada Baginda Nabi dan mereka bertanya: "Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat?" Maka sabda Nabi : "Ya, wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali satu penyakit sahaja." Maka mereka bertanya, "apakah penyakit itu?" Sabda Nabi : "Penyakit itu ialah 'tua'."  
(Hadis Riwayat Ahmad)


Dalam kehidupan seharian, kita sering dihidangkan dengan pelbagai jenis masakan dan juadah bagi memenuhi keperluan jasmani. Tujuannya untuk membekalkan tenaga yang secukupnya bagi melakukan aktiviti  harian. Makan hidangan secara berlebihan boleh memudaratkan badan. Al-Quran menjelaskan mengenai pentingnya bersederhana dalam soal makan dan minum sebagai panduan untuk kebaikan. 


Firman Allah SWT :

 وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan.” 
(Surah al-Araf, ayat 31) 


Elakkan daripada berdepan dengan mereka yang mengidap penyakit bertujuan menghindarinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Jika kalian mendengar ada wabak ta’un di sebuah negeri, maka janganlah kalian memasuki negeri tersebut. Dan jika ta’un itu mewabak di negeri kalian, janganlah kalian keluar dari negeri kalian untuk menghindari penyakit itu.” 
(Hadis Riwayat  Bukhari dan Muslim)

Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengawal diri dari tempat penyakit berjangkit menular. Apatah lagi orang yang sedang sakit itu mendedahkan dirinya kepada masyarakat umum. Sehubungan itu, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya “Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat "
 (Hadis Riwayat Bukhari)

Seterusnya, kesihatan ada hubungannya dengan kebersihan diri dan persekitaran. 


Firman Allah SWT:

إنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

 "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri."
( Surah Al-Baqarah, Ayat 222)


Menjaga kesihatan dalam Islam bukanlah sekadar luaran sahaja tetapi dari segi rohani juga harus dititikberatkan. Jiwa yang tidak diisi ilmu yang berfaedah dan zikir kepada Allah sama seperti jiwa yang kekosongan. Ilmu yang berfaedah sangat penting supaya kita lebih berpengetahuan misalnya ilmu agama. Dengan mengetahui syariat Islam yang diturunkan, kita sebagai umat Islam dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan seterusnya dapat mengamalkan setiap perkara yang disyariatkan dengan baik dan sempurna di sisi Allah SWT. Oleh yang demikian, berdoalah kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar sentiasa dikurniakan kesihatan tubuh badan dan rohani kerana ianya adalah amalan yang disukai Allah.

Sesungguhnya kesihatan adalah nikmat Allah yang paling berharga. Jadi, syukurilah dan gunakanlah ia sebaik mungkin untuk mendekatkan diri kepada Allah, menyampaikan dakwah kepada manusia dan bekerja untuk Islam kerana penyalahgunaan nikmat sihat di sisi Allah adalah sesuatu yang dilarang di dalam Islam.


Firman Allah SWT :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

''Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya) : ''Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala nikmat-Ku) tentu Aku akan menambah nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap nikmat itu) maka sesungguhnya azab-Ku sangat keras.''
(Surah Ibrahim - Ayat 7)


Akhir kalam, marilah kita sama-sama lazimi satu doa agar dikurniakan kesihatan yang baik. 



Doa Dilimpahkan Kesihatan

اَللُّهُمَّ عَافِنِى فِى بَدَنِى, اَللُّهُمَّ عَافِنِى فِى سَمْعِى, اَللُّهُمَّ عَافِنِى فِى بَصَرِى

Ya Allah, sihatkanlah badanku, sihatkanlah pendengaranku serta sihatkanlah penglihatanku




Wallahua'lam.



....................................................................
AIN ZUBAIDAH BINTI HARUN
(Bendahari HEWI BKPPPM 2019/2020)

“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
“Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah”
“BKPPPM_KeluargaKita”
“Bersama_Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL