ARTIKEL UNIT BIAH SOLEHAH | MENGUKUHKAN TAUTAN UKHUWAH

 




ARTIKEL UNIT BIAH SOLEHAH MENGUKUHKAN TAUTAN UKHUWAH 

 Tajuk : Memahami Konsep Ukhuwah Islamiyah


   Ukhuwah Islamiyah (persaudaraan Islam) ialah segugusan perasaan saling hormat menghormati, percaya mempercayai, mahabbah dan kasih sayang antara sesama individu atas asas aqidah Islamiyah, atau iman dan taqwa. 

   Ia juga adalah suatu jalinan / perpaduan antara dua hati orang-orang beriman, yang tulus ikhlas, samasama menikmati; suasana kesetiaan dan kejujuran dalam persaudaraan, saling mendahulukan kepentingan saudara, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, senang sama ketawa gembira, susah sama menangis berduka, ke gunung sama didaki ke lurah sama dituruni, menelentang sama menadah embun meniarap sama memamah pasir.


Ukhuwah Islamiyah adalah satu tuntutan agama. 

 

Firman Allah S.W.T :

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

  “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara.” 

(Surah Al-Hujuraat: 10)


   Firman ini menegaskan bahawa ukhuwah Islamiyah merupakan nikmat suci yang menyinari hati-hati yang diredhai Allah swt, hati-hati yang sempurna iman. Suatu anugerah pemberian Allah Ar-Rahman ArRahim kepada hamba-hambaNya yang benar-benar beriman dan ikhlas.

   Ukhuwah Islamiyah merupakan sifat yang mengiringi keimanan; TIADA UKHUWAH TANPA IMAN DAN TIDAK SEMPURNA IMAN TANPA UKHUWAH. Jalinan persahabatan tanpa keimanan hanya merupakan pertemuan kerana kepentingan, saling bertukar budi, bila tiada lagi kepentingan, persahabatan itu pun luput dan lenyap ditelan masa. Keimanan yang tidak membuahkan ukhuwah, petanda iman tidak sempurna, iman yang tidak sihat yang memerlukan rawatan.


 ما أحب عبد عبدا لله إلا أكرمه الله عز وجل 

(رواه أحمد)

 “Seorang yang mencintai saudaranya kerana Allah sebenarnya ditelah memuliakan Allah Yang Maha Mulia dan Maha Agung.” 


Keutamaan Ukhuwah Islamiyah.


1. Mendapat Kecintaan Allah swt.

Dua hati di antara dua orang yang bersahabat- yang menjalin persahabatan atau persaudaraan kerana Allah swt, akan mendapat balasan dari Allah swt iaitu Allah Ta’ala akan mencintai kedua-dua mereka. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada Rasulullah saw:

“Bahawa seorang lelaki pergi menziarahi saudaranya yang tinggal di sebuah kampung, lalu Allah Ta’ala mengutus seorang malaikat untuk mengawasi perjalanannya itu. Ketika sampai, malaikat bertanya: Hendak bertemu siapa? Jawab lelaki itu: Saya hendak bertemu dengan saudara saya yang tinggal di kampung ini. Malaikat bertanya pula: Apakah kamu akan dapat sesuatu daripadanya?

Jawab lelaki itu: Tidak, tetapi saya mengasihi, merinduinya kerana Allah. Malaikat berkata: Aku diutus Allah kepadamu untuk memberitahu, bahawa Allah mencintaimu sepertimana kamu mencintai saudaramu itu.” 


2. Mendapat perlindungan Allah Ta’ala di hari akhirat.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa RasululLah saw bersabda maksudnya:

 “Pada hari kiamat, Allah akan berfirman (menyeru): Manakah orang-orang yang (dulu semasa di dunia) saling mencintai kerana KeagunganKu? Hari ini Aku akan melindungi mereka, sebab hari ini tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganKu.” 

(Riwayat Muslim) 


3. Berada di atas mimbar-mimbar cahaya.

Hadis qudsi daripada ‘Ubadah bin Shomit, Allah swt berfirman yang bermaksud:

 “KecintaanKu hanya untuk orang-orang yang saling mencintai, saling menghubungkan silaturrahim dan saling berkorban keranaKu. Orang-orang yang saling mencintai keranaKu, akan berada di atas mimbar-mimbar cahaya. Para nabi, sahabat dan syuhada merasa cemburu terhadap mereka”. 

[Hadis Ibnu Hibban dll]


4. Beribadah dengan amal yang paling utama. 

Daripada Mu’az bin Anas, Rasulullah saw telah ditanya tentang apakah amal yang paling utama? Jawab Rasulullah saw maksudnya:

 “Kamu mencintai dan membenci kerana Allah dan kamu menggunakan lidahmu untuk mengingatiNya.” Rasulullah saw ditanya lagi: “Apa lagi wahai Rasulullah?” Rasulullah saw menjawab: “Bahawa kamu suka untuk manusia apa yang engkau suka untuk dirimu sendiri dan engkau tidak suka untuk manusia apa yang engkau tidak suka untuk dirimu sendiri.” 

[Hadis Imam Ahmad]


5. Terhindar dari rasa takut dan dukacita.

Umar r.a meriwayatkan, bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya:

 “Di antara hamba-hamba Allah ada manusia yang bukan para nabi dan bukan pula para syuhada, tetapi pada hari qiamat para Nabi dan para syuhada cemburu kepada mereka kerana kedudukan (istimewa)nya di sisi Allah.”

Para sahabat bertanya; “Wahai Rasulullah! Beritahu kami siapakah gerangan mereka itu?” Rasulullah saw menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, bukan kerana hubungan keluarga dan bukan kerana harta yang mereka saling berikan. Demi Allah! Muka mereka itu bercahaya, mereka berada di atas cahaya, tidak merasa takut ketika orang-orang lain merasa takut, tidak berdukacita ketika orang lain berdukacita.” 

Kemudian Rasulullah saw membacakan ayat:

أَلا إِنَّ أَولِياءَ اللَّهِ لا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

 “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada rasa takut dan mereka tidak bersedih hati.” 

(Surah Yunus: 62) 


6. Terampun segala dosa.

Riwayat ath-Thabrani, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: 

 “Sesungguhnya seorang muslim apabila bertemu dengan saudara muslimnya, lalu berjabat tangan, gugurlah dosa kedua-duanya sebagaimana berguguran daun-daun dari pohon ke bumi di suatu hari yang berangin kencang, diampunkan dosa kedua-duanya walaupun dosanya seperti buih di lautan.”


7. Mengecapi kemanisan iman.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

 “Tiga perkara, sesiapa yang terdapat ketiga-tiga perkara tersebut dalam dirinya, ia akan mengecapi kemanisan iman iaitu; bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari yang lain, bahawa ia tidak mengasihi seseorang kecuali kerana Allah dan bahawa ia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci dilontarkan kedalam neraka".





   Semoga kita dapat mengambil manfaat serta mempraktikkan dalam kehidupan sebagai seorang individu muslim dan berusaha mengukuhkan tautan ukhuwah sesama kita. Pelbagai medium atau program yang telah disediakan oleh pihak persatuan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli. Semoga Allah SWT memelihara ukhuwah yang telah dibina ini.



Disediakan oleh : Unit Biah Solehah BKPPPM Sesi 2019/2020.

"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"

#BKPPPM_KeluargaKita
#Bersama_Bersatu

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL