TARBIAH RAMADAN | REKOMENDASI FASA AKHIR RAMADAN

LAILATUL QADAR: Doa, Tanda, Kelebihan & Amalan Yang Digalakkan
TARBIAH RAMADAN: REKOMENDASI FASA AKHIR RAMADAN 
 ( Oleh : Nur Syuhada Binti Abdul Razak )
( Mahasiswi Universiti Al-Azhar As-Syarif, Kuliah Bahasa Arab )


   Pejam celik pejam celik tanpa kita sedar sekarang kita telah sampai di penghujung Ramadan. Tidak disangka beberapa hari lagi Ramadan bakal menutup tirainya. Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama jadikan rekomendasi ini sebagai petunjuk dan panduan supaya kita dapat istiqamah dalam melakukan amal ibadah sepanjang hidup walaupun di luar bulan Ramadan.


Apa yang diertikan dengan Ramadan ?

➢ Perkataan Ramadan berasal dari akar kata Bahasa Arab (رمــض) atau (الــرمــاض) yang bermaksud panas yang menghanguskan atau kekeringan .

[Kitab 006 , Muslim Ibn Habaj, abul Hussain - Sahih Muslim]

Sebelum mengupas dengan lebih mendalam, marilah kita ketahui apa yang dimaksudkan dengan “Rekomendasi”, iaitu saranan atau cadangan yang bersifat menganjurkan, menggalakkan, membenarkan atau menguatkan mengenai sesuatu yang berguna.

Alhamdulillah, kita sudah tahu apa itu rekomendasi. Mari kita lanjutkan lagi bacaan kita ini.
Fasa akhir Ramadan ini sering dikaitkan dengan Malam Lailatul Qadar. Persoalannya disini apa yang dimaksudkan dengan  Lailatul Qadar ? dan apa keutamaan dan keistimewaan Lailatul Qadar yang dikatakan  Malam 1000 Bulan ?

Mari kita lihat jawapan bagi persoalan-persoalan tersebut.

Maksud Lailatul Qadar :

➢ " Lailatul " bererti malam ketetapan, iaitu satu malam penting yang terjadi pada bulan Ramadan .

   • Terdapat 3 maksud “Qadar” :

1. Bermaksud pengaturan atau penetapan, sehingga Lailatul Qadar dikenali sebagai
malam yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk setiap perjalanan hidup manusia.

2.  Bererti kemuliaan, iaitu malam 1000 bulan adalah satu malam yang sangat
dimuliakan oleh Allah SWT.

3.  Bermakna sempit, iaitu pada malam 1000 bulan adalah malam yang sempit kerana
turunnya malaikat atas izin Allah SWT.


Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam al- Quran :

تَنَزَّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ

[Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut]
(Surah Al-Qadr: Ayat 4)


Keutamaan dan keistimewaan Malam Lailatul Qadar :

Malam yang lebih baik dari 1000 malam.

Firman Allah SWT : 

َلَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

[Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.]
(Surah Al-Qadr : Ayat 3)

Begitulah bunyi ayat 3 Surah al-Qadr. Apa yang menjadikan malam Lailatul Qadar ini lebih baik? Bahkan disebutkan lebih baik daripada 1000 bulan ? Ternyata, yang dimaksudkan adalah amalan puasa, solat, mengaji dan ibadah-ibadah yang lain yang boleh dilaksanakan pada bulan ini. Pahalanya jauh lebih besar dibandingkan dengan amalan yang sama yang dilaksanakan selama seribu bulan.

➢ Malam penuh keampunan.

Lailatul Qadar juga menjadi malam yang dijanjikan keampunan oleh Allah SWT. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda :
“Barangsiapa melaksanakan solat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.”

                                                       Makna dan Sejarah Lailatul Qadar

Malam penuh keberkatan.

Firman Allah Ta’ala :

اِنَّاۤ اَنۡزَلۡنٰهُ فِىۡ لَيۡلَةٍ مُّبٰـرَكَةٍ​ اِنَّا كُنَّا مُنۡذِرِيۡنَ‏ 

[Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab ]
(Surah Ad-Dukhan: Ayat 3)

Dalam kitab Tafsir al-Qurtubi menuliskan juga erti ayat tersebut bererti malam yang diberkati ialah malam Lailatul Qadar, malam yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran.

Malam turunnya para malaikat.

Sementara itu, Surah al-Qadr: ayat 4 menjelaskan bahawa turunnya para malaikat atas izin Allah SWT. Adapun, dalam kitab Tafisr Ibnu Kathir menyebutkan jumlah malaikat yang turun ke muka bumi dimaknakan sebagai banyak keberkatan yang diturunkan.
  Kemudian, mari kita teruskan bacaan kita dengan mengetahui apa amalan pecutan yang dapat kita isikan sepanjang 10 hari terakhir Ramadan ini. Antaranya ialah:

  •   Melakukan iktikaf
Sebagaimana Hadis dari Ummul Mukminin Aisyah radhiallahu’anha, beliau berkata :
“Sesungguhnya Nabi Muhammad shallallahu’alaihi wasallam melakukan iktikaf pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan
Baginda, kemudian isteri-isteri Baginda melakukan iktikaf setelahnya.”

Hadis yang lain, dari Aisyah radhiallahu’anha, beliau berkata:
“Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir dengan kesungguhan yang tidak Baginda lakukan pada waktu-waktu lainnya.”

Terdapat lagi hadis yang lain, dari Aisyah RA, beliau berkata :
“Rasulullah SAW apabila memasuki 10 malam terakhir, Baginda mengikat sarungnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan isteri-isterinya (untuk solat malam).”

Tetapi bila kita melihat pada tempoh pandemik COVID-19 ini, kebanyakan masjid tidak dibuka, maka kita dapat memanfaatkan ruang solat di rumah kita sebagai tempat beriktikaf. Menurut Ulama Syafi’iyah, seseorang itu boleh menjadikan permaidani atau sejadah atau membuat ruang kecil di dalam rumah sebagai pengganti masjid untuk beriktikaf.

Tanda-Tanda Lailatul Qadar, Kenali Agar Peroleh Kemuliaan Seribu ...

  •   Memperbanyakkan doa
Imam Ibnu Kathir rahimullah menjelaskan, sangat digalakkan untuk memperbanyakkan doa pada setiap waktu, terlebih di bulan Ramadan, terutamanya lagi pada 10 malam terakhir (malam-malam
ganjil).
Adapun doa yang dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu’alaihi wassallam adalah seperti yang dikhabarkan oleh Ummul Mukminin, Aisyah RA berikut ini:
“Wahai Rasulullah, seandainya aku bertepatan dengan Lailatul Qadar, doa  apa yang aku boleh katakan ?” Baginda SAW menjawab maksudnya : ya Allah ya tuhan kami, sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepada kami. ”

  • Qiamullail (solat malam/tahajud)
Qiamullail adalah solat pada malam hari yang dikerjakan setelah solat fardu isyak hingga terbit fajar. Di bulan Ramadan, ia disebut dengan istilah Qiyam Ramadan, iaitu di antaranya solat terawih, witir, tahajud dan solat sunat yang lainnya.

Nabi shallallahu’alaihi wasallam bersabda:
 “Siapa yang solat pada waktu malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap keredhaan Allah SWT akan diampuni dosanya yang telah lalu.”
 [H.R al- Bukhari dan Muslim]

  •  Membaca al-Quran
Ramadan merupakan bulan al-Quran kerana di bulan inilah Allah Ta’ala menurunkan al-Quran al-Karim.

Sebagaimana firman Allah SWT :

شَهۡرُ رَمَضَانَ الَّذِىۡٓ اُنۡزِلَ فِيۡهِ الۡقُرۡاٰنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَ بَيِّنٰتٍ مِّنَ الۡهُدٰى وَالۡفُرۡقَانِۚ فَمَنۡ شَهِدَ مِنۡكُمُ الشَّهۡرَ فَلۡيَـصُمۡهُ ؕ وَمَنۡ کَانَ مَرِيۡضًا اَوۡ عَلٰى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنۡ اَيَّامٍ اُخَرَؕ يُرِيۡدُ اللّٰهُ بِکُمُ الۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيۡدُ بِکُمُ الۡعُسۡرَ وَلِتُکۡمِلُوا الۡعِدَّةَ وَلِتُکَبِّرُوا اللّٰهَ عَلٰى مَا هَدٰٮكُمۡ وَلَعَلَّکُمۡ تَشۡكُرُوۡنَ‏ 

 [ Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. ]
(QS. Al-Baqarah :ayat 185)

Membaca al-Quran di bulan Ramadan sangat dititikberatkan oleh Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam. Salah satu keutamaan membaca al-Quran di bulan Ramadan adalah dilipatgandakan pahalanya. Jika satu huruf digandakan kepada 10 kebaikan (rahmat) dari Allah Ta’ala, maka bulan Ramadan, ganjarannya boleh dilipatgandakan sampai 700 kali atau selebihnya.
  •  Bersedekah
Rasululah SAW menyifatkan bulan Ramadan sebagai ‘Syarh Muwasah’ , iaitu bulan saling membantu, sebagaimana dirirwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya. “Mencari-cari dan memperhatikan fakir miskin dan memenuhi keperluan orang yang memerlukan adalah ketaatan yang paling utama dan kebaikan yang paling indah.”

Dalam hadis yang lain pula dikatakan: “ Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah kebahagiaan yang engkau masukkan ke dalam hati seseorang muslim, atau engkau mengyingkirkan dari kesusahannya, atau engkau mengusir rasa lapar darinya, atau engkau melunasi hutangnya.” [H.R at-Thabrani]

Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, terimalah sebuah kalam :

 Sepuluh malam terakhir,
Ada antaranya malam Lailatul Qadar, Malam yang lebih baik daripada alfu syahr, Perbanyakkanlah ibadah dan berzikir, Semoga Ramadan kali ini paling terbaik.
Suasananya amatlah tenang,
Ibadahlah dikala sempit dan lapang,
Supaya hati dalam keadaan senang,
Beginilah rasa di bulan Ramadhan yang panjang,
Syaitan telah dibelunggukan,
Doa akan sentiasa diaminkan,
Atas usaha yang sering bertambahan, Supaya pahala dapat digandakan, Itulah rahmat-Nya Ramadan .

Intihanya, jadikan Ramadan sebagai madrasah, iaitu tempat pentarbiahan dan mendidik diri kita agar sama-sama kita sentiasa perbanyakkan amal dan ibadah. Oleh itu, dalam bulan yang mulia ini, marilah bersama sama kita berhijrah dari sifat mazmumah ke sifat mahmudah supaya kita beroleh rahmat dan berkat daripada Allah SWT. Sikap lalai dan leka pada permulaan Ramadan kemudian bermujahadah hingga penghujungnya adalah lebih baik daripada lalai sehingga akhir Ramadan.

Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat dan istifadah kepada kita. InshaAllah.

Wallahua'lam...


 Disediakan oleh :
 Lajnah Penerangan & Penerbitan BKPPPM Sesi 2019/2020

 "Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
 "Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"

#BKPPPM_KeluargaKita
#Bersama_Bersatu











Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963