Isu Semasa | THE DEAL OF THE CENTURY (TATKALA PENJAJAH MEMBULI DAN UMMAH MENYEPI)


1. LATAR BELAKANG

The Deal of The Century adalah ‘pelan damai’ yang bercita-cita menyelesaikan isu Palestin – Israel di Timur Tengah. Ia diusahakan oleh Jared Kushner, menantu dan penasihat Trump; David Friedman, duta US ke Israel dan Jason Greenblatt sebagai ketua perunding.

Desas-desus tentangnya telah lama kedengaran, tetapi inti patinya dirahsiakan sehinggalah juzuk daripadanya didedahkan pada tahun lepas apabila Kushner membentangkan aspek ekonomi dalam pelan ini, dalam bengkel yang disebut sebagai Bahrain Workshop di Bahrain.

Pihak Palestin, walaupun merupakan pemegang taruh terbesar, tidak pernah diajak berbincang mengenai pelan ini, malah tidak dilibatkan dalam sebarang pengumuman samada di Bahrain tahun lepas, atau pembentangan oleh Trump di Rumah Putih semalam.

2. MENGAPA SEKARANG?

Walaupun telah direncana sekian lama, US mempunyai beberapa sebab pelan ini diumumkan semalam. Pertamanya pihak Israel dalam perpecahan dalaman yang berlaku, gagal membentuk kerajaan baru sehinggakan pilihanraya terpaksa diulang sebanyak tiga kali. Akhirnya, US yang tidak tahu dengan siapa pelan ini akan dilaksanakan, mengambil keputusan melibatkan kedua-dua pihak Benjamin Netanyahu sebagai penyandang PM dan Benny Gantz sebagai pencabar utama dalam perbincangan dan pengumuman semalam.

Kedua, US telah ‘test the waters’ melalui Bengkel Bahrain untuk melihat respon dan penerimaan antarabangsa terhadap apa yang mereka cuba lakukan, dan ternyata beberapa negara khususnya negara Arab seperti UAE, Arab Saudi dan Bahrain sangat bersedia menjadi tunggangan di dalam pelan ini.

Ketiga, dalam keadaan PM Israel Netanyahu berdepan pilihanraya dan tuduhan salah guna kuasa, dan Presiden US berdepan risiko pemecatan, tindakan ‘heroic’ perlu dilakukan untuk mendapatkan semula kepercayaan dan sokongan rakyat masing-masing.




3. APA ISU PALING BESAR PELAN INI?

Isu paling besar pelan ini ialah bagaimana pihak Palestin langsung tidak dilibatkan di dalam perbincangan, yang ternyata dari awal adalah idea berat sebelah memenangkan kehendak US dan Israel. Ia disebut sebagai agenda ‘membahagikan apa yang bukan dimiliki mereka, kepada orang yang tiada hak menerimanya’.

Pelan ini juga sebagaimana dibentangkan Trump semalam menyentuh isu-isu yang sangat sensitif dan dengan berat sebelah memberi muka kepada Israel dalam segala aspek, contohnya menyerahkan Jerusalem kepada Israel sebagai ibu negara, menghalalkan penempatan-penempatan haram yang dibina pendatang dan penjajah di atas tanah jajahan Palestin walaupun ditolak undang-undang antarabngsa, menidakkan hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka serta pengiktirafan Israel sebagai negara Yahudi yang sah oleh negara-negara Arab.

Ternyata semua keputusan yang disarankan, memenuhi aspirasi dan cita-cita negara haram Israel.

4. APAKAH YANG DITAWARKAN UNTUK PALESTIN?

Palestin ditawarkan untuk membentuk sebuah negara tanpa kekuataan tentera, diberikan kuasa autonomi ke atas 15% daripada tanah asal Palestin dan disogok dengan pelan bantuan ekonomi bernilai 50 billion dollar.

Negara Palestin yang akan dibentuk kelak, adalah negara tidak berdaulat, tidak mempunyai hak mempertahankan diri dan tidak berkuasa melainkan dalam beberapa perkara kecil. Dengan bahasa mudah, ia bertujuan menjadikan penjajahan keatasnya sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Trump memberi tempoh masa 4 tahun kepada Palestin untuk menerima tawaran tersebut. Jika ditolak, Palestin berdepan ancaman dibiarkan tergantung tanpa bantuan dan berdepan krisis kemanusiaan, sebagaimana langkah mula yang dilakukan US apabila memotong bantuan kepada Palestin melalui UNRWA tahun lepas, yang menyebabkan puluhan ribu keluarga terkesan.

5. APAKAH RESPON PALESTIN?

Seluruh faksi di Palestin menolak pelan ‘The Deal of The Century’. Ia dianggap penjenamaan semula ke atas Perjanjian Balfour yang mengasaskan pembentukan negara haram Israel dan cubaan merasuah dan membeli tanah air milik penduduk asal dengan sogokan kewangan dan bantuan.

6. ADAKAH AKAN BERLAKU PEPERANGAN AKIBAT PELAN INI?

Secara asas, kedua-dua pihak Palestin dan Israel tidak berminat untuk terjun ke dalam peperangan ketika ini. Israel sedang berdepan tempoh pilihanraya dan masalah imej yang semakin buruk di kalangan masyarakat antarabangsa, dan Palestin, di pihak FATAH berdepan isu sokongan rakyat yang semakin merudum kerana dilihat terlalu dekat dengan musuh, sedang G aza pula giat mencari jalan meringankan beban ke atas penduduknya, melalui siri ziarah Ketua Biro Politik HAMAS, Ismail Haniyeh di luar.

Apa yang akan berlaku ialah penerusan demonstrasi dan kebangkitan menolak pelan ini, yang bermula sejak semalam, dan kalau kedua pihak bersungguh-sungguh, penyatuan FATAH dan HAMAS untuk mencari solusi dan alternatif kepada apa yang ditawarkan.

7. KESIMPULAN

Pelan The Deal of The Century adalah bentuk penjajahan baru dalam usaha berterusan menidakkan hak dan tanah air Palestin, serta mengahpuskan isu ini secara total. Umat perlu bangkit memberikan sokongan melalui hebahan media dan isu, demosntrasi di negara masing-masing dan mendesak kenyataan kepimpinan negara. Ketumbukan negara Islam perlu menawarkan alternatif kepada sogokan dan tawaran berat sebelah yang dihulurkan oleh pihak US – Israel, agar Palestin tidak keseorangan berdepan kezaliman ini.

Kredit : Nadir Al-Nuri http://t.me/nadiralnuri

Disediakan oleh : Lajnah Penerangan Dan Penerbitan BKPPPM 2019/2020

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"

#BKPPPM_KeluargaKita
#Bersama_Bersatu

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963