Minda Pimpinan | Syura : Sunnah Yang Diabaikan




وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

 “ Dan juga (lebih baik  dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan  solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa  yang kami beri kepadanya ”
Dr. Taufiq As Syawi berkata:“ayat tersebut memberikan apresiasi yang sangat besar terhadap sistem syura. Bahkan, sejak awal dakwah Islam muncul di Mekah, Islam telah menjadikan syura sebahagian dari pembentukan masyarakat Muslim dan dasar hukum yang berlaku di dalamnya. Kemudian, sistem syura kembali ditekankan ketika di Madinah, iaitu saat kaum Muslimin memiliki negara sendiri. Bermula di sana sistem syura menjadi dasar bagi aturan hukum dan perundangan yang berlaku.”

Definisi Syura
Menurut kamus dewan edisi keempat syura membawa maksud mesyuarat untuk mencapai keputusan menurut suara terbanyak.
Menurut (Lughah) bahasa, syura memiliki dua pengertian, yaitu menampakkan dan memaparkan sesuatu atau mengambil sesuatu [Mu’jam Maqayis al-Lughah 3/226].
Adapun secara istilah, beberapa ulama terdahulu telah memberikan definisi syura, diantara mereka adalah Ar Raghib al-Ashfahani yang mendefinisikan syura sebagai proses mengemukakan pendapat dengan saling memberi pendapat antara peserta syura [Al Mufradat fi Gharib al-Quran hlm. 207].
Ibnu al-Arabi al-Maliki mendefinisikannya dengan perkumpulan untuk meminta pendapat (dalam suatu permasalahan) dimana peserta syura saling mengeluarkan pendapat yang dimiliki [Ahkam al-Quran 1/297].

Sedangkan definisi syura yang diberikan oleh pakar feqah kontemporari diantaranya adalah proses menelusuri pendapat para ahli dalam suatu permasalahan untuk mencapai solusi yang mendekati kebenaran [Asy Syura fi Zhilli Nizhami al-Hukm al-Islami hlm. 14].

Dapat kita fahami bahawa syura adalah satu konsep dalam menentukan sesuatu keputusan dalam pemerintahan Islam. Sistem ini sangat penting sebagai faktor utama kejayaan politik Islam, dan atas asas ianya sebagai penentuan atau penjamin tidak akan cacatnya pelaksanaan dalam mana-mana zaman.

Sesungguhnya pemerintah akan bersama-sama rakyat dalam mencari penyelesaian dalam mencapai keputusan untuk organisasi, masyarakat, persatuan atau politik dan merupakan prinsip dasar negara dan masyarakat muslim.

Peranan Syura

Terdapat beberapa peranan yang penting wujudnya majlis syura terutamanya di dalam sistem kepimpinan Islam. Antaranya adalah untuk :

a) Melakukan pemilihan ketua negara
       
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“Sesiapa yang membaiah seseorang lelaki tanpa melalui permesyuaratan di kalangan orang-orang Islam, janganlah kamu mengikutinya, iaitu orang yang dibaiah dan orang yang memberi baiah. Ditakuti kedua-duanya akan dibunuh” (Sharh Fath al-Bari, juz. 2: 144)

b) Mendekatkan rakyat dengan pemerintah

Syura bukan sahaja dihadiri oleh golongan pemerintah, tetapi turut diikuti oleh golongan-golongan lain seperti ahli akademik, perniagaan dan sebagainya. Sesuatu keputusan musyawarah, tidak tertakluk kepada keputusan pemerintah tetapi turut mengambil kira pendapat dan pandangan dari orang-orang bawahan termasuklah rakyat jelata.

Kekuatan syura terletak pada kenyataan bahawa musyawarah membawa masyarakat lebih dekat antara satu sama lain dan memberi kesempatan bagi mereka untuk menyuarakan pandangan tentang permasalahan yang menyangkut masyarakat umum. Hal ini juga akan menyebabkan wujudnya keharmonian dalam soal bernegara.

c) Menegakkan dan menyebarkan agama Islam

Syura juga berperanan dalam menegakkan agama Islam ke setiap pelusuk tanah air yang mengamalkan sistem tersebut. Oleh kerana itulah Islam memberi penekanan yang amat besar terhadap kosep syura, khususnya dalam mengendalikan urusan duniawi yang mesti ditegakkan dengan agama. Selain itu syura juga memberi hak kepada manusia untuk berfikir dan menggunakan kebijaksanaan mereka dengan menyuarakan pendapat-pendapat mereka terhadap sesuatu masalah.

Syura juga boleh menyelamatkan para pemimpin dari lembah dosa, terutamanya dalam melaksanakan sesuatu hukum. Ini adalah kerana, jika pemimpin menggunakan keputusan sendiri, ianya ditakuti akan dipengarui oleh faktor-faktor luar.

d) Sebagai penasihat dalam kepimpinan Islam

Dalam kepimpinan Islam, penasihat merupakan elemen penting yang mesti wujud, dalam masa yang sama ia berperanan sebagai juru pandu sesuatu kepimpinan. Oleh yang demikian, salah satu penasihat yang menyumbangkan kepada kecemerlangan sesebuah kepimpinan itu adalah syura.

Oleh itu, syura dilihat sebagai penasihat bagi setiap keputusan yang dibuat oleh seseorang pemimpin dalam kepimpinannya. Lebih jauh daripada itu, syura bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah-masalah dalam pentadbiran, malahan ia sebagai medan perbincangan strategi dan pengkhususan kerja dalam sesebuah kepimpinan Islam.

e) Membentuk akhlak mulia dalam kepimpinan

Sebagaimana yang diketahui, syura merupakan satu konsep permesyuaratan yang melibatkan penyertaan ramai ahli, Setiap individu berhak menyuarakan atau mengemukakan pendapat tanpa sebarang sekatan. Proses syura berlangsung dalam keadaan aman dan saling menghormati pandangan antara satu sama lain.



Oleh yang demikian, secara tidak langsung syura berjaya membentuk akhlak mulia di kalangan ahli dan pimpinan.

Iltizamnya Nabi SAW Dengan Syura 

Disebut oleh ibnu Hisyam, bahawa Nabi S.A.W bermesyuarat dengan dengan pemimpin tertinggi tentera Islam untuk menyusun strategi dan langkah paling baik menghadapi musuh.

Baginda S A.W berkata : " Demi Allah, aku telah bermimpi dengan sesuatu yang baik. Aku bermimpi lembu disembelih, mata pedangku berlubang dan aku memasukkan tangan ke dalam baju rantai yang kukuh". 

Seterusnya baginda mentafsirkan mimpi tersebut :

"Lembu yang disembelih menandakan ada beberapa orang Sahabat Baginda yang terkorban syahid; Mata pedang sumbing menandakan kekalahan akan berlaku, namun selepas kekalahan tersebut akan mengundang kemenangan yang lebih besar." - Riwayat Muslim

Hal yang demikian, menunjukkan bahawa Rasullullah S.A.W telah mendapat petanda daripada  Allah S.W.T. Akan tetapi Baginda S.A.W tetap melakukan musyawarah meminta pendapat para sahabat.

Rasullullah S.A.W turut mengusulkan pendapat agar mereka bertahan dari dalam kota Madinah sahaja dan cadangan tersebut disokong oleh ketua munafik iaitu Abdullah Bin Ubai.

Namun, terdapat sebahagian besar sahabat yang terdiri dari kalangan pemuda berasa rugi tidak menyertai peperangan Badar sebelum ini mendesak supaya keluar bertemu dengan musuh.

Akhirnya, Rasulullah S.A.W menarik pendapat Baginda dan menerima pendapat majoriti iaitu keluar bertemu musuh di luar kota Madinah.

Kemudian, Baginda memberi kata semangat kepada tentera Islam dan mengenakan pakaian perang. Akibatnya para sahabat rasa bersalah terhadap Rasulullah dan meminta untuk dipertimbangkan keputusan syura yang telah dibuat.

Namun Baginda S.A.W tegas berkata :

"Tidaklah patut bagi seorang Nabi itu apabila dia telah memakai baju besi (untuk keluar berperang) lalu dia membukanya semula. Biarlah sehingga Allah menentukan keputusan diantaranya dan musuh".

Keputusan para sahabat untuk bertempur di luar Madinah bukanlah lahir dari sikap melawan terhadap keputusan Baginda S.A.W, tetapi lahir dari semangat jihad yang membara. Oleh kerana itu, mereka semua telah bulat dan sepakat terhadap keputusan syura tersebut untuk sama-sama keluar bertempur di Bukit Uhud dan beriltizam dengan hasilnya.

Begitu Jelas sifat yang diterapkan oleh Baginda S.A.W terhadap hasil syura menunjukkan bahawa Baginda sangat berpegang teguh dengan keputusan syura walaupun bertentangan dengan pendapat Baginda S.A.W.

Melalui peristiwa tersebut, Allah S.W.T telah berfirman :

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“ Maka dengan rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkan mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. ”(Ali Imran : 159)

Daripada peristiwa tersebut juga terzahirnya sifat munafik yang membelakangkan sunnah ini, tabiat orang-orang munafik sememangnya lebih banyak bercakap daripada berusaha, lebih banyak meramal daripada beramal, lebih kerap beralasan daripada bertindak, lebih banyak mencari silap orang lain daripada memulihkan kesilapan diri sendiri walaupun mereka menggunakan pelbagai alasan  semata demi kepentingan diri.

Kesimpulannya, walapun kadang-kadang hasil daripada iltizamnya kita dengan syura tidak seperti yang diingini, akan tetapi terdapat berkat dan hikmah yang lebih baik yang tidak kita ketahui. Perkara tersebut adalah lebih baik kerana kita jalankan secara kolektif dan tersusun berbanding secara individu selain menampakkan keizzahan Islam di mata dunia. 
Tiadalah izzah sesuatu kaum, melainkan dengan keizzahan Islam.

Sekian.


Safmeezool Ameer Bin Satar
Timbalan Yang Dipertua BKPPPM Sesi 2018/2019

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Bersatu Berbakti"
"Biah Berkualiti"
"Fikrah dan Thaqafah Islamiah"

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963