LAPORAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN BKPPPM KALI KE-42


LAPORAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN BKPPPM KALI KE- 42 
- OKTOBER 22, 2019


KAHERAH, 17 OKTOBER 2019 – Bertempat di Sutuh Asrama Pelajar Pulau Pinang, Mesir, Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir ( BKPPPM ) kali ke - 42 telah berlangsung dengan jayanya bertemakan “ Musyawarah Perintis Kesatuan Ummah. “ 

Majlis perasmian bermula pada jam 8.00 malam dengan ucapan pembukaan oleh pengerusi umum iaitu saudara Muhammad Amirul Uzair Bin Mohd Khairi. Seterusnya, majlis diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran daripada wakil ahli keluarga Pelajar – Pelajar Kelantan Mesir ( KPKM ) saudara Nik Muhammad Ikhwan Bin Nik Muhamed Amin. Majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah Program MAT BKPPPM kali ke - 42, Ustaz Muhamad Syamim Bin Daud, seterusnya ucapan Yang Dipertua BKPPPM Ustaz Muhammad Hafizuddin Bin Mat Nasir dan majlis dirasmikan dengan ucapan Perasmi Program MAT BKPPPM kali ke - 42 oleh Ustaz Faqrurrozi Bin Abdullah,Penasihat BKPPPM sesi 2018/2019 . Dalam ucapan perasmian tersebut beliau ada menceritakan serba sedikit tentang sejarah penubuhan BKPPPM yang mana keberlangsungan BKPPPM selama 42 tahun ini memerlukan sokongan daripada ahli untuk menggerakkan BKPPPM mengikut posisi masing - masing dan menjadikan MAT sebagai medan terbaik untuk berbincang dan melontarkan idea yang bernas bertepatan dengan tema kali ini “ Musyawarah Perintis Kesatuan Ummah “ demi memastikan perjalanan BKPPPM pada masa akan datang lebih baik. Perasmi mengakhirkan ucapan beliau dengan Ummul Kitab Al-Fatihah.

Seusai ucapan perasmi, majlis diteruskan dengan pertunjukan gimik dan penyampaian cenderahati kepada perasmi program dan pembaca ayat suci al-quran. Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sijil kepada semua pengarah program dan AJK setiap Lajnah serta penyampaian anugerah-anugerah  kepada ahli, antara anugerah tersebut ialah Anugerah  Mahasiswa Dan Mahasiswi Cemerlang Pengajian Islam, Mahasiswa Dan Mahasiswi Cemerlang Sains Kesihatan, EXCO Terbaik, Aktivis Terbaik, dan Tunas Harapan. Majlis ditangguhkan dengan bacaan kafaratul majlis, Surah Al-Asr dan bergambar beramai-ramai.


HAYYU SABI’E , 19 OKTOBER 2019 – Berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan BKPPPM kali ke - 42 pada jam 9.00 pagi dimulakan dengan ucapan pengerusi umum dan menjemput semua barisan kepimpinan sesi 2018/2019 ke tempat persidangan bagi memulakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke - 42. Mesyuarat yang dikendalikan sepenuhya oleh Yang Dipertua dimulai dengan pelantikan 4 orang setiausaha sidang dan 2 orang pengira undi dan mesyuarat diteruskan dengan Pembentangan Laporan Minit Mesyuarat Agung Tahunan sesi 2017/2018 oleh Setiausaha Agung Saudara Muhamad Syamim Bin Daud. Selesai Pembentangan tersebut, Mesyuarat diteruskan dengan laporan gerak kerja setiap jabatan dan lajnah dimulai dengan laporan gerak kerja Jabatan Yang Dipertua sehingga laporan gerak kerja Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI). Pelbagai persoalan yang ditimbulkan dan penjelasan yang diberi antara pimpinan dengan ahli perwakilan. Disamping itu, sesi pembentangan diselangi dengan cabutan bertuah daripada AJKT/H kepada ahli yang hadir. Mesyuarat ditangguhkan pada 12.30 tengah hari  bagi memberi ruang kepada ahli untuk solat zohor, makan dan rehat.


Mesyuarat disambung semula pada jam 2.00 petang, dan diteruskan dengan pembentangan dan pengesahan laporan penyata kewangan BKPPPM sesi 2018/2019 oleh saudara Mohamad Hamizan Bin Che Sab, Bendahari Agung sesi 2018/2019. Selesai Sesi soal jawab, mesyuarat diteruskan dengan perlantikan saudara Muhamad Iman Bin Fadzil dan saudara Muhammad Khalil Bin Abdullah sebagai Juru Audit bagi sesi 2019/2020. Agenda mesyuarat diteruskan dengan pembentangan keberjayaan visi, misi dan usul BKPPPM sepanjang sesi 2018/2019 dan Perbahasan Usul  dari ahli perwakilan yang hadir. Mesyuarat diteruskan lagi dengan sesi muhasabah dan cadangan bagi setiap jabatan dan lajnah dimulai dengan Lajnah Ekonomi sehingga Jabatan Bendahari Agung BKPPPM Sesi 2018/2019 dan  berhenti pada jam 4.50 petang  untuk solat berjemaah dan rehat.


Persidangan mesyuarat bersambung semula pada jam 6.00 petang dengan muhasabah dan cadangan bagi Jabatan yang seterusnya iaitu Jabatan Setiausaha Agung, dan Jabatan Yang Dipertua BKPPPM sesi 2018/2019 bagi  memperbaiki kekurangan serta memastikan kelancaran untuk kepimpinan akan datang. Pihak kepimpinan menerima semua bentuk muhasabah dan cadangan yang diberikan dengan hati yang terbuka dan akan berusaha mengatasi segala kekurangan yang ada.

Kepada semua yang memberi respon diucapkan ribuan terima kasih, seterusnya agenda diteruskan dengan agenda yang terakhir iaitu tayangan video Ucapan  terakhir daripada semua Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Hewi, diikuti ucapan penutup oleh 2 orang wakil penasihat BKPPPM, seterusnya ucapan daripada  Naib Pengerusi hewi, dan terakhir ucapan daripada Yang Dipertua BKPPPM sesi 2018/2019. 

Antara ucapan Yang Dipertua, kepentingan mencari pelapis bagi meneruskan kesatuan BKPPPM demi menyambung legasi orang - orang terdahulu menjaga kebajikan pelajar Pulau Pinang serta  beliau mengucapkan tahniah dan takziah kepada kepimpinan baru. Seterusnya berlangsung gimik pembubaran jawatan oleh semua AJKT/H dengan menanggalkan Kad AJKT/H.

Majlis seterusnya diserahkan kepada  Suruhanjaya Pilihanraya. Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan kenaikan barisan kepimpinan sesi 2019/2020 dan gimik penyerahan tampuk kepimpinan kepada Yang Dipertua BKPPPM 19/20 saudara Muhammad Aqli Hakimi Bin Zulkipli. 

Berakhirnya pengumuman dan gimik tersebut, maka berakhirlah Mesyuarat Agung Tahunan kali ke - 42 dan tampuk kepimpinan sesi 2018/2019. Akhir sekali majlis diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada semua mantan AJKT/H sesi 2018/2019 dan kepada semua ahli lembaga penasihat BKPPPM sesi 2018/2019. 

Pihak kami memohon ribuan kemaafan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan dari pelbagai aspek serta kerjasama yang baik dalam Mesyuarat Agung Tanunan pada kali ini.

Harapan kepada semua ahli BKPPPM supaya kita tetap bersatu menjaga kesatuan ini, sentiasa menyokong dan mendokong BKPPPM dalam semua keadaan serta memberi  sepenuhnya kepercayaan kepada barisan kepimpinan yang akan datang. Semoga bertemu semula pada MAT BKPPPM akan datang.

Disediakan Oleh,
(Setiausaha Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan Pelajar Pelajar Pinang Mesir Kali ke - 42)


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL