Fiqh Korban : Pembahagian Yang Afdhal Bagi Daging Korban
Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah
sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang
muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Rujuk
al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2:478)
Selain itu, daging korban itu wajib untuk disedekahkan
kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam berdasarkan firman
Allah SWT:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ
الْفَقِيرَ
Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging)
binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang
fakir miskin.
(Surah al-Hajj: 28)
Menjawab persoalan tentang pembahagian yang afdhal bagi
daging korban, kami menyatakan bahawa hal ini hendaklah terlebih dahulu melihat
sama ada korban tersebut merupakan korban sunat atau korban nazar atau yang
telah ditentukan untuk dijadikan korban.
Jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban
sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan
korban tersebut. Walau bagaimanapun, harus untuk dia mengagihkan kesemua daging
korban tersebut kepada orang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan
oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:
فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً
بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ
أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن
لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا
Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian
Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang
terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan
kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak.
Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya. (Hadith riwayat
Muslim: 1218)
Oleh itu, daging korban tersebut boleh dibahagikan kepada
beberapa cara, antaranya:
Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil
1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3
daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.
Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada
daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir
miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan
kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Dalam hal ini, memberi sedekah
kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada
golongan kaya.
Namun cara yang afdhal ialah, seseorang yang melakukan
korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan
sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana
menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan
diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri
sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal
dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW.
(Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)
Sebaliknya, jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan
sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia wajib
menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan
tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad Fi
Fiqh al-Syafie: 485)
Oleh itu, al-Sheikh Muhammad Bin Ahmad al-Syathiri di dalam
kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis, mengatakan bahawa:
وَالأَفْضَلُ فِي الضَحِيَّةِ المَسْنُونَةِ
: أَن يَتَصَدَّقَ بِأَكْثَرِهَا وَيَبْقَى لَهُ قَلِيلًا للبَرَكَةِ
Maksudnya: Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan
korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan
meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Rujuk
Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826)
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami
menyimpulkan bahawa jika sekiranya korban tersebut merupakan nazar atau yang
telah ditentukan untuk dijadikan korban, maka wajib untuk dia menyedekahkan
kesemua daging tersebut dan tidak boleh dia memakan sebahagian daripadanya.
Manakala, jika sekiranya ia merupakan korban yang sunat, maka
cara yang afdhal bagi pembahagian daging korban tersebut ialah menyedekahkan
kesemuanya bagi mencapai tujuan korban tersebut, serta memakan sedikit
daripadanya untuk beramal dengan zahir nas al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam
mengamalkan syariat agamaNya dengan sebaiknya. Amin.
WaAllahu a’lam.
kredit : IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-23 : PEMBAHAGIAN YANG AFDHAL BAGI DAGING KORBAN
kredit : IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-23 : PEMBAHAGIAN YANG AFDHAL BAGI DAGING KORBAN
http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/edisi-haji-korban/3623-irsyad-al-fatwa-haji-dan-korban-siri-ke-23-pembahagian-yang-afdhal-bagi-daging-korban
...........................................................................
"Membumi Pengorbanan Melangit Perjuangan"
"Bersatu dan Berbakti"
"Biah Berkualiti"
"Fikrah Thaqafah Islamiah"
"Membumi Pengorbanan Melangit Perjuangan"
"Bersatu dan Berbakti"
"Biah Berkualiti"
"Fikrah Thaqafah Islamiah"
Comments