APRIL FOOL'S DAY





     Sebenarnya April Fool adalah sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.

    Kebiasaannya orang akan mengatakan bahawa April Fool (yang hanya berlaku pada tanggal 1 April) adalah hari di mana kita boleh menipu kawan, orang-orang tua, saudara-mara atau sesiapa sahaja, dan mangsa gurauan itu pula tidak boleh marah atau beremosi apabila sedar bahawa dirinya telah menjadi sasaran April Fool.

    Walaupun ia tidak  sehebat  perayaan tahun baru atau Valentine's Day, budaya April Fool telah menggambarkan kecenderungan yang semakin menyatu dalam masyarakat ketika ini terutamanya di kalangan anak muda. Ironinya, masyarakat dengan sangat  mudah terikut-ikut budaya Barat ini tanpa kajian dan kritikan terlebih dahulu, sama ada adakah budaya itu baik ataupun tidak, atau adakah ia bermanfaat atau sebaliknya.

SEJARAH APRIL FOOL'S DAY

    Perayaan April Fool bermula daripada suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. Perayaan April Fool atau dikenali sebagai The April Fool's Day, bermula daripada satu episod sejarah tragedi besar yang menimpa Muslim di Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H. Sejak Sepanyol dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 M oleh Amirul Jihad, Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi negeri yang makmur. Tentera-tentera Islam bukan hanya berhenti di Sepanyol, malah terus-menerus melakukan pembebasan di kawasan-kawasan dalam Perancis.

    Oleh kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah hati, ramai orang Sepanyol yang  memeluk Islam dan bersungguh-sungguh mempraktikkan syariat Islam. Orang kafir ketika itu tidak mengenal erti penat lelah untuk menghancurkan Islam. Setelah dihantar mata-mata untuk mengetahui kelemahan umat Islam ketika itu, mereka menyerang umat Islam melalui serangan pemikiran dan budaya. Mereka juga meghantar ulama' palsu untuk meniupkan idea perpecahan dalam diri orang Islam.

    Akhirnya, Sepanyol jatuh dan dikuasai oleh tentera salib. Granada adalah daerah terakhir yang ditakluk. Penduduk  Islam di Sepanyol ( yang juga dikenali sebagai orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam di Granada yang masih bersembunyi. Maka, mereka membuat pengumuman bahawa umat Islam di Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman dan dibenarkan untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.

    Orang-orang Islam pada mulanya masih curiga dengan tawaran tersebut. Beberapa orang Muslim diizinkan untuk melihat sendiri kapal-kapal layar yang sudah disiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat terdapat kapal yang sudah disediakan untuk mereka, mereka pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada dan berlayar meninggalkan Sepanyol.

    Ketika ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan, berjalan beriringan menuju ke pelabuhan dengan pantas tentara salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan para penghuninya. Api dilihat menjulang-julang ke angkasa setelah mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bertahan bersembunyi di dalamnya.

    Mereka juga membakar kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka untuk  keluar dari Sepanyol. Dengan satu teriakan arahan dari pemimpin tentera salib, semua orang Islam di pelabuhan dibunuh dengan kejam tanpa rasa belas kasihan. Mayat bergelimpangan di merata-rata tempat. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman.

    Tragedi ini bertepatan pada tanggal 1 April, hari yang diingati oleh Kristian sebagai April Fool (The April's Fool Day). Bagi mereka April Fool merupakan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib melalui cara penipuan. Persoalannya, adakah kita dibolehkan membuat pembohongan hanya untuk berjenaka bersempena 1 April? Rujuk Al-Kafi  604 : Hukum Berbohong Dalam Berjenaka.

HUKUM BERBOHONG DALAM JENAKA.

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah mendefinisikan berbohong seperti berikut: 

  • "Memberitahu akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap." Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (1/201).

Manakala Imam Al-Nawawi Rahimahullah mengatakan bahawa berbohong adalah: 

  • "Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak, dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang." Lihat Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi (1/69).

Perbuatan berbohong termasuk di antara himpunan dosa-dosa besar. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

‎فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya : Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.
(Surah Al-Hajj : 30)

Berdasarkan ayat di atas, perbuatan berbohong diselarikan kedudukan dan sebutannya dengan penyembahan berhala. Oleh yang demikian, keduanya dianggap sama dari sudut perbuatan dosa besar.

Imam Al-Nawawi apabila menjelaskan berkenaan hukum berbohong beliau berkata: 

  • "Sesungguhnya telah jelas nas-nas dari Al-Kitab dan juga Al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia adalah di antara perbuatan dosa yang buruk serta suatu keaiban yang keji. Ijma' para ulama telah berlaku ke atas pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas." Rujuk Al-Azkar Al-Nawawiyyah, Al Nawawi (Hlm. 377).

    Berbohong dengan tujuan untuk membuatkan orang ramai ketawa termasuk dalam perkara yang dilarang di dalam Islam. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Mu'awiyah bin Jaydah Al Qushayri bahawa Nabi S.A.W. bersabda :

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ ‏

Maksudnya : Celakalah buat seseorang yang menceritakan suatu cerita dengan tujuan untuk membuatkan sesuatu kaum itu ketawa maka dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya. (Riwayat Abu Daud : 4990).

Hadis ini jelas menunjukkan hukum haram ke atas perbuatan berbohong yang bertujuan untuk membuat orang ramai ketawa. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Son'aani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini dengan katanya: 

"Hadis ini merupakan dalil ke atas pengharaman berbohong untuk membuat sesuatu kaum itu ketawa, dan ini adalah pengharaman yang khas. Diharamkan juga ke atas para pendengar untuk mendengarnya, apabila mereka mengetahui yang dia sedang berbohong. Ini kerana perbuatan itu dianggap sebagai ikrar (mengakui) perkara yang mungkar. Bahkan wajib ke atas mereka untuk mengingkari perbuatan tersebut, atau bangun dari tempat duduk. Sesungguhnya perbuatan berbohong dianggap sebahagian dari dosa besar." Rujuk Subul Al-Salam, Al Son'aani (4/202).

KESIMPULAN

Setelah meneliti nas-nas dan hujah yang kami nyatakan di atas, kami berpandangan bahawa perbuatan berbohong dengan tujuan membuatkan manusia ketawa adalah perbuatan yang jelas dilarang kerana sekalipun tujuannya untuk menggembirakan manusia, akan tetapi ia tetap tidak dapat lari dari konsep pembohongan malah sikap berbohong ini adalah ciri orang munafik. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.


Rujukan : 
http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/885-al-kafi-604-hukum-berbohong-dalam-berjenaka?highlight=WyJiZXJkdXN0YSJd

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL