PESTA PONGAL : HUKUM MUSLIM MERAYAKANNYA
APA ITU PESTA PONGAL?
Pesta Pongal adalah
festival yang diraikan di seluruh India dengan nama yang pelbagai mengikut
tempat, sebagai menghormati Dewa Matahari iaitu Surya. Antara nama-nama lain
bagi Pesta Pongal adalah:
- Pongal (Tamil Nadu)
- Maghi (Lahore)
- Bihu / Bohaggiyo Bhishu (Assam)
- Sankrat (Rajasthan)
- Makara Sankranti (Maharashtra)
- Uttarayan (Gujarat)
- Magha Saaji (Shimla)
- Poush Sankranti (Bengal Barat)
Surya adalah Dewa Matahari
dalam kepercayaan agama Hindu dan penjaga bagi sudut selatan dan barat. Bapanya
adalah Dewa Langit iaitu Dyaus. Terdapat satu mitos menyebut bahawa dia
dijadikan daripada mata Purusha iaitu makhluk kosmos. Rambutnya dan kedua-dua
lengannya berwarna emas. Dewa Surya menaiki kereta kuda yang dikenderai oleh 4
atau 7 ekor kuda dan ditangannya terdapat bunga teratai dan juga cakera. (Lihat The
Routledge Dictionary of God, Goddesses, Devils & Demons, m. 178)
Secara khususnya, Pongal
adalah satu festival yang diraikan oleh masyarakat di Selatan India terutamanya
Tamil. Festival Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai (pada 14 Januari
setiap tahun) bagi meraikan Dewa Surya yang merupakan sumber tenaga dan
penyumbang utama bagi pertanian.
Pelbagai cerita dibawakan
berkenaan Dewa Surya yang mempunyai kesan terhadap sambutan Pesta Pongal ini.
Dewa Surya mempunyai ramai anak, antaranya Dewa Shani yang dinisbahkan dengan
Planet Saturn. Semasa Shanti lahir, dikatakan berlaku gerhana matahari. Dewa
Shani dan Dewa Surya dikatakan sering berbeza pandangan namun pada hari pertama
dalam bulan Thai, Dewa Surya akan menziarahi Dewa Shani. Makanan terutamanya
manisan disediakan dengan menggunakan minyak bijan kerana kelikatan dan
kepekatannya. Oleh itu, manisan yang diberikan adalah sebagai simbol tautan dan
hubungan yang erat walaupun apa jua perbezaan yang ada.
Pesta Pongal juga adalah
meraikan fasa-fasa awal kitaran pertanian. Ia adalah masa bagi mendoakan musim
menanam padi yang produktif dan musim menuai yang baik di masa hadapan.
Kebiasaannya, lembu-lembu juga dimandikan pada hari ini begitu juga meraikan
aspek-aspek lain berkaitan produktiviti pertanian. (Lihat Religious
Celebrations: An Encyclopedia of Holidays, Festivals, Solemn Observances, and
Spiritual Commemorations, m. 547).
SOALAN: APAKAH HUKUM MUSLIM MENYERTAI PESTA PONGAL?
JAWAPAN
Para ulama’ sepakat bahawa meraikan perayaan keagamaan bukan
Muslim adalah haram. Berikut adalah pandangan-pandangan daripada setiap mazhab:
Mazhab Syafie: Menurut Imam Al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam Al-Nawawi dalam Al-Minhaj, dihukum
ta'zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan
mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang
berkata kepada seorang kafir zimmi: “Wahai Haji", sesiapa yang mengucap
tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah
kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai " Haji".
" (Lihat Al-Najm Al-Wahhaj,
9/244)
Hujah yang sama juga
dibawakan oleh Imam Al-Ramli dalam Hasyiah Al-Ramli ‘ala Asna Al-Matalib, Al-Khatib Al-Syarbini dalam Mughni Al-Muhtaj, 4/255 dan Al-Iqna’ fi
Halli Alfazh Abi Syuja’, 2/526. Maksud muwafaqah orang-orang kafir
adalah “melakukan apa yang mereka lakukan di hari perayaan mereka, dan ini
haram.” (Lihat Al-Bujairimi ‘ala al-Khatib,
5/21). Begitu juga penegasan Ibn Hajar Al-Haitami dalam Tuhfah Al-Muhtaj, 9/181; Syeikh Zakaria Al-Ansari
dalam Asna Al-Mathalib, 4/162 dan Hasyiah
Qalyubi wa ‘Umairah, 4/206.
Mazhab Hanafi: Menurut Abu Hafs Al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50
tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur
kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka
telah jatuh kafir dan terhapus amalannya. (Lihat Al-Bahr Al-Ra’iq Syarh Kanz Al-Daqa’iq, 8/555).
Mazhab Maliki: Ibn Al-Haj Al-Maliki secara ringkasnya melarang orang Islam melakukan apa yang orang bukan
Islam lakukan di hari perayaan mereka. (Lihat Al-Madkhal,
2/46-48).
Mazhab Hanbali: Imam Al-Buhuti
menjelaskan bahawa hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu
perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan
kepada mereka. (Lihat Kasyf
al-Qina’, 3/131)
HUKUM DAN GARIS PANDUAN MERAIKAN PESTA PONGAL
Tanpa menafikan Pesta
Pongal kini sudah dianggap sebagai tradisi yang merentas agama di sesetengah
tempat di dunia, kami lebih cenderung bahawa ianya masih mempunyai unsur-unsur
keagamaan sebagaimana sambutannya di Malaysia. Kesimpulannya, kami menjelaskan
bahawa secara asasnya orang Islam adalah dilarang menghadiri dan
menyertai Pesta Pongal yang disambut dalam kalangan masyarakat
beragama Hindu kerana ia adalah perayaan keagamaan. Ini selari dengan fatwa
yang telah dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang
Bil. 2/2017 pada 18-19 April 2017 dan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil.
1/2011 telah bersidang pada 15 – 17 Mei 2011M.
Namun, dengan
meraikan semangat Fiqh Al-ta’ayush (fiqh co-existence), kami juga
memahami keperluan bagi sesetengah golongan masyarakat seperti mereka yang
mempunyai ahli keluarga beragama Hindu, pemimpin, jiran tetangga dan
lain-lain untuk menghadiri perayaan ini. Oleh itu, kami berpandangan
bahawa:
- Dalam memimpin masyarakat yang
berbilang kaum dan agama, adalah lebih baik bagi para pemimpin Muslim
untuk menghantar wakil bukan Muslim yang seagama dengan pihak yang
menganjurkan bagi menghadiri sebarang upacara yang dilakukan di tempat
ibadat atau perayaan keagamaan mereka. Sekiranya ada keperluan, pemimpin
Muslm boleh hadir dengan syarat tidak terlibat dengan sebarang
upacara keagamaan. Dalam konteks Malaysia yang majmuk,
pemimpin yang dipilih sewajarnya meraikan kepelbagaian dan perbezaan kaum
dan agama yang ada. Sifat toleransi serta bertolak-ansur antara pemimpin
dan rakyat ini akan menjadi satu simbol penyatuan yang utuh dalam
menghasilkan sebuah negara yang aman dan harmoni. Namun begitu, batas-batas
agama tidak boleh dilangkaui. Satu kaedah fiqh yang masyhur menyebut:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى
الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Polisi pemerintah
tertakluk kepada kemaslahatan rakyat”
Kaedah
di atas menunjukkan kemestian ke atas pemimpin untuk sentiasa memikirkan
maslahat-maslahat yang timbul dalam kalangan masyarakat awam yang diwakilinya.
- Bagi mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan, kejiranan, sambutan di sekolah atau rakan sekerja yang beragama Hindu dan menerima jemputan untuk hadir, dibolehkan untuk hadir dengan syarat seperti tertera di (i)
- Dibolehkan untuk makan Nasi Susu
(Sakkarai Pongal) dengan mengikut syarat sebagaimana yang telah kami
nyatakan dalam Al-Kafi #564: Hukum Memakan Makanan Yang Dimasak Oleh
Non-Muslim (Bukan Ahli Kitab). Namun, orang Islam
dilarang untuk terlibat dalam program memasak Nasi Susu berkenaan kerana
ia masih dalam ruang lingkup upacara keagamaan kerana asalnya, ia adalah
makanan yang dipersembahkan untuk Dewa Surya.
Kami telah menghuraikan
garis panduan bagi umat Islam menghadiri perayaan agama lain dengan panjang
lebar dalam Bayan Linnas Siri Ke- 152: Had Berinteraksi Dengan Agama
Lain Di Dalam Rumah Ibadat Mereka Di Malaysia. Semoga dengan
pencerahan ini menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang sebenarnya
mengikut neraca syariah.
Rujukan: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/3062-al-afkar-39-muslim-menyertai-pesta-pongal
Comments