Minda Murabbi | PEMERINTAHAN DAN KEPEMIMPINAN RASULULLAH S.A.W



PEMERINTAHAN  DAN  KEPEMIMPINAN  RASULULLAH  S.A.W
Sebenarnya pemerintahan dan kepemimpinan Rasulullah s.a.w. merupakan contoh pemerintahan dan kepemimpinanan yang terbaik yang pernah disaksikan di muka dunia ini. Antara ciri-ciri yang menonjol dalam pemerintahan dan kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa’ al-Rasyidin adalah keadilan, kesamarataan, kebebasan dan ketelusan.

Rasulullah s.a.w. sebagai ketua negara
Rasulullah s.a.w. merupakan ketua negara Islam yang pertama. Pemerintahan Rasulullah s.a.w. juga tertakluk kepada prinsip-prinsip asas yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. dalam al-Qur’an iaitu mendaulatkan hukum Allah, menegakkan keadilan, kebebasan dan ketelusan, menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran, membina perpaduan dan menjamin keamanan dan keharmonian.
Dalam pemerintahannya, Rasulullah s.a.w. berusaha untuk mendaulatkan semua hukum-hakam yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dalam semua aspek. Ini termasuk hukum yang berkaitan dengan aspek politik, pentadbiran, undang-undang, ekonomi, sosial, pendidikan, kekeluargaan dan lain-lain. Dalam aspek politik dan pentadbiran umpamanya, Rasulullah s.a.w. melaksanakan sistem pentadbiran secara syura iaitu secara perundingan dan mesyuarat seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Walaupun Baginda seorang rasul dan makhluk yang paling mulia, namun Baginda tetap meminta pandangan sahabat-sahabat Baginda dalam menjalankan pentadbiran, khususnya dalam perkara yang tiada wahyu diturunkan. Ini menjadikan sistem pentadbiran Rasulullah s.a.w. begitu telus dan terbuka.
Amalan syura ini bukan sahaja dipraktikkan dalam konteks pemerintahan biasa, malah dalam peperangan Rasulullah s.a.w. juga. Contoh yang ketara dalam hal ini ialah ketika menentukan kedudukan tentera Islam dalam menghadapi serangan musuh dalam peperangan Badar, Uhud dan Khandak. Dalam merancang strategi peperangan ini, Baginda berbincang dengan para Sahabat dan menerima pandangan Sahabat tentang kedudukan yang paling baik bagi tentera Islam.
Dalam aspek undang-undang, Rasulullah s.a.w. juga melaksanakan sepenuhnya sistem perundangan seperti yang dikehendaki oleh al-Qur’an baik dalam aspek jenayah mahupun dalam aspek mal (sivil). Perundangan Islam yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu hudud, qisas dan ta’zir berteraskan keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira perbezaan darjat, status sosial, ekonomi, bangsa dan sebagainya. Orang yang bersalah tetap bersalah dan dikenakan hukuman yang setimpal sekalipun dia golongan bangsawan dan begitu juga sebaliknya.

Sebagai contoh, pernah berlaku satu peristiwa apabila seorang wanita bangsawan Arab ditangkap kerana mencuri. Setelah dibicarakan dan sabit kesalahannya, maka hukuman telah dijatuhkan ke atas wanita tersebut. Namun memandangkan status kedudukannya yang tinggi, beberapa orang Sahabat meminta supaya wanita ini dikecualikan daripada hukuman tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
 
Sesungguhnya telah binasalah umat sebelum kamu kerana apabila golongan bangsawan melakukan kesalahan dia dibebaskan dan apabila golongan bawahan melakukan kesalahan maka dia dikenakan hukuman. Demi Allah kalau Fatimah sekalipun yang mencuri, tangannya akan dipotong.
(HR. Bukhari dan Muslim)
Peristiwa ini menggambarkan bahawa aspek keadilan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. merupakan keadilan sejagat dan sejati. Selain itu, proses perbicaraan dan hukuman juga dijalankan secara terbuka dan telus. Pihak plaintif diberikan hak untuk mengemukakan tuduhan dan pihak yang tertuduh diberikan hak untuk membela dirinya dan hukuman dijatuhkan berdasarkan bukti-bukti yang jelas daripada kedua-dua pihak.
Dalam bidang ekonomi, Rasulullah s.a.w. mematuhi sistem ekonomi yang diasaskan daripada al-Qur’an yang menekankan keadilan. Untuk menjamin keadilan dan memastikan agar kekayaan tidak dibolot oleh segolongan kecil ahli masyarakat sahaja, maka pelbagai institusi ekonomi diwujudkan oleh Islam. Antara institusi itu ialah institusi zakat, sedekah, baitul mal, waqf, pusaka, kharaj dan lain-lain. Melalui institusi-institusi ini, hak orang kaya dijamin  keselamatannya, manakala orang miskin pula dibela dan dibantu dengan sewajarnya. Sistem ekonomi Rasulullah s.a.w. menghapuskan amalan riba yang sebelum ini diguna pakai oleh orang Yahudi Madinah ke atas orang Arab.
Jelas kini bahawa peranan Nabi Muhammad s.a.w. dalam pemerintahan dan pentadbiran negara meliputi pelbagai aspek. Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan amanah pemerintah dan pentadbir negara dengan penuh keadilan, kesamarataan, kebebasan dan ketelusan sehingga namanya tercatat sebagai manusia yang paling berjaya dalam pengurusan hal ehwal dunia dan akhirat.
George Bernard Shaw seorang penulis skrip drama berbangsa Irish yang mendapat hadiah Nobel Kesusteraan tahun 1925 dalam bukunya, The Genuine Islammenyatakan bahawa beliau amat menyanjungi ajaran yang dibawa oleh Muhammad kerana kehebatan dan potensi yang ada padanya. Beliau menegaskan:
“Ia adalah satu-satunya agama pada pandangan saya mempunyai kemampuan supaya disesuaikan dengan perubahan-perubahan yang sering berlaku dalam hidup, justeru menjadikannya menonjol pada setiap zaman. Saya telah mengkaji mengenainya iaitu lelaki yang hebat itu (Nabi Muhammad) dan pada pandangan saya beliau bukan anti Nabi Isa sebaliknya, beliau patut digelar sebagai Penyelamat bagi Manusia.””


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL