FIQH dan Penyelesaian isu Autisme






Bismillahirahmanirahim. 
Baru-baru ini, tular isu berkenaan seorang pemuda autisme yang ditahan kerana didakwa mencabul kehormatan seorang gadis. Isu ini menimbulkan polemik berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan untuk menahannya adalah mengikut SOP biasa, sedangkan beliau mempunyai kapasiti umur mental yang tidak sama dengan pemuda normal yang lain. Hal ini sekaligus membuka mata segenap peringkat anggota masyarakat terutama dalam aspek berkenaan SOP khusus untuk menangani golongan seumpama ini.
Kami mengambil cakna dan prihatin berkaitan isu ini dan sedaya upaya cuba memberikan ulasan menurut perspektif Syarak. Jadi, pada kali ini tajuk berkaitan dengan Autisme: Fiqh Dan Penyelesaian Isunya dikira agak sesuai, Semoga pencerahan ini memberi manfaat serta membantu membuka ruang yang lebih luas dalam memahami dan menangani golongan seperti ini.

Definisi
Dalam Bahasa Arab, ia dikenali sebagai al-tawahhud (التوحد) atau al-zatawiyyah (الذاتوية). Perkataan autism berasal daripada perkataan Autismus dalam bahasa Jerman, dicetuskan pada 1912 oleh seorang pakar psikiatri, Paul Bleuler daripada perkataan Greek iaitu autos (sendiri) +ismos (pengakhiran bagi tindakan atau kondisi). Secara umumnya, ia berkenaan seseorang yang mempunyai minat, kecenderungan dan fokus yang melampau kepada aktiviti-aktiviti individu semata-mata.[1]
Autisme menurut garis panduan Pendaftaran Orang Kurang Upaya masalah pembelajaran sehingga memberi kesan terhadap hubungan sosial dan komunikasi serta menunjukkan tingkah laku yang tidak normal. Terdapat pelbagai ciri yang boleh dikenalpasti bagi menentukan individu autisme, akan tetapi kriteria utama adalah masalah berkomunikasi, masalah dalam bersosial serta keterbatasan dalam aktiviti dan minat.

Jenis-Jenis Autisme
Terdapat beberapa jenis autisme yang perlu difahami:
  • Autistic Disorder
Individu dengan masalah autistik kebiasaannya mengalami masalah lambat dalam kemampuan berbahasa, sosial dan komunikasi, begitu juga sikap dan kecenderungan yang berbeza. Kebanyakan individu autistik juga mengalami ketakdayaan intelektual.
  • Asperger Syndrome
Mereka yang menghidap sindrom Asperger kebiasaannya mempunyai simptom autistic disorder yang sederhana. Mereka mungkin menghadapi masalah sosial dan perilaku serta kecenderungan yang tidak normal. Pun begitu, secara tipikalnya mereka tidak mempunyai masalah dengan bahasa dan ketakdayaan intelektual.
  • Pervasive Developmental Disorder – Not Otherwise Specified (PDD-NOS; juga dikenali sebagai atypical autism)
Mereka yang menyamai kriteria bagi autistic disorder atau sindrom Asperger, tetapi tidak kesemuanya, mungkin menghidap PDD-NOS. Mereka yang menghidap PDD-NOS biasanya mempunyai simptom yang sederhana ataupun lebih sedikit daripada yang menghidap autistic disorder. Simptom-simptom ini mungkin menyebabkan masalah dalam komunikasi dan sosial sahaja.
Menurut Durham Region Autism Services, individu yang menghidap ASD mungkin mempunyai pelbagai obsesi seperti rancangan TV tertentu tetapi kebiasaannya mereka tertumpu kepada perkara teknikal, akademik, set kemahiran mekanik seperti computer, keretapi, tarikh dan peristiwa sejarah atau sains. Ada juga yang obsess dengan nombor atau bentuk tertentu seperti no plat kereta, jadual perjalanan bas / keretapi,dan juga bentuk anggota tubuh atau batu-batu.
Terdapat tiga item yang menjadi pengukur dalam menentukan seseorang anak itu autisme iaitu ketidakupayaan dalam interaksi sosial, ketidakupayaan dalam komunikasi dan ketidakupayaan dalam tingkah laku (Lihat Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders). Ketidakupayaan ini membuatkan mereka tidak mampu untuk melakukan sebarang aktiviti dengan baik. Ketidakupayaan dalam interaksi sosial adalah seperti tidak mahu bertentang mata, tidak pandai menunjukkan ekspresi muka, tiada kemahuan spontan untuk berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan serta gagal dalam mewujudkan hubungan rakan sebaya.
Autisme juga adalah sejenis kecelaruan neurologi yang mendatangkan kesan kepada perkembangan otak. Menurut Dr. Hasnah Toran dalam Autisme: Panduan Ibu Bapa, antara faktor-faktor persekitaran yang boleh meningkatkan risiko autism adalah:
  • Usia tua ibu bapa pada masa anak dilahirkan.
  • Ibu yang mengalami penyakit seperti jangkitan kuman tertentu ketika mengandung.
  • Kelahiran tidak cukup bulan.
  • Berat yang terlalu rendah ketika kelahiran.
  • Proses bersalin yang sukar.
  • Bayi kekurangan oksigen semasa proses kelahiran.
  • Ibu terdedah kepada toksin seperti racun serangga.
  • Pencemaran udara.
  • Terdedah kepada logam berat: raksa, cadmium, atau timah.


Individu Autistik dan Tanggungan Hukum
Berdasarkan definisi di atas, kami melihat ada sebahagian daripada kelompok autisme yang boleh dikategorikan dalam masalah lembam (al-‘atah).
Al-Jurjani mendefinisikan lembam (al-‘atah) sebagai kekurangan pada akal yang tidak sama dengan gila atau fikiran yang berkecamuk/keliru. Individu yang lembam adalah yang kurang akalnya. Bezanya dengan bodoh (al-safah) adalah ia merupakan penyakit kanak-kanak (yang cenderung) terhadap diri sendiri yang menyebabkan akalnya tidak berfungsi [dengan baik]. Maka, pesakit menjadi berkecamuk akalnya.
Sebahagian perkataannya adalah perkataan orang-orang yang berakal dan sebahagiannya adalah kata-kata orang gila. Ini berbeza dengan bodoh (al-safah) kerana ianya kecuaian yang sifatnya mendatangi bagi manusia dan bukan bodoh pada asalnya. (al-Ta’rifat, hlm. 119)
Berkenaan isu lembam, Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah ada menyatakan bahawa individu yang lembam adalah sesiapa yang tahap pemahamannya kurang, pertuturan yang bercampur aduk, pengurusan yang tidak efisien samada ianya lembam secara semulajadi atau kerana penyakit yang dihidapinya. Dapat difahami daripada definisi tersebut bahawa lembam adalah tidak mencapai tahap gila. Ada pandangan yang menyatakan bahawa gila membawa kepada hilangnya akal atau kecelaruan akal. Adapun lembam membawa kepada kelemahan akal yang berbeza tahapnya. Walaubagaimanapun, tahap kematangan individu yang lembam tidak mencapai kepada tahap kematangan golongan akil baligh yang normal.
Ulama’ berbeza pandangan dalam pembahagian bagi kategori lembam:
  1. Kebanyakan fuqaha’ mengkategorikan lembam sebagai satu jenis daripada penyakit mental kerana tahap kematangan yang berbeza-beza bagi golongan yang lembam. Tetapi, ianya tidak keluar daripada kondisi anak kecil yang sudah mumayyiz.
  2. Sebahagian fuqaha’ berpandangan bahawa tahap kematangan sebahagian golongan yang lembam adalah seperti kanak-kanak yang belum mumayyiz dan sebahagiannya pula seperti yang sudah mumayyiz.
Ulama’ yang memegang pandangan (ii) tidak membezakan antara penyakit mental dan lembam sekiranya individu yang lembam itu kurang dari tahap tamyiz (boleh membezakan sesuatu yg baik dgn yg buruk). Oleh itu, mereka membahagikan antara penyakit mental dan lembam di mana penyakit mental, fikiran pesakitnya terganggu dan bercelaru manakala lembam pula pesakitnya lazim dalam keadaan tenang. Akan tetapi, hakikatnya kedua-duanya dikategorikan di bawah penyakit mental. (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami,
Jumhur fuqaha’ berpandangan bahawa lembam itu mengangkat hukum taklifi kepada individu terbabit kerana ianya berkaitan dengan masalah mental atau secara tepatnya, kecacatan neurologi. Apa yang dihukumkan kepada individu lembam, dihukumkan juga kepada individu yang bermasalah mental samada dari sudut ibadah, kewangan dan yang berkaitan, serta akad-akad lain seperti akad nikah, talak dan selainnya. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/276.
Adapun bagi kewajipan solat, puasa dan lain-lain, kami berpandangan bahawa ianya satu disiplin yang amat wajir dilatih kepada anak-anak autism yang beragama Islam. Psikoterapi Islam yang dijalankan di PERMATA Kurnia membuktikan bahawa terapi kerohanian mampu mengurangkan dan mengawal masalah tersebut

Konsep al-Ma’tuh (المَعْتُوهِ) Dalam Hadis
Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.”
[Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)]

Berkaitan dengan status hadith ini, ia juga diriwayatkan oleh sahabat yang lain seperti Aisyah R.anha dan Abu Qatadah. Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib di dalam Sunannya. Selain itu, Imam al-Hakim menghukum sanad hadith ini sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Adapun, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan li ghairihi dan perawi-perawinyanya adalah boleh dipercayai (thiqah) kerana perawi-perawinya adalah perawi al-Bukhari dan Muslim.
Syeikh al-Mubarakfuri, memahami maksud “المَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 570/4). Kata Ibn Abidin di dalam hasyiahnya bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). [Lihat: Hasyiah Ibn Abidin, 426/2]
Tarjih
Berdasarkan pengamatan kami berkenaan autisme, kami cenderung untuk menyatakan bahawa autisme adalah hampir kepada penyakit mental dalam fiqh. Perbuatan mereka yang mungkin diluar tindakan manusia normal adalah dimaafkan dan terlepas daripada bebanan taklif.
Ini berdasarkan sebuah hadith daripada al-Janbi, beliau berkata: Dibawa kepada Umar seorang perempuan yang melakukan perzinaan. Lantas Saidina Umar memerintahnya untuk direjamnya. Kemudian Ali melalui kawasan tersebut dan mengambil perempuan tersebut, kemudian membebaskannya. Hal ini dikhabarkan kepada Umar, maka katanya, “Panggillah Ali untuk berjumpa denganku.” Kemudian, Ali datang dan berkata: “Hai Amir al-Mukminin, sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: 
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ، عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ.
Maksudnya: “Diangkat qalam (dimaafkan) dari tiga golongan: Kanak-kanak sehingga dia akil baligh, orang yang tidur sehingga dia terjaga dan orang yang kecacatan mental sehingga dia sembuh.”
Ini kerana wanita yang ma’tuh ini daripada Bani Fulan. Boleh jadi yang menyetubuhinya itu, menyetubuhi perempuan tersebut dalam kondisi perempuan tersebut tidak sempurna akalnya. Jawab Umar: “Aku tidak tahu.” Maka jawab Ali: “Dan aku tidak tahu.”
Riwayat Abu Daud (4402), Ibnu Majah (4402), dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17672)
Dalam 'Aun al-Ma'bud menyebut perkataan ma'tuh ialah gila yang membawa hilangnya akal. Inilah yang dinyatakan dalam al-Majma'.  Boleh jadi yang mendatanginya itu orang yang berkeadaan tidak sempurna akal.
Adapun jawapan Saidina Umar, “aku tidak mengetahuinya,” bermaksud, beliau tidak mengetahui perbuatan zina tersebut berlaku ketika perempuan tersebut berada dalam keadaan tidak sempurna akalnya.
Saidina Ali berkata, “dan aku tidak mengetahuinya,” bermaksud beliau tidak mengetahui ketika berzina, perempuan tersebut dalam keadaan sempurna akalnya. Boleh jadi, perempuan tersebut gila yang mana sifat gilanya tidaklah berterusan tetapi sekali gila dan sekali yang lain sedar.
Dengan sebab itulah Saidina Umar berkata demikian dan dijawab oleh Saidina Ali dengan berkata demikian. Justeru, ia berada dalam keadaan syubhah. Oleh itu, hukuman hudud terlepas dan ditolak ketika wujudnya sebarang syubhah. (Lihat Aun al-Ma'bud, 12/51)
Sebagai penutup, kami ingin menegaskan bahawa memahami anak-anak daripada golongan seumpama ini adalah amat penting. Mereka tidak harus disisihkan daripada masyarakat, malah seharusnya mereka patut mendapat layanan yang lebih istimewa sesuai dengan keadaan mereka tersebut. Kegagalan memahami golongan ini akan membawa kepada ketidakadilan seterusnya membawa kepada kepincangan dalam masyarakat.
Kami mengucapkan syabas kepada ibubapa yang mempunyai anak-anak autisme yang kami anggap anak-anak istimewa anugerah Allah. Antara yang dapat kami kesani, kebanyakan ibubapa yang mempunyai anak-anak autisme mempunyai ketabahan dan kesabaran yang amat tinggi. Inilah yang kami kagumkannya. Semoga sifat tersebut sentiasa subur dan mekar dalam kehidupan ibubapa.
Marilah sama-sama kita berganding bahu dalam usaha memahami serta menyantuni mereka dengan sebaik mungkin sebagai salah satu golongan istimewa yang turut terbabit dalam membentuk komposisi masyarakat yang pelbagai.
Rujukan: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2642-bayan-linnas-siri-ke-150-fiqh-dan-penyelesaian-isu-autisme-2

Comments

Syahid said…
Bismillahir Rahmanir Rahim

https://keep.line.me/s/Dg9O1W5x3CyZh7KgLGITVNEy18cV76dX3C1YwDN9MQI


Web: almawaddah.info

Salam wa rahmah

Kepada;

Yang dihormati para akademik, para rektor universiti dan para mufti.

Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/ tuan/puan

Tajuk: "Penukaran al-Qur'an dangan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai asas agama Islam oleh para Mufti Malaysia adalah "un-Islamic". Rencana ini adalah bagi tujuan kajian dan renungan
Tidakkah Islam itu rahmatan li -l-Alamin..?
Terima kasih wa 'afwan.

Daripada;
Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.
Kuala Lumpur
Malaysia.



Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963