Ibadah Setelah Haji.
Mukadimah
Alhamdulillah, pada tahun ini iaitu pada 1439
H bersamaan 2018 masihi, acara manasik haji baru selesai. Sekarang sedang
rancak jemaah haji pulang ke tanah watan masing-masing termasuk dari Malaysia.
Semoga Allah mengurniakan kepada Jemaah haji semua dengan haji yang mabrur.
Sepertimana nas hadis, haji mabrur adalah haji yang
mabrur adalah haji yang terzahir padanya tanda-tanda berikut :
- Suka
menjamu makan
- Suka
memberi salam
- Bual
bicaranya penuh kebaikan
Bahkan, Nabi saw menyifatkan bahawa haji yang
mabrur adalah sebaik-baik jihad. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh
Aisyah r.anha. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah. Kata beliau :
يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلَا
نُجَاهِدُ قَالَ لَا لَكِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ
Maksudnya :” Wahai Rasulullah, kami melihat
jihad adalah sebaik-baik amalan. Adakah perlu kami berjihad. Baginda saw
bersabda “ Tidak, akan tetapi sebaik-baik jihad ialah haji mabrur.”
Riwayat al-Bukhari (1423)
Di dalam riwayat yang lain menyebut :
يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلاَ
نُجَاهِدُ مَعَكَ؟ قَالَ :« لاَ وَلَكُنَّ أَفْضَلُ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ
Maksudnya :” Wahai Rasulullah kami melihat
jihad adalah sebaik-baik amalan. Adakah perlu kami berjihad bersama engkau?.
Nabi saw bersabda : Tidak perlu, akan tetapi sebaik-baik jihad (bagi kalian)
adalah haji mabrur.”
Riwayat al-Baihaqi
(18261) di dalam sunannya
Justeru, dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami
akan membicarakan berkenaan apa selepas haji?.
Apa itu haji mabrur?
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.
Nabi saw pernah bersabda :
الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Maksudnya :” Haji
mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.”
Riwayat Ahmad (7348)
di dalam Musnad.
Dari segi bahasa kata mabrur diambil daripada kata
Barra, yang mengandungi pelbagai makna seperti syurga, benar, diterima,
pemberian, keluasan dalam kebajikan. Begitu juga antara maksud mabrur atau
al-Bir ialah ihsan dengan makna lain jemaah haji yang memperoleh haji mabrur
sudah pasti banyak melakukan ihsan dan sifat yang baik.
Di dalam kitab Lisan al-Arab, mabrur membawa maksud
diganjari. Juga membawa maksud tidak bercampur dengan sesuatu daripada dosa.
Rujuk Lisan al-Arab
(4/51)
Dari segi istilah pula, terdapat
beberapa pandangan para ulama berkenaan dengannya. Ia telah dinukilkan oleh
Imam al-Syaukani (w. 1255 H) di dalam kitabnya Nail al-Authar. Antara pandangan
tersebut :
- Ibnu Khalawaih salah seorang pakar bahasa Arab
berasal dari Yaman (w. 370H) berpendapat bahawa haji mabrur adalah
haji yang maqbul (diterima oleh Allah SWT).
- Ulama’ lain berpendapat bahawa ia adalah haji
yang (pelaksanaannya) tidak dinodai oleh dosa. Pendapat ini dipilih dan
dikuatkan oleh Imam al-Nawawi (w.676 H).Beliau adalah seorang ulama yang
cukup berautoriti di dalam mazhab al-Syafie.
- Menurut Imam al-Qurtubi (w. 671 H)
pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh lain itu saling
berdekatan maknanya. Kesimpulannya, haji yang mabrur adalah haji yang
sempurna hukum-hukumnya sehingga terlaksana secara sempurna sebagaimana
yang dituntut.
- al-Hasan al-Basri menyatakan bahawa haji
mabrur ialah apabila seseorang itu pulang ke tanah watannya dengan
perasaan zuhud pada dunia dan inginkan akhirat.
Di dalam sebuah hadis yang direkodkan
oleh Imam Ahmad daripada Jabir Bin Abdullah. Nabi saw pernah ditanya tentang
apakah kesan daripada haji mabrur. Nabi saw menyatakan :
إِطْعَامُ الطَّعَامِ وَإِفْشَاءُ السَّلاَمِ
Maksudnya :” (Haji
mabrur itu ialah) memberi makan dan menyebarkan salam.”
Riwayat Ahmad (14706)
di dalam Musnad, al-Baihaqi (3825) di dalam Sunan
Namun hadis ini dilemahkan oleh Sheikh
Syu’aib al-Arnaut. Ini kerana, di dalam sanadnya terdapat perawi yang munkar
iaitu Muhammad Bin Thabit. Sekiranya hadis ini sahih, maka berkemnungkinan
itulah yang dimaksudkan dengan haji mabrur.
Prof. Abdul Halim Mahmud, mantan Syeikh
al-Azhar menulis bahawa haji merupakan simbol-simbol kerohanian yang sangat
indah yang mengantarkan seorang Muslim apabila dilaksana dalam bentuk dan
caranya yang benar untuk masuk dalam lingkungan Ilahi.
Daripada Abu Hurairah. Beliau berkata
bahawa Nabi saw bersabda :
مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا
وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Maksudnya :” Sesiapa yang menunaikan
haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak
melakukan perkara yang fasiq maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan
oleh ibunya (iaitu dalam keadaan suci bersih dari dosa).”
Riwayat al-Bukhari (
1819)
Di dalam riwayat yang lain menyatakan :
كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Maksudnya :”
….seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”
Riwayat al-Bukhari
(1820)
al-Qastalani menyatakan bahawa perumpaan tersebut
adalah sebagai persamaan iaitu bebas dari sebarang dosa sama ada kecil atau
besar.
Rujuk Irsyad
al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari (3/290)
Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang
mendapat haji mabrur maka segala dosanya diampunkan oleh Allah. Inilah tafsiran
kebanyakan para ulama. Ianya juga menunjukkan betapa istimewanya amalan haji.
Justeru, janganlah kita mengotori diri
dengan kembali kepada dosa-dosa sebaik sahaja selesai menunaikan haji.
Sebaliknya hendaklah kita memelihara semangat dan roh ibadah pada prestasi yang
tertinggi yang pernah kita lakukan semasa acara manasik haji sebagai mukhaiyyam
tarbawi.
Amalan selepas
menunaikan haji.
Setelah menekuni nas dan amalan para
salaf, antara amalan yang perlu dilakukan dan diteruskan oleh para jemaah haji
selepas pulang dari Tanah Suci ialah :
- Memperbanyakkan
zikrullah
Ini sangat bertepatan dengan firman Allah :
فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَـٰسِكَكُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ
ءَابَآءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ
Maksudnya :” Kemudian apabila
kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu
menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu
dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan
yang lebih lagi.”
(Surah al-Baqarah :
200)
Mafhum daripada ayat tersebut, kita
perlu mengisi masa-masa kita dengan zikrullah walaupun setelah selesai
menunaikan ibadah haji. Kata Sheikh al-Maraghi :
“Jika telah selesai daripada menunaikan
haji, maka perbanyakkan berzikir kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya…”
Rujuk Tafsir
al-Maraghi ( 2/105)
Banyak sekali kelebihan zikir yang
tidak mampu untuk keseluruhannya. Antaranya :
- Menjauhkan diri dari syaitan dan menghancurkan
kekuatannya serta menarik keredaan Allah.
- Menguatkan hati dan wajah bercahaya
- Melahirkan rasa cinta kepada Allah.
- Memperbanyakkan
doa
Ini amat sesuai dikekalkan kerana semasa menunaikan
haji, para Jemaah haji sentiasa berdoa dari semasa ke semasa. Ini berdasarkan
firman Allah :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ
عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya :” Dan Tuhan kamu
berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan
kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan
berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
(Surah Ghafir : 60)
Ibnu Kathir berkata :
“Ini adalah di antara sifat kemuliaan Allah swt, di
mana Allah memerintahkan hambanya untuk berdoa dan Dia sendiri menyatakan
bahawa Dia bertanggunjawab untuk mengabulkannya. Sepertimana kata Sufian
al-Thauri :
يَا مَنْ أَحَبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ
وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَاده إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ أَحَد
كَذَلِكَ غَيْرك يَا رَبِّ
Maksudnya :” Hamba yang paling disukai oleh Allah
adalah sesiapa yang sentiasa meminta dan memperbanyakkan doanya. Dan yang
paling dibenci adalah yang tidak meminta kepada-Nya. Tidak ada yang bersikap
sebegitu selain dari Engkau wahai Tuhan.”
Rujuk Tafsir
al-Quran al-‘Azim (14/366)
- Sentiasa
ke masjid dan berjemaah
Amalan ini telah dilakukan sebaik mungkin ketika
berada di tanah suci melaksanakan ibadah haji. Ini melahirkan suasana harmoni
dan masjid-masjid pasti dipenuhi dan sentiasa dimakmurkan.
Terdapat banyak sekali kelebihan solat
berjemaah. Antaranya :
- Daripada
Ibnu Umar bahawa Nabi saw bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ
دَرَجَةً
Maksudnya :” Solat
berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian (dan ganjarannya) sebanyak 27
kali darjat.”
Riwayat Muslim (1509)
- Daripada
Uthman Bin Affan. Beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ لِلصَّلاَةِ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ مَشَى إِلَى
الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ فَصَلاَّهَا مَعَ النَّاسِ أَوْ مَعَ الْجَمَاعَةِ أَوْ
فِى الْمَسْجِدِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ
Maksudnya :”Sesiapa yang berwuduk untuk
solat dan menyempurnakan wuduknya. Kemudian dia berjalan untuk menunaikan solat
fardu serta solat Bersama orang lain secara berjemaah atau solat di masjid.
Maka Allah akan ampunkan dosanya.”
Riwayat Muslim ( 571)
Maka jangan ditinggalkan amalan ini setelah pulang dari Tanah Suci.
- Menjadi
agen perubah
Saban tahun, seramai 4 hingga 6 juta
Jemaah haji datang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dan berazam untuk
memperbaiki serta mengislah diri. Di samping berusaha membina jambatan hubungan
dengan Allah (حبل من الله) dan juga jambatan
hubungan dengan manusia (حبل من الناس).
Ini sudah pasti memberi impak dan kesan yang sangat besar setibanya mereka di
tanah air.
Fokus kita adalah kepada Jemaah haji
Malaysia yang setiap tahu tidak kurang dari 28 ribu orang yang pergi menunaikan
haji. Bayangkan jika mereka boleh menjadi agen perubah kepada masyarakat
sekeliling. Apa yang boleh dilakukan oleh Jemaah haji yang pulang ke tempat
asal mereka?.
Mereka semua dapat melaksanakan dakwah
kepada keluarga masing-masing dan kepada jiran tetangga. Peringatkan mereka tentang
suruhan Allah dan jauhkan mereka dari larangan Allah. Jika ini dilakukan, sudah
pasti nanti ramai yang akan taat dan patuh kepada seruan Ilahi.
- Ke
masjid
Jika Jemaah haji yang pulang komited
untuk sentiasa memakmurkan masjid , alangkah indahnya. Bukan itu sahaja, bahkan
lebih indah jika mereka mampu untuk mengajak orang lain untuk turut sama
memakmurkan rumah Allah. Jika seorang haji boleh mengajak 5 orang untuk
memenuhi masjid, sudah pasti setiap qaryah atau taman perumahan akan sentiasa dihiasi
dengan orang yang sentiasa melazimi rumah Allah sepertimana suasana di Masjidil
Haram dan Masjid Nabawi.
- Infaq
dan waqaf.
Kalau setiap orang dari kalangan Jemaah
haji yang pulang ke tanah air menginfaqkan 100 ringgit sebulan atau mewaqafkan
sedikit dari hartanya ke komuniti muslim, maka sudah pasti nilainya akan
mencapai jutaan ringit sebulan. Ini boleh menjadi satu sumber bagi menjana
aktiviti keagamaan dan ekonomi umat islam.
- Membina
keluarga bahagia.
Konsep baiti jannati (rumahku syurgaku)
jika dipasak pada setiap Jemaah haji yang pulang dari tanah suci sudah pasti
kita akan melahirkan hampir 30 ribu keluarga muslim yang bahagian dan patuh
kepada perintah Allah.
Penutup
Sehubungan dengan itu, jemaah haji yang
pulang, jika mereka betul-betul mengambil manfaat dan semangat rehlah haji,
sudah pasti matlamat لِّيَشْهَدُوا۟ مَنَـٰفِعَ لَهُمْ
yang disebutkan oleh Allah akan tersebar ke negeri masing-masing. Ibadah haji
yang dilakukan seharusnya menjadi mengubah keperibadian sehingga boleh mecapai
redha Allah serta mampu menjadi qudwah dan suri teladan yang baik kepada anak
bangsanya.Perubahan yang mereka bawa moga-moga menjadi kesan kepada masyarakat
seterusnya mampu menjadi pemangkin kemajuan dan kegemilangan umat Islam.
Kami juga berkesempatan mendengar
khutbah jumaat daripada khatib Masjidil Haram pada 31 Ogos 2018. Menariknya
beliau memberi tausiah kepada Jemaah haji sebelum pulang ke negara
masing-masing. Antaranya sifat orang yang rugi dan sifat orang yang Berjaya.
Hal ini berdasarkan firman Allah :
فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَـٰسِكَكُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ
ءَابَآءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ
ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا وَمَا لَهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ ﴿٢٠٠﴾
وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى
ٱلْـَٔاخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
Maksudnya :” Kemudian apabila
kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu
menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu
dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan
yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan)
berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia".
(orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun
kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan)
berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".
(Surah al-Baqarah :
200-201)
Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan
:
“.. Ada juga orang
yang memohon dua kebaikan iaitu di dunia dan di akhirat. Dia seolah berkata :
Wahai Tuhan kurniakan kepada kami kehidupan yang bagi lagi bahagia di dunia dan
juga kehidupan yang diredai dan tenang di akhirat. Permintaan kebahagiaan di
akhirat tertakluk dengan amal yang baik dan bermanfaat. Dunia menuntut kita
untuk berusaha mencari rezeki, bermuamalah dengan baik dan berakhlak dengan
akhlak yang elok. Dan akhirat pula tidak diperoleh melainkan dengan iman dan
amal soleh….Kebaikan di dunia ialah kesihatan, keamanan,kecukupan, anak dan
isteri yang soleh serta kemenangan ke atas musuh. Kebaikan akhirat pula ialah
kejayaan dengan memperoleh pahala dan bebas dari hukuman.”
Rujuk al-Tafsir
al-Munir (2/212)
Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang
berjaya di dunia dan akhirat. Amin.
يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ
حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
RUJUK: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2584-bayan-linnas-siri-ke-146-apa-selepas-haji
Comments