LAPORAN IHYA TARBAWI RAMADHAN ( IHTIRAM ) 2018




Firman ALLAH S.W.T :

 “ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa..”
[Surah Al-Baqarah: Ayat 183 ]

Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) Sesi 2017/2018 telah mengambil kesempatan di atas ruang dan peluang di bulan Ramadhan ini untuk menghidupkannya dengan program yang diadakan saban tahun iaitu Ihya’ Tarbawi Ramadhan (IHTIRAM’18) khusus buat seluruh ahli BKPPPM.

IHTIRAM ’18 telah menyusun pelbagai aktiviti bagi menghidupkan bulan Ramadhan di Mesir dengan bertemakan “MENGGAPAI CINTA ILAHI, MENJUNJUNG MANHAJ NABAWI ”. Program yang berlangsung selama sebulan ini berobjektif menjayakan pembawaan YDP sesi 17/18 iaitu Fikrah, Thaqafah, Biah dan Wehdah. Selain daripada itu, untuk memperkukuh tautan ukhuwah sesama ahli BKPPPM disamping menghidupkan Ramadhan anak perantauan di bumi Mesir.

Program IHTIRAM ’18 membahagikan sebulan Ramadhan kepada tiga fasa. Iaitu fasa ‘Rahmah’, ‘Keampunan’ dan ‘Pembebasan Daripada Api Neraka’ dan setiap fasa adalah dibahagikan kepada sepuluh hari. Terdapat pelbagai aktiviti yang bermanfaat disediakan untuk ahli BKPPPM sebulan berpuasa di Mesir yang lalu.

IHTIRAM ’18 membuka tirai dengan majlis perasmian pada 15 Mei 2018 selepas Isyak yang dimulai dengan ucapan pengerusi majlis dan diikuti dengan ucapan pengarah oleh Ustaz Muhamad Amer Shafiq Bin Azanuar Yusri.  Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan Yang Dipertua BKPPPM 17/18 Ustaz Muhammad Safwan Bin Azzmi dan program kali ini dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Fariz Bin Mohd Zaini selaku Penasihat BKPPPM 17/18.

Sepanjang Ramadhan yang lalu, IHTIRAM telah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti Daurah kitabفضائل رمضان ’ yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Safwan Bin Azzmi (Yang Dipertua BKPPPM 17/18). Telah diadakan tazkirah harian yang di selangi dengan solat sunat terawih di sutuh BKPPPM. Selain daripada itu, IHTIRAM ’18 turut membawa Mahasiswi untuk solat sunat terawih di masjid sekitar kaherah seperti masjid Musa, masjid Ibadurrahman dan lain-lain. Setiap fasa juga disediakan soalan ‘Kuiz Ramadhan’ kepada ahli dan hadiah kepada yang menjawabnya.
Turut diadakan dalam IHTIRAM kali ini ‘Speaker Ramadhan’ yang diisi dengan alunan nasyid dan pemakluman perjalanan aktiviti IHTIRAM disamping memperdengarkan tazkirah-tazkirah pilihan. Antara yang lain, juga dianjurkan Ribat Sufi dengan mengadakan qiamullah, qasidah dan tazkirah yang disampaikan oleh Timbalan Ketua HEWI BKKIMM17/18 Ustazah Nurul Fatin Syazana Binti Mohd Fauzi dengan tajuk “MAHASISWA & RAMADHAN”pada hari Jumaat 25 Mei 2018 bersamaan 9 Ramadhan 1439H.

IHTIRAM kali ini juga menyambut Nuzul al-Quran dengan menziarahi Syeikh Rifa’at Bin Fauzi Bin Abdul Mutalib pada 4 Jun 2018 bersamaan 19 Ramadhan 1439H di maktabah beliau. Ziarah tersebut dihadiri seramai 30 orang akhawat dengan penyampaian nasihat dan tausiyah daripada syeikh sendiri. Selain daripada itu, pada 8 Jun 2018 bersamaan 23 Ramadhan 1439H telah diadakan ‘Ribat Perdana’ dengan pengisian tazkirah yang bertajuk “Serangan Liberalisme Terhadap Pemikiran Islam” yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PERUBATAN 2018/2019, Dr. Nur Fatini Binti Azman@Nasir.

Disamping itu juga, bubur lambuk turut diagihkan sebanyak dua kali sepanjang Ramadhan yang lalu. Malah turut disediakan beberapa kali jamuan Iftor menggunakan hasil sumbangan yang telah diberikan kepada IHTIRAM ’18.
Agihan Bubur Lambuk

IHTIRAM ’18 pada tahun ini melabuhkan tirainya pada 13 Jun 2018 bersamaan 28 Ramadhan 1439H dengan diadakan majlis Khatam al-Quran dan Ikhtitam IHTIRAM 2018 di surau Soleh al-Masri. Pada majlis itu disampaikan hadiah kepada pemenang kuiz dan diakhiri dengan kalam penutup oleh Ustazah Nur Syamsina Binti Zahid.

Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir terus komited dalam merencanakan pelbagai aktiviti dalam mendidik pembentukan syaksiah ahli kearah modal insan mengikut corak Islam yang sebenar. Akhir kata, semoga segala amalan kita diterima sepanjang berada di bulan ramadhan ini dan istiqamah dalam melaksanakan ibadah walaupun telah keluar dari madrasah Ramadhan.

“ Mengapai Cinta Ilahi Menjunjung Manhaj Nabawi ”


“ Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan ”
“ Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah ”
“ Fikrah Thaqafah Biah Wehdah ”

Disediakan Oleh :
Timbalan Pengarah Ihya’ Tarbawi Ramadhan 2018 (IHTIRAM’18)


Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL