PEMUDA AL- KAHFI ALAF 21

PEMUDA AL- KAHFI ALAF 21



“Ingatlah ketika pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: “Wahai tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami.” (Al Kahfi ayat 10)

Kisah berkenaan tujuh orang pemuda yang melarikan diri ke dalam gua demi menyelamatkan aqidah daripada sang raja sering kita dengari, bahkan ia menjadi santapan telinga bagi rata-rata penuntut Universiti Al Azhar. Tidak kiralah semasa muzakarah berkelompok, perbualan seharian ataupun perkongsian melalui tazkirah yang disampaikan.

Pemuda-pemuda ini melarikan diri kerana tidak mampu untuk menghadapi kuasa raja yang menekan, mereka dipaksa mengaku raja sebagai pencipta jagat raya. Mereka bersembunyi dari fitnah dunia yang menyesakkan, mencari sebenar-benar raja seluruh kekuasaan.
Begitulah pemuda zaman dahulu menyelamatkan aqidah mereka dari dirosakkan sang pemerintah, mereka mengasingkan diri sehingga digelar pemuda al kahfi. Telah menjadi sunnatullah bagi orang yang beriman untuk diuji sama ada dugaan dari diri sendiri atau faktor sekeliling.


 Dalam dunia moden hari ini, kita telah jauh meninggalkan zaman alkahfi. Bahkan kisah-kisah mereka cuma dapat kita baca dan dengar. Namun sedar atau tidak, hakikatnya hari ini kita menghadapi cabaran yang hampir sama dengan seni tribulasi yang berbeza.
Kita pernah digemparkan dengan himpunan golongan ateis yang rata-ratanya terdiri dalam kalangan remaja berbangsa melayu. Mereka bangga untuk digelar sebagai ‘bekas muslim’ atau ‘ex muslim’. Tidak cukup dengan itu, terdapat sebuah laman sosial ‘facebook’ yang menyokong aktiviti murtad di seluruh dunia dan menyebarkan fahaman ateis. Laman tersebut telah diwujudkan pada tahun 2011 telah berjaya menarik minat pemuda berbangsa melayu dan sehingga kini mereka telah mempunyai lebih dari 1.7 juta pengikut seluruh dunia.

Hari ini, di Malaysia bukan sekadar permasalahan aqidah, termasuk permasalahan sosial yang tak kurang rancaknya. Mengikut statistik, seramai 40 hingga 50 perokok baru dicatatkan setiap hari dan dianggarkan, terdapat 4.7 juta perokok pada tahun 2011. Dalam statistik lain yang diperoleh daripada The Tabacco Atlas, 36.3 peratus remaja lelaki dan 4.2 peratus remaja perempuan Malaysia yang berusia 13 hingga 15 tahun merokok. Kadar peningkatan krisis akhlak dan moral juga semakin menggerunkan apabila statistic menunjukkan jumlah kes jenayah membabitkan pesalah juvana meningkat sebanyak 111 peratus dalam tempoh setahun.

Malaysia juga mencatat rekod sebagai Negara yang menduduki tempat keempat daripada 10 negara berkaitan kehamilan remaja berusia 15 hingga 19 tahun berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 2005 hingga 2011. Yang lebih menyedihkan ialah Malaysia merupakan negara majoriti melayu yang terdiri dari umat islam.

Tidak perlu dibentangkan lebih lanjut berkenaan fakta kumpulan data atau lembaran statistik, hakikatnya kita sedang mendepani dunia fitnah yang penuh dengan cabaran dan tribulasi dalam pembinaan ummah. Kita bahkan diseru supaya membaca surah alKahfi sebagai satu langkah untuk menyelamatkan diri dari zaman ini. Bukanlah sekadar baca, tetapi hayati bagaimana pemuda kahfi beruzlah agar tidak termasuk dalam golongan yang ingkar.

Zaman ini mendesak kita agar terus mempersiapkan diri dengan ilmu dan amal agar tidak terjebak dengan sebarang kegiatan yang ditegah agama. Tidak dapat tidak, kita juga perlu berada dalam satu barisan Jemaah sebagai satu benteng kekuatan dalam menghadapi dunia tanpa sempadan yang menggerunkan.  Ayuh pemuda, Persiapkan dirimu menjadi Pemuda Kahfi alaf 21.

Pemuda zaman dulu. Tidur mereka saja bahkan membawa sebuah perubahan!

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
'Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah'
#BKPPPM_MyBigFamily

Disediakan oleh : Lajnah Penerangan & Penerbitan BKPPPM 22017/18 


Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963