LAPORAN RELAX'S (JAULAH FAYYOUM)
LAPORAN RELAX'S (JAULAH FAYYOUM)
Firman Allah S.W.T: ( سنريهم
اياتنا في الافاق وفي أنفسهم حتى يتبين لهم أنه الحق ) Maksudnya: "
Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) kami di segala
wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa
Al-Quran itu adalah benar. (Surah Fushshilat ; ayat 53).
Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) dibawah
kelolaan Unit Sambutan dan Rehlah (USR) sesi 2016/17 telah menganjurkan RELAX'S '17 (Jaulah Fayyoum) kepada semua mahasiswa BKPPPM. Jaulah Fayyoum ini telah
diadakan pada hari Sabtu, 26 Ogos 2017, disertai seramai 38 orang peserta.
Rombongan bertolak ke Fayyoum seawal 7.45 pagi dan doa menaiki kenderaan dibaca
oleh Ustaz Mohd Danial Bin Mohd Kassim.
Daerah Fayyoum terkenal dengan kebun sayur yang subur dan
lembah yang terkenal dengan hasil pertanian dari zaman dahulu hingga sekarang.
Ia terletak 105 km ke arah selatan bandar kaherah. Destinasi pertama yang kami
lawati ialah Tasik Qarun yang luasnya 18,900 hektar, kedalaman antara 5 meter
hingga 12 meter. Di tengah tasik tersebut terdapat pulau yang dinamakan Qarn
al-Zahabi. Di sanalah terletaknya kubur Qarun dan seluruh hartanya.
Rombongan kami diteruskan lagi ke destinasi yang kedua iaitu
Istana Qarun (Qasr Qarun) yang terletak di pinggir Tasik Qarun dan hampir 40
kilo meter dari Bandar Fayyoum, dipercayai terdapat 360 buah bilik. Destinasi
seterusnya yang kami lawati iaitu Wadi ar-Rayyan. Ia meliputi kawasan seluas
1759 km persegi. Ia terdiri daripada 2 bawah tasik di bahagian atas dan bawah,
yang dipisahkan oleh sebuah air terjun. Air terjun ini dikatakan yang terbesar
di Mesir.
Sebelum bertolak pulang ke Kaherah kami sempat melawat
tempat Kincir Air Nabi Yusof (Al-Sawaqi). Nabi Yusof AS telah membina 12 kinci
air untuk pertanian. Kinci air ini telah dibina di zaman Nabi Yusof AS sebelum
Mesir dilanda kemarau selama 7 tahun. Kini hanya tinggal 4 buah kincir di
tengah-tengah Bandar Fayyoum yang digunakan sebagai daya tarikan pelancong.
Semua peserta RELAX'S melahirkan rasa gembira dengan jaulah yang dikunjungi.
Sekitar jam 7.30 malam peserta RELAX'S selamat tiba di perkarangan asrama Pulau
Pinang.
Ucapan jutaan terima kasih daripada Badan Kebajikan Pelajar
Pulau Pinang Mesir kepada semua peserta RELAX'S yang terlibat dalam menjayakan
aktiviti Jaulah Fayyoum yang telah direncanakan ini. Semoga jaulah Fayyoum yang
telah diadakan ini dapat mengerat dan mengukuhkan lagi ukhuwah sesama kita
mahasiswa Islam dalam meneruskan perjuangan Islam di muka bumi ini. Amiinn...
Disediakan
Oleh :
Unit
Sambutan & Rehlah (USR) BKPPPM sesi 2016/17
“Memurnikan
Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
“Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah”
“Rabbani Thaqafi Khairi”
Comments