Artikel Terkini :
Home » , , , » Indahnya Malam Lailatul Qadar

Indahnya Malam Lailatul Qadar


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته، بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبيآء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، قال رب اشرح لي صدري ويسر لي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي.. أما بعد

     Hari ini adalah hari ke dua puluh bulan Ramadhan 1438 H. Di mana malam tadi bermulanya sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

     Sahabat dan sahabiah yang dirahmati Allah, kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya dapat serba sedikit berkaitan Indahnya Malam Lailatul Qadar. Semoga bermanfaat dan dapat kita meraihnya demi mengharap redha dan cinta-Nya. Amiin..

     Sayangnya, kita banyak disibukkan dengan persiapan lebaran. Saf-saf di masjid pun semakin lama semakin surut kerana segelintir daripada kita berbondong-bondong pergi ke mall, pasar, pusat perbelanjaan, membeli berbagai kelengkapan untuk menyambut hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi. Masih ada diantara kita yang terleka dengan dunia "rayanya" walhal mereka lupa dengan keindahan malam Lailatul Qadar yang bakal tiba...


Keutamaan Lailatul Qadar 

     Lailatul Qadar adalah salah satu daripada malam-malam bulan Ramadhan yang disebut dalam dua surah dalam Al-Quran. Dalam surah Ad-Dukhan Allah menyifatkannya dengan malam yang mendatangkan keberkatan (Lailah Mubarakah) yang di dalamnya diselesaikan segala urusan. Allah SWT berfirman:

     "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) di malam yang penuh keberkatan. Sesungguhnya Kami adalah orang-orang yang memberi peringatan. Di dalamnya diselesaikan segala urusan yang penuh hikmah." (QS. Ad-Dukhan : 3-6).

     Dalam surah Al-Qadar Allah menyifatkannya dengan sifat yang mulia, iaitu
malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malaikat turun di dalamnya. Dan malam itu merupakan salam (kesejahteraan) bagi manusia. Allah SWT. berfirman:

    "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada 'malam kemuliaan' dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (QS. Al Qadar :1-5).

     Dengan demikian malam Al-Qadar dapat dinamakan sebagai Lailatus Salam (malam keselamatan). Para malaikat turun mengucapkan salam kepada penduduk bumi. Juga dapat dinamakan Lailatus Syaraf (malam kemuliaan) bagi umat Islam. Dapat juga dinamakan dengan (Lailatut Tajalli), malam dimana Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada para 'abid, shaim, dan orang-orang yang beribadah pada malam hari.

     Kemuliaan malam itu bukan sahaja kerana diturunkannya Al-Quran atau kerana orang yang taat pada malam itu menjadi orang-orang yang mulia, tetapi kerana ibadah yang dikerjakan pada malam itu mendapat ganjaran yang luar biasa.

     Ada riwayat yang mengatakan bahawa bilangan Malaikat yang berada di bumi pada malam itu lebih banyak daripada pasir dan Allah menerima taubat semua orang yang bertaubat pada malam itu. Pada malam itu dibuka segala pintu langit, sejak dari terbenam matahari sehingga terbitnya fajar. Jibril turun bersama dengan serombongan Malaikat. Lalu mereka menancapkan panji-panjinya di empat tempat:
Pertama di sisi Ka'bah
Kedua, di sisi kubur Rasulullah SAW
Ketiga, di sisi Masjid Baitul Maqdis
Keempat, di sisi Masjid Tursina.
Kemudian mereka bertebaran ke seluruh pelusuk bumi, memasuki rumah-rumah orang mukmin sambil bertasbih, bertaqdis, dan memohon ampun bagi umat Muhammad SAW.


Waktu Terjadinya Lailatul Qadar

     Ibnu Hazm berkata: "Lailatul Qadar sekali sahaja dalam setahun di bulan Ramadhan sepuluh yang terakhir dan di suatu malam yang ganjil. Jika bulan itu 29 hari, maka permulaan sepuluh yang akhir, ialah malam 20. Dan malam qadar itu adalah malam 20, adakalanya di malam 22, adakalanya di malam 24, 26, atau di malam 28. Jika bulan itu penuh 30 hari, permulaan puluhan yang akhir ialah malam 21. Maka malam Al-Qadar adakalanya di malam 21, 23, 25, 27, atau di malam 29."

     Diriwayatkan oleh Bukhari daripada 'Aisyah bahawa Rasululah SAW. bersabda:
"Carilah dengan segala daya upaya malam Al-Qadar di malam-malam ganjil yang akhir dari bulan Ramadhan."

     Dalam suatu hadis riwayat Muslim daripada Ibnu Umar, bahawa Nabi SAW. bersabda :

     "Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh yang akhir, jika seseorang lemah mencari, maka janganlah kamu kalah dalam mencari pada tujuh yang terakhir."

     Juga, hadits yang diriwayatkan Muslim dari Zar bin Hubaisy, beliau berkata:

     "Saya berkata kepada Ubay bin Ka'ab: 'Saudara anda Abdullah ibn Mas'ud mengatakan bahwa barang siapa mengerjakan qiyamul lail sepanjang tahun, nescaya dia akan memperolehi Lailatul Qadar." Maka Ubay menjawab: 'Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa Abu Abdur Rahman.' Demi Allah dia mengetahui bahwa Lailatul Qadar di puluhan akhir daripada bulan Ramadhan di malam 27. Tetapi dia mengatakan yang demikian, supaya manusia tidak memudah-mudahkan saja. Kemudian Ubay bersumpah bahawa Lailatul Qadar di malam 27. Berkata Ibn Hubaisy: 'Apa alasan anda mengatakan demikian.' Ubay menjawab: Tanda-tandanya yang Rasulullah khabarkan iaitu; matahari terbit di pagi hari tanpa sinar."

     Dari huraian-huraian di atas menunjukkan bahawa Lailatul Qadar tersembunyi pada sepuluh malam terakhir.


Tanda-tanda Lailatul Qadar

     Para ulama berselisih pendapat tentang tanda-tanda datangnya Lailatul Qadar. Beberapa tanda yang dapat dilihat oleh mereka yang mendapatkannya, antaranya:
Orang yang mendapati malam Al-Qadar itu melihat bahawa segala sesuatu yang ada di bumi dan di langit bersujud kepada Allah. Ada juga yang mendapati malam itu melihat bahawa alam terang benderang, walaupun di tempat-tempat yang gelap sekalipun. Ada juga yang mendapati malam itu mendengar salam para malaikat dan tutur katanya. Ada juga yang mendapati malam itu diperkenankan segala doanya.

  Adapun pahala ibadat tetap diperolehi meskipun tanda-tanda tersebut tidak dapat dilihatnya. Sedangkan bagi mereka yang melihat tanda-tanda malam Al-Qadar, hendaklah menyembunyikan dan terus berdoa dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan khusyu', dengan doa apa sahaja yang digemarinya, keduniaannya atau akhiratannya, dan hendaklah ia berdoa untuk akhiratnya lebih banyak dan lebih kuat daripada untuk dunianya.

     Bertanya Juwaibir kepada Adh Dhahhak :

     "Bagaimana pendapat anda tentang perempuan yang sedang nifas, haid, orang yang sedang dalam perjalanan, dan orang yang sedang tidur nyenyak, apakah mereka mendapat bahagiannya di malam Al-Qadar itu?

     Adh Dhahhak menjawab:
     "Mereka semua mendapatkannya, diberikan bahagiannya dari malam Al-Qadar itu oleh Allah yang Maha Rahman dan Maha Rahim."


Keutamaan Ibadah di Malam Al-Qadar

     Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah, bahwa Nabi saw. bersabda:

     "Siapa sahaja yang mengerjakan ibadah di malam Al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaan-Nya, nescaya diampunilah dosanya yang telah lalu."

     Anas bin Malik berkata: Pada saat bulan Ramadhan masuk, maka Rasulullah SAW bersabda:

     "Sesungguhnya bulan ini hadir di hadapanmu. Di dalamnya ada malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barang siapa tiada diberikan kebaikan malam itu kepadanya, maka ia sungguh diharamkan atas seluruh kebaikan. Dan tidak diharamkan kebaikan, melainkan kepada orang yang tidak diberikan apa-apa." (H.R. Ibnu Majah).

     Diriwayatkan oleh Ahmad dari Ubadah ibn Shamid.

     "Rasulullah mengkhabarkan kepada kami tentang Lailatul Qadar. Beliau berkata: "Dia di dalam bulan Ramadhan, di sepuluh yang akhir malam 21, atau malam 23, 25, 27 atau malam 29, atau di akhir malam bulan Ramadhan. Barang siapa mengerjakan qiyam pada malam itu kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharap keredhaan-Nya, nescaya diampunilah dosanya yang telah lalu dan dosa yang akan datang."


Menghidupkan Malam Al-Qadar

     Menghidupkan malam Al-Qadar ialah dengan mengerjakan taat, bertahajjud, beristighfar, berzikir, membaca Al-Quran serta beri'tikaf, menambahkan amalan ihsan, memperbanyak sedekah dan lain-lain.

     Amalan-amalan Rasul dan pesanan-pesannya merupakan dorongan bagi para muslimin untuk beribadah dan berlumba-lumba menyedekahkan harta di bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi di malam Al-Qadar.

     Para hartawan dahulu mempergunakan bulan Ramadhan untuk berlumba-lumba memenuhi keperluan orang-orang yang memerlukan bantuan, sebagai satu usaha memenuhi seruan agama dan meneladani Rasul. Mereka menyembunyikan sedekah-sedekah mereka sehingga tidak diketahui tangan kiri, apa yang diberikan oleh tangan kanan.

     Sebahagian hartawan dahulu menanti-nanti Lailatul Qadar, malam Allah melipat gandakan pahala. Mereka menyembunyikan dirinya, mencari keluarga-keluarga yang miskin di malam buta. Mereka memberikan segala yang dibawanya kepada keluarga miskin, tanpa dikenali oleh yang menerima pemberian itu. Mereka pulang ke rumah tanpa diketahui siapa diri mereka.

     Inilah suatu adab yang tinggi yang amat baik bagi kita dalam meneladani sikap para ulama kaum muslimin terdahulu.


Berdoa di Malam Al Qadar

    Aisyah diperintahkan berdoa di malam Al-Qadar. Sufyan Ats Tsauri berkata:

     "Berdoa pada malam Al-Qadar, lebih saya sukai daripada solat.
Apabila seorang membaca Al-Quran, berdoa serta meningkatkan doanya kepada Allah, mudah-mudahan dia memperolehi waktu yang mustajab."

    Rasululah SAW bertahajjud di malam-malam bulan Ramadhan, membaca Al-Quran dengan tertib. Beliau tidak melalui ayat Rahmat, kecuali beliau memohonnya kepada Allah. Beliau tidak melalui ayat azab, kecuali beliau melindungkan diri kepada-Nya. Beliau mengumpulkan antara solat, qira'at, doa dan tafakkur.

     Diriwayatkan oleh At Tirmidzi dari 'Aisyah, bahawa Rasul mengajarkan kepada 'Aisyah doa yang diucapkan pada malam al-qadar, iaitu:

     "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf, Engkau menyukai kemaafan. Maka maafkanlah aku."

     Dalam Hasyiyah Al Jalalain, As Shawi berkata, “Do'a yang paling baik didoakan pada malam itu (Al-Qadar) ialah memohonkan kemaafan dan ke'afiatan, sebagaimana yang telah diterima dari Nabi SAW."

     Dalam satu Hadis dari Ibnu Abbas, Rasulullah saw. bersabda:

     "Sesungguhnya Allah melihat pada malam Al-Qadar kepada orang-orang mukmin dari umat Muhammad, lalu mereka diampunkan dan dirahmati-Nya, kecuali empat orang, yaitu : Peminum arak, penderhaka kepada ibu-bapa, orang yang selalu bertengkar dan orang yang memutuskan tali silaturahim."

     Inilah amalan-amalan istimewa dalam puluhan yang akhir dari bulan Ramadhan, disamping amalan-amalan yang lain. Oleh kerana itu, marilah sama-sama kita mengisi detik-detik terakhir bulan Ramadhan ini dengan melaksanakan ketaatan dan amal soleh, seperti doa, zikir, istighfar, solat malam, membaca Al-Quran, bersedekah kepada para faqir miskin dan semoga Allah menerima segala amalan-amalan kita dan kita meraih indahnya Lailatul Qadar, malam 1000 buIan In-syaa Allah...

Wallahu'alam bissowab..

Disediakan Oleh :
Malyanah Sakinah binti Mohd Shukri
(Timbalan Lajnah Penerangan & Penerbitan BKPPPM sesi 2016/2017)


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Rabbani Thaqafi Khairi"
Share this article :

0 comments:

LAMAN RASMI PMRAM

Sejarah BKPPPM

ARTIKEL POPULAR

CHAT BOX

 
LAMAN RASMI : BLOG | FACEBOOK |
Dikuasakan Oleh Blogger
Hakcipta Terpelihara © 1433H / 2012. Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir - All Rights Reserved
Reka Bentuk Blog Oleh Lisanul Hakim I Seliaan Sepenuhnya I Unit Blog Di Bawah Unit Penerangan Dan Penerbitan BKPPPM