Erti sebenar Ramadhan dan Aidil Fitri


Puasa adalah ujian. Bukan sekadar ujian jasmani seperti menahan lapar dan dahaga dan perkara-perkara yang membatalkannya. Ia juga ujian rohani. Bagaimana menahan sabar, bagaimana menahan marah, bagaimana menahan diri untuk perkara-perkara yang amat disukai oleh nafsu seperti mengumpat dan mendengar umpatan, bagaimana mengekalkan rasa syukur dan redha dengan apa yang ada, bagaimana untuk tidak membazir dengan pembelian yang tidak perlu. Apatah lagi pada musim perayaan ini, berbagai-bagai tawaran disediakan.

من قام رمضان إيمانا وإحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

"..Barangsiapa yang membangunkan yakni qiyam pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan ganjaran Allah SWT akan diampunkan dosanya terdahulu.."

Kita sedang berada di penghujung Ramadan pada kali ini. Peluang 10 malam terakhir Ramadan yang memiliki banyak kelebihan dan janji ganjaran habuan yang amat istimewa daripada Allah khasnya satu malamnya terdapat Lailatul Qadar iaitu malam seribu bulan pastinya kita tidak ingin melepaskan begitu sahaja.

10 malam terakhir, kita mengisinya dengan qiyam, iktikaf, bacaan al-Quran, solat, zikir dan munajat sebaik mungkin agar kita memperoleh kemuliaan ganjaran seribu bulan itu.

Begitu juga dengan kedatangan Syawal yang menjelang tiba, setelah penat lelah dan pengorbanan kita sebagai hamba Allah SWT dengan puasa dan qiyam, Allah memberikan satu hari pula istimewa meraikan hamba-Nya yang keluar Ramadan dengan pengampunan-Nya iaitu Aidil Fitri.

Aidil Fitri pula bermaksud kita telah kembali kepada fitrah asal kita sebagai hamba-Nya iaitu matlamat untuk mencapai pengabdian seorang hamba kepada pencipta-Nya.

Bagaimanakah dapat kita menghadapi semua ini tanpa benteng yang kuat?

Allah sebenarnya menawarkan ganjaran yang lebih hebat pada bulan Ramadhan berbanding tawaran-tawaran dunia yang kita perolehi. Namun kesilapannya ialah, kita telah terlena kerana disogok dengan hal-hal keduniaan dalam menjalankan ibadah kita ini. Kita dikelabui oleh kehebatan dunia yang menipu dan merosakkan.

 Kita mencampuradukkan urusan-urusan akhirat dengan kebiasaan-kebiasaan dunia yang telah menjadi karat yang melekat di dalam hati. Puasa dan raya kita tidak meriah tanpa hal-hal keduniaan ini. Mungkin kita tidak mengakuinya tapi bayangkan jika Ramadhan tahun ini tiada bunyi mercun, tiada lagu-lagu raya, tiada tawaran-tawaran jualan dan lain-lain. Kita pasti merasakan kelainannya.

Namun hakikatnya kita perlu berubah. Kita tidak boleh membiarkan semua ini terus menerus sebati dalam diri kita. Kita harus membuka lebaran baru iaitu kefahaman erti sebenar Ramadhan dan Aidil Fitri. Kita pasti akan merasai kemanisannya apabila kita telah benar-benar memahami dan isitqamah melaksanakan apa yang sebenarnya dituntut oleh syariat.


Bersempena dengan kehadiran Syawal kali ini juga, marilah sama-sama kita merapatkan saf kita, beristiqamah dengan Islam sehingga kita bertemu Allah dan itulah hakikat kemenangan yang sebenar ingin dicapai oleh orang yang bertaqwa.

Disediakan Oleh :
Muhamad Amer Shafiq bin Azanuar Yusri
(Ketua Lajnah Perumahan BKPPPM sesi 2016/2017)

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Rabbani Thaqafi Khairi"

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL