TOLAK MENOLAK DALAM MENJADI IMAM


TOLAK MENOLAK DALAM MENJADI IMAM??

Soalan: Apakah status hadith ini?

مِنْ عَلامَةِ السَّاعَةِ التَّدَافُعُ عَنِ الإِمَامَةِ
Maksudnya: “Antara tanda Kiamat adalah saling tolak-menolak untuk menjadi imam”.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan hadith di atas, kami tidak menemui hadith yang matannya seperti di atas di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar seperti kutub sittah. Walaubagaimanapun, kami menemui hadith tersebut di dalam kitab-kitab yang menghimpunkan hadith-hadith palsu. Antara ulama’ yang menghukum hadith ini ialah:

• Syeikh Mulla Ali al-Qari mengatakan ia bukanlah hadith. [Lihat: al-Masnu’ Fi Ma’rifah al-Hadith al-Maudhu’, 196]

• Syeikh al-Qauqaji menghukum hadith di atas bukanlah hadith. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 203]

Setelah melihat dan meneliti pendapat para ulama’ maka kami mengatakan bahawa hadith di atas bukanlah hadith dan kita tidak boleh menyandarkkannya kepada Nabi SAW. Ini kerana, menyandarkan sesuatu yang bukan daripada Nabi SAW adalah satu pendustaan di atas nama Baginda SAW.

Di samping itu, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menjelaskan maksud hadith di atas ketika memberi komentar terhadap hadith ini adalah apabila seseorang lelaki diminta untuk menjadi imam lalu dia menolaknya. Kemudian, diminta kepada orang lain untuk menjadi imam lalu dia juga menolaknya dan begitulah seterusnya.

Akan tetapi terdapat hadith lain yang maknanya hampir dengan hadith di atas, sebagaimana yang disebutkan di dalam Sunan Abi Daud pada bab “Kemakruhan Saling Tolak-Menolak Untuk Menjadi Imam” iaitu:

• Daripada Salamah binti al-Hur al-Fazariyy RA berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَتَدَافَعَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ لَا يَجِدُونَ إِمَامًا يُصَلِّي بِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya antara tanda-tanda Kiamat adalah apabila ahli masjid saling tolak menolak ketika mereka tidak mendapati imam untuk solatkan mereka”. [Riwayat Abu Daud (581)] [Syeikh Syu’aib al-Arnaouth menghukum sanad hadith ini adalah dhaif kerana terdapat dua perawi yang majhul keadaannya iaitu Ummu Ghurab dan Aqilah].

Tambahan pula, di dalam Sunan Ibn Majah juga terdapat sebuah hadith yang maknanya hampir dengan hadith di atas:

• Daripada Salamah binti al-Hur al-Fazariyy RA berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَقُومُونَ سَاعَةً، لَا يَجِدُونَ إِمَامًا يُصَلِّي بِهِمْ

Maksudnya: “Akan datang pada manusia satu zaman, mereka berdiri beberapa ketika dan mereka tidak mendapatkan seorang imam pun untuk menyolatkan mereka”. [Riwayat Ibn Majah (982) dan Ahmad (27137)] [Syeikh Syu’aib al-Arnaouth menghukum sanad hadith ini adalah dhaif].

Di dalam ‘Aun al-Ma’bud mengatakan yang dimaksudkan dengan saling tolak menolak bahawa setiap ahli masjid saling menolak dirinya untuk menjadi imam sambil berkata bahawa aku bukanlah ahli padanya kerana tidak mempelajari apa yang diperlukan untuk menjadi seorang imam sebagaimana disebutkan oleh al-Thibi. Ataupun mereka saling tolak menolak sesama mereka ke masjid atau mihrab bagi mengimami solat berjemaah maka mereka menolaknya disebabkan mereka tidak layak dan tidak mempunyai ilmu padanya. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 203/2]

Penutup

Kesimpulannya, imam merupakan satu kedudukan yang mulia dan terpuji di dalam Islam. Ini ada dinyatakan di dalam Jami’ al-Tirmizi:

• Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ عَلَى كُثْبَانِ المِسْكِ ـ أُرَاهُ قَالَ ـ يَوْمَ القِيَامَةِ: عَبْدٌ أَدَّى حَقَّ اللَّهِ وَحَقَّ مَوَالِيهِ، وَرَجُلٌ أَمَّ قَوْمًا وَهُمْ بِهِ رَاضُونَ، وَرَجُلٌ يُنَادِي بِالصَّلَوَاتِ الخَمْسِ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ

Maksudnya: “Tiga golongan yang akan berada di atas bukit al-misk (kasturi) pada hari Kiamat: Hamba yang menunaikan hak Allah dan juga hak tuannya, seorang lelaki yang memimpin (mengimami) sesuatu kaum dan kaum tersebut redha kepadanya dan seorang lelaki yang selalu memanggil (melaungkan azan) untuk solat lima waktu pada setiap waktu iaitu siang dan malam”. [Riwayat al-Tirmizi (1986) dan (2566)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib]

Untuk itu, ia perlulah dilaksanakan atau dipikul oleh seseorang yang bertanggungjawab dan amanah. Di samping itu, seorang imam itu juga perlulah menyiapkan diri dengan mempelajari ilmu agama yang secukupnya. Akhirnya, marilah sama-sama kita menjauhi sikap dan sifat ini dan semoga Allah SWT sentiasa memimpin kita ke jalan yang diredhai-Nya. Amin.

Wallahua’lam

Sumber: https://goo.gl/eGf66V

Disediakan Oleh: Lajnah Penerangan & Penerbitan BKPPPM sesi 2016/17

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Rabbani Thaqafi Khairi"

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL