HUKUM BERBOHONG DALAM BERJENAKA



Soalan :
Apakah hukum seseorang yang berbohong dengan tujuan untuk membuatkan orang ramai ketawa ?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah mendefinisikan berbohong seperti berikut: Memberitahu akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (1/201).
Manakala Imam Al-Nawawi Rahimahullah mengatakan bahawa berbohong adalah: Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak, dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang. Lihat Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi (1/69).
Perbuatan berbohong termasuk di antara himpunan dosa-dosa besar. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
Maksudnya : Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta.
Surah Al-Hajj (30)
Berdasarkan ayat di atas, perbuatan berbohong diselarikan kedudukan dan sebutannya dengan penyembahan berhala. Oleh yang demikian, keduanya dianggap sama dari sudut perbuatan dosa besar.
Imam Al-Nawawi apabila menjelaskan berkenaan hukum berbohong beliau berkata: Sesungguhnya telah jelas nas-nas dari Al-Kitab dan juga Al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia adalah di antara perbuatan dosa yang buruk serta suatu keaiban yang keji. Ijma' para ulama telah berlaku ke atas pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas. Rujuk Al-Azkar Al-Nawawiyyah, Al Nawawi (Hlm. 377).
Berbohong dengan tujuan untuk membuatkan orang ramai ketawa termasuk dalam perkara yang dilarang di dalam Islam. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Mu'awiyah bin Jaydah Al Qushayri bahawa Nabi S.A.W. bersabda :
وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ ‏
Maksudnya : Celakalah buat seseorang yang menceritakan suatu cerita dengan tujuan untuk membuatkan sesuatu kaum itu ketawa maka dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya.
Riwayat Abu Daud (4990).
Hadis ini jelas menunjukkan hukum haram ke atas perbuatan berbohong yang bertujuan untuk membuat orang ramai ketawa. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Son'aani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini dengan katanya: Hadis ini merupakan dalil ke atas pengharaman berbohong untuk membuat sesuatu kaum itu ketawa, dan ini adalah pengharaman yang khas. Diharamkan juga ke atas para pendengar untuk mendengarnya, apabila mereka mengetahui yang dia sedang berbohong. Ini kerana perbuatan itu dianggap sebagai ikrar (mengakui) perkara yang mungkar. Bahkan wajib ke atas mereka untuk mengingkari perbuatan tersebut, atau bangun dari tempat duduk. Sesungguhnya perbuatan berbohong dianggap sebahagian dari dosa besar. Rujuk Subul Al-Salam, Al Son'aani (4/202).
Kesimpulan
Setelah meneliti nas-nas dan hujah yang kami nyatakan di atas, kami berpandangan bahawa perbuatan berbohong dengan tujuan membuatkan manusia ketawa adalah perbuatan yang jelas dilarang kerana sekalipun tujuannya untuk menggembirakan manusia, akan tetapi ia tetap tidak dapat lari dari konsep pembohongan. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

sumber: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1557-al-kafi-604-hukum-berbohong-dalam-berjenaka


Disediakan Oleh: Lajnah Penerangan & Penerbitan BKPPPM sesi 2016/17

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
"Rabbani Thaqafi Khairi"

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL