SYRIA BERDARAH
DAMSYIK - Sebanyak 64 terbunuh dalam beberapa siri serangan
di bandar Aleppo semalam dan awal hari ini, menyaksikan orang awam tidak
berdosa menjadi korban perang saudara yang berlanjutan sejak 2011. Dalam
serangan udara tentera Syria di Hospital Al Quds di daerah Sukkari, semalam,
sebanyak 30 maut termasuk orang awam, kakitangan hospital dan satu-satunya
pakar pediatrik di Aleppo, Dr. Wasem Maaz. Badan Pemantau Hak Asasi Manusia
Syria memaklumkan, 14 daripada jumlah itu adalah pesakit. Menurut badan itu,
Hospital Al Quds dibedil sebanyak empat kali dan jumlah kematian dijangka
meningkat susulan banyak mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan. Di
lokasi berasingan, serangan udara di dua kawasan penempatan dikuasai kumpulan
penentang di al-Kalasa, Aleppo hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang.
Video dikeluarkan aktivis memaparkan situasi panik di lokasi kejadian termasuk
seorang lelaki mengangkat anak perempuannya sejurus dikeluarkan daripada
runtuhan bangunan. Satu lagi serangan di bandar sama pula menyaksikan 1,300
bedilan roket dan peluru berpandu di kawasan dikuasai tentera Syria,
mengakibatkan 14 kematian. Susulan serangan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) menggesa pemimpin Amerika Syarikat (AS) serta Rusia membincangkan
isu gencatan senjata dan rundingan damai bagi menamatkan konflik berdarah di
negara ini. Utusan Khas PBB ke Syria, Staffan de Mistura berkata, beliau
menyuarakan kebimbangan terhadap perkara tersebut, selepas melihat kegagalan
gencatan senjata di Aleppo dan tiga lagi kawasan lain.
http://syriaberdarah.blogspot.com.eg/
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"
"Ribat Ukhuwah Teguh Wehdah"
Disediakan Oleh
Unit Penerbitan & Penerangan Badan Kebajikan Pelajar
Pulau Pinang Mesir sesi 2015/16
Comments