LAPORAN TRAGEDI KEMALANGAN DI SELATAN SINAI

LAPORAN TRAGEDI KEMALANGAN DI SELATAN SINAI



Satu tragedi kemalangan telah berlaku di Selatan Sinai yang melibatkan seorang ahli Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir BKPPPM iaitu Mohd Atifurrahman bin Suhaimi serta keluarga. Kejadian berlaku pada 13.11.2015 apabila van yang mereka naiki dari Sinai menuju ke Kaherah terbabas disebabkan daripada tayar van tersebut pecah. Kesemua mangsa yang terlibat seramai 12 orang, seorang daripada mereka Rashidah binti Harun (ibu saudara mangsa) mengalami kecederaan yang serius sehingga dipindahkan ke hospital Kaherah, dua daripada mangsa mengalami kecederaan yang teruk iaitu Suhaimi bin Harun (bapa mangsa) patah bahu dan sakit bahagian pinggang serta Adilatulezzah binti Suhaimi (adik mangsa) mengalami kecederaan yang teruk di bahagian muka. Manakala 8 orang yang berbaki hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.

                Pada 14.11.2015 pihak BKPPPM telah menghantar seramai 3 orang wakil daripada persatuan yang diwakili oleh saudara Faqrurrozi bin Abdullah (penasihat BKPPPM), saudara Muhammad Fairus bin Mat Yasin (unit kebajikan dan tabung derma BKPPPM) serta saudara Idris Fuady bin Mohammad. Tujuannya adalah untuk melawat  mangsa yang pada ketika itu seramai 7 orang yang ditempatkan di Hospital El-Thur Sham As-Syeikh manakala 1 orang lagi berada di Hospital Sham As-Syeikh. Selain itu juga, tujuan kedatangan wakil daripada persatuan adalah untuk memberi sedikit bantuan dari segi pengangkutan dan juga kos rawatan hospital yang mencecah LE 28,000 sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kaherah pada keesokan harinya.

                Pada pagi 20.11.2015, pihak BKPPPM  berkesempatan mengadakan ziarah rasmi ke penginapan mangsa dan seterusnya menyerahkan sedikit sumbangan berjumlah LE 7050 hasil daripada kutipan setiap Badan Kebajikan Anak Negeri yang berada di bumi Mesir dan baki daripada hasil kutipan akan menyusul. Dan pada sebelah malamnya pula, pihak BKPPPM telah mengiringi sebahagian daripada mangsa kemalangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah dan seterusnya mereka bertolak pulang ke tanah air.

                Seterusnya pada malam 24.11.2015 pihak BKPPPM sekali lagi berkesempatan menghantar baki daripada mangsa ke lapangan terbang antarabangsa Kaherah untuk bertolak ke tanah air. Dalam masa yang sama pihak BKPPPM mengucapkan terima kasih kepada pegawai Atase Selangor ustaz Mohamad Farid bin Mohamad yang turut memberi kerjasama dalam membantu operasi penghantaran terakhir mangsa ke lapangan terbang.

                Pihak BKPPPM mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga atas segala apa yang berlaku dan mendoakan yang terbaik untuk mangsa. Semoga ada hikmah disebalik setiap apa yang berlaku.




Unit Kebajikan & Tabung Derma BKPPPM 15/16

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL