HUKUM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL




Assalamualaikum dan salam Maulidur Rasul untuk semua.


Apakah hukum Sambutan Maulidur Rasul?
Kenapa kita menyambut Maulidur Rasul?
Sejarah Maulidur Rasul?


Secara khusus, Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah menganjurkan untuk melakukan apa-apa upacara tertentu bagi menyambut ulang tahun kelahiran baginda. Selepas kewafatan baginda juga, para sabahat dan tabi’in tidak juga melakukan apa-apa upacara tertentu dalam menyambut ulang tahun kelahiran baginda.

Sambutan Maulid Nabawi mula diadakan oleh sebahagian golongan khalaf pada zaman terkemudian. Catatan paling awal tentang sambutan Maulid Nabi direkodkan oleh sejarawan Islam terkenal Al-Maqrizi, iaitu pada zaman pemerintahan Fatimiyyah. Beliau merekodkan dalam bukunya: “Para khalifah-khalifah kerajaan Fatimiyyah mempunyai beberapa perayaan dan sambutan musim-musim tertentu sepanjang tahun. Sambutan tersebut ialah: musim permulaan tahun, hari Asyura, maulid Nabi S.A.W, maulid Ali bin Abi Talib r.a., maulid Hasan, maulid Husain, maulid Fatimah al-Zahra’ ....”. (Al-Mawa’iz wa al-I’tibar, 1/432).

Mantan Mufti Mesir Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i di dalam bukunya Ahsan al-Kalam mengatakan bahawa dari Khalifah Al-Mu’izz Lidinillah merupakan khalifah kerajaan Fatimiyyah pertama yang mengadakan sambutan maulid. Pada tahun 362H, beliau telah menganjurkan sambutan enam maulid di Kaherah, iaitu Maulid Nabawi SAW, maulid Ali bin Abi Talib, maulid Fatimah, maulid Hasan, maulid Husain dan maulid Khalifah Al-Hadhir.

Akhirnya, setelah terbukti bahawa kegiatan ini memberi kebaikan dan mampu membawa umat Islam untuk selalu ingat kepada Nabi Muhammad S.A.W., menambah ketakwaan dan keimanan, kegiatan ini pun berkembang ke seluruh wilayah Islam, termasuk Nusantara Melayu.

Imam Al-Suyuti di dalam Kitab Al-Hawi Li Al-Fatawi menukilkan daripada Syeikhul-Islam Ibnu Hajar Al-Asqalani berkenaan dengan sambutan Maulid Nabawi, lalu beliau menjawab: “Asal sambutan maulid adalah bidaah(perkara yang tidak berlaku pada zaman Nabi SAW) yang tidak pernah dinukilkan oleh seorang pun dari kalangan al-salaf al-soleh pada tiga kurun pertama hijriah. Namun perayaan itu mengandungi perkara-perkara kebaikan dan juga perkara-perkara yang berlawanan dengan kebaikan. Justeru, sesiapa yang hanya melakukan perkara kebaikan serta menjauhi perkara yang berlawanan dengannya, maka ia dikira bidaah hasanah.”


(Bidaah hasanah ialah setiap perkara yang tidak berlaku pada zaman Nabi SAW tetapi mempunyai kaitan dengan maslahah(kebaikan umum)dan berlandaskan syarak serta tidak menyalahinya.)

Terdapat hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W berpuasa pada hari Isnin kerana itu adalah hari keputeraan baginda. Abu Qatadah Al-Ansari meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. ketika ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, jawapan yang diberikan ialah: "Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul". (Riwayat Muslim, 2/819, no: 1162).

Sambutan Maulid Nabi SAW boleh dimasukkan dalam perkara maslahah mursalah, iaitu perkara-perkara yang tidak kedapatan anjuran dan larangan secara khusus daripada syarak, tetapi ia boleh membawa kebaikkan kepada masyarakat Islam. Yang dimaksudkan dengan sambutan Maulid Nabi di sini ialah merujuk kepada memperingati kelahiran Rasulullah S.A.W. yang bertujuan untuk meneladani jejak langkah Baginda SAW dalam seluruh aspek kehidupan dengan mengikut sunnah dan ajaran yang telah dibawa oleh Baginda. Justeru sambutan Maulid Nabi SAW hendaklah diisi dengan perkara-perkara yang tidak bercanggahan dengan syariat Islam seperti amalan-amalan kebaikan yang mempunyai anjuran umum di dalam syarak. Rasulullah S.A.W. pernah menyebutkan: “Barang siapa menunjuk jalan kebaikan maka dia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang menjalankannya, dan barang siapa menunjuk jalan kesesatan maka dia akan mendapat dosa dan dosa orang yang menjalankannya” (Riwayat Muslim, 2/704, no: 1017).

Dalam pada itu, sambutan Maulid Nabi ini tidak boleh disamakan dengan perayaan Hari Natal atau Krismas kerana umat Kristian menyambut hari tersebut sebagai hari lahirnya anak Tuhan, manakala umat Islam menyambut Maulid Rasul SAW kerana memperingati lahirnya seorang Rasulullah pembawa rahmat seluruh alam.

Maulid Nabi yang disambut setiap tahun oleh kaum Muslimin seluruh dunia pada alaf ini adalah satu bentuk pengagungan dan tanda kecintaan serta penghormatan seluruh umat terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan pengisian sambutan hendaklah tidak mengandungi perkara-perkara yang bercanggahan dengan syarak.


Contoh amalan yang selalu dilakukan oleh masyarat umum ialah berzanji,marhaban ,ziarah dari rumah ke rumah ,majlis selawat dan lain lain lagi.Ini adalah salah satu amalan yang baik selagi tidak bercanggah dengan syara' maka kebanyakkan ulama mengharuskannya.


Dengan datangnya bulan mulia,hari mulia ini,marilah sama sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan memperbanyakkan berselawat keatas Rasulullah SAW.


SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL


Disediakan oleh,
Biro & Unit Dakwah BKPPPM sesi 2015\16

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL