Artikel Terkini :
Home » , » UCAPAN INNALILLAH KEPADA BUKAN ISLAM DARI FATWA KEBANGSAAN MALAYSIA

UCAPAN INNALILLAH KEPADA BUKAN ISLAM DARI FATWA KEBANGSAAN MALAYSIA



ISU:

Kebelakangan ini saya lihat banyak perkara yang agak pelik berlaku di kalangan umat Islam Malaysia. Dengan terjadinya tragedi MH17 dan pulangnya jasad-jasad dan abu mayat mangsa, saya terlihat ramai orang Islam mengucapkan RIP atau rest in peace kepada jasad-jadad dan abu-abu mangsa bukan Islam. Malah ada yang ucapkan Innalillah... kepada mereka. Sedangkan dalam forum-forum Islam di tv dan masjid, ustaz-ustaz jemputan mengatakan perbuatan itu adalah salah dan haram. Demi menjaga akidah kita umat Islam, tolong berikan pandangan tuan. Terima kasih.

PENJELASAN:

Ucapan Innalillah adalah salah satu bentuk doa yang dibacakan kepada orang Islam yang meninggal dunia atau apa-apa musibah yang berlaku kepada orang-orang Islam. Ia diambil dari ayat al-Qur’an ṣurah al-Baqarah; ayat 156 yang bermaksud “Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan innalillah wa inna ilayhi raji’un. (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali)

Walaupun ada yang berpandangan bahawa kata-kata ini berbentuk umum dan tidak dikhususkan kepada orang Islam, namun dalam konteks kefahaman ayat al-Qur’an tersebut, penggunaannya lebih merujuk kepada musibah yang berlaku kepada orang Islam. Ayat 156 Surah al-Baqarah di atas misalnya adalah penerusan dari ayat-ayat yang merujuk kepada cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh orang-orang mukmin. Sementara dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, ketika api pelita Rasulullah terpadam, maka Rasulullah menyebut “Innalillah wa inna ilayhi raji’un.” Maka Aisyah bertanya “adakah api terpadam pun satu musibah?” Jawab Nabi “Setiap perkara yang memberi kesan buruk kepada orang mukmin adalah satu musibah”

Dari dua asas di atas adalah jelas bahawa bacaan innalillah tidak ditujukan kepada mereka yang bukan Islam. Berkaitan ucapan Rest in Peace, sepertimana yang telah dihuraikan dalam Facebook Fatwa Malaysia sebelum ini, ia adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18. Ia juga biasanya diukir dibatu nisan mereka yang telah meninggal dunia di kalangan masyarakat Kristian. Versi penuh ucapan tersebut yang berasal dari bahasa Latin itu ialah ‘May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.’

Ia juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat dari Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin. Sedangkan dari sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat dari Tuhan. Ini berdasarkan ayat al-Qur’an Surah al-Taubah:113, “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang mushrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang mushrik itu ahli neraka.”

Walaubagaimanapun Islam tidak menghalang seseorang Islam mengucapkan simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti ‘Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda’ atau ‘ kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si fulan dari keluarga anda.’

Wallahu a'lam.


( PORTAL RASMI FATWA MALAYSIA )

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Unit Penerangan & Penerbitan BKPPPM 2014/15
Share this article :

0 comments:

LAMAN RASMI PMRAM

Sejarah BKPPPM

ARTIKEL POPULAR

CHAT BOX

 
LAMAN RASMI : BLOG | FACEBOOK |
Dikuasakan Oleh Blogger
Hakcipta Terpelihara © 1433H / 2012. Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir - All Rights Reserved
Reka Bentuk Blog Oleh Lisanul Hakim I Seliaan Sepenuhnya I Unit Blog Di Bawah Unit Penerangan Dan Penerbitan BKPPPM