KUSARA`13 : KURSUS SEHARI KE AL-AZHAR BERJALAN LANCAR

Sebahagian peserta KUSARA`13

PULAU PINANG, 2 September 2013: Ardul Kinanah adalah gelaran yang tidak asing lagi buat bumi Mesir yang juga diberi jolokan sebagai bumi para anbiya’. Di sini terdapat sebuah universiti yang tertua di dunia, iaitu Universiti Al-Azhar As-Syariff. Jolokan sebagai gedung ilmu yang sangat dikagumi menjadikan Al-Azhar antara universiti yang menjadi pilihan utama untuk menuntut ilmu samada dalam bidang pengajian islam mahupun bidang pengajian sains perubatan. Menyedari hal itu, Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah mengadakan satu program yang diadakan khusus untuk bakal generasi baru yang akan melanjutkan pengajian di Mesir khususnya di Al-Azhar As-Syariff.

Sehubungan itu, program Kursus Sehari ke Al-Azhar atau dikenali dengan KUSARA telah diadakan pada hari Rabu dan Khamis tanggal 27 dan 28 Ogos 2013 Masihi bersamaan 21 dan 22 Syawal 1434 Hijrah, bertempat di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas Pulau Pinang yang disertai oleh 42 peserta terdiri dari bidang pengajian Islam dan sains perubatan. Program KUSARA bermula pada jam 3 petang dengan majlis perasmian yang dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan JAIPP, Ustaz Muhd Luqman Hakim Mokhtar. Seterusnya majlis diteruskan dengan Slot pertama iaitu “Kenali Mesir dan Al-Azhar” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Hanif Haron dan Dr. Nazrin Marzuki sebagai penerangan dan gambaran awal tentang sistem pembelajaran di Mesir. Selepas itu, para peserta disajikan pula dengan slot kedua iaitu “Kesihatan dan Keselamatan di Mesir” yang diisi oleh Al-Fadhil Ustaz Faqrurrozi Abdullah dan Dr. Afifah Rosman. Pada sebelah malamnya program diteruskan dengan slot ketiga bertajuk “Motivasi Pendidikan” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Afnan Hamimi Taib Azzamudin untuk memberi semangat dan motivasi kepada bakal mahasiswa dan mahasiswi yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah. Program pada malam tersebut diakhiri dengan slot “Taklimat Logistik dan Perjalanan ke Mesir” yang dikelolakan oleh Al-Fadhil Ustaz Khairul Aman Bistaman.

Tirai hari kedua dibuka dengan solat subuh berjemaah dan tazkirah subuh yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Hanif Haron. Setelah menikmati juadah sarapan, program diteruskan lagi dengan slot yang pertama iaitu “Bahasa Arab” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamad Sarkawi Mohmad Salleh. Para peserta ditemukan sekali lagi dengan ahli kumpulan masing-masing dalam GKB kedua dengan modul “Nak Tak?” selepas GKB yang pertama yang berkonsepkan perkenalan. Kemudian, program diteruskan lagi dengan slot terakhir iaitu “Kenali BKPPPM dan PMRAM” dan diselangi dengan “Tayangan Multimedia” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Faqrurrozi Abdullah dan Al-Fadhil Ustaz Nuruddin Amirudin. Slot ini bertujuan memperkenalkan Badan Kebajikan Pulau Pinang (BKPPPM), Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan PERUBATAN yang menjadi kesatuan mahasiswa di Mesir.

KUSARA 2013 melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup yang dirasmikan oleh Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP) Dr. Azman Abdul Samad dan ucapan ringkas dari wakil pelajar Mesir Al-Fadhil ustaz Muhammad Hilmi Md Yusof. Dengan ini, diharapkan segala objektif yang disasarkan oleh para urusetia mencapai sasarannya khusus buat generasi baru di Perlembahan Nil nanti.

Disediakan Oleh : Setiausaha KUSARA`13

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL