RIA`13 : LEBARAN DIRAI, KEGEMBIRAAN DIKONGSI



Meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri di perantauan bukan menjadi satu sebab suramnya sambutan Syawal pada tahun ini. Bagi berkongsi kemeriahan Aidilfitri pada tahun ini, Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) telah menganjurkan Sambutan Riang Ria Raya Aidilfitri, RIA’13. Sambutan RIA’13 yang berlangsung selama tiga hari ini ternyata menjadi pengubat kepada seluruh anak-anak Pulau Pinang di Mesir yang meraikan lebaran pada kali ini tanpa keluarga tersayang di sisi.

Program RIA’13 dimulakan dengan majlis perutusan raya yang berlangsung pada 7 Ogos 2013, jam 8.30 malam. Majlis yang dimulai dengan ucapan raya oleh wakil Badan Pengurus PMRAM iaitu saudara Muhammad Adil bin Mohd Fadzil kemudiannya diteruskan dengan tayangan video perutusan raya daripada saudara Abdul Aziz bin Ali selaku Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Tidak ketinggalan, majlis diserikan lagi dengan tazkirah yang disampaikan oleh penasihat BKPPPM sendiri iaitu saudara Muhammad Hafiz bin Abdul Aziz sebelum ditutup dengan video pendek yang menarik hasil karya anak-anak BKPPPM sendiri yang diberi tajuk ‘ Airmata Syawal (1) ‘.

Bagi menghidupkan lagi RIA’13 pada kali ini, unit pengisian RIA’13 telah menyusun beberapa pertandingan dan pengisian menarik untuk semua ahli BKPPPM. Antaranya pertandingan kad raya kreatif, busana menarik, Deko Riang Ria, teka gambar raya, konti Syawal FM dan corner Syawal buat tatapan semua ahli. Kegembiraan lebaran kali ini turut dirasai apabila kumpulan adik beradik BKPPPM seperti Pak Long, Pak Lang, Mak Ngah dan Mak Su diwujudkan. Lebih menarik lagi, Dewan Soleh Al-Masri yang diberi nama Kampung Riang-Riang menjadi tempat berkumpulnya semua ahli keluarga BKPPPM lantas mengubat kerinduan pulang ke kampung.

Usai solat sunat Aidilfitri beramai-ramai di Masjid Musa anjuran PMRAM pada 8 Ogos 2013, seluruh ahli BKPPPM sibuk menyediakan juadah dan hidangan makanan sebelum berkumpul bagi meneruskan sambutan RIA’13. RIA’13 diteruskan dengan perasmian majlis oleh saudara Azwan bin Azman, Yang DiPertua BKPPPM sekaligus melancarkan gimik perasmian program. RIA’13 yang berkonsepkan raya berkeluarga pada kali ini ternyata meriah apabila dihiasi dengan pelbagai aktiviti menarik pada petang hari raya pertama tersebut. Antaranya berbalas pantun, meneka lagu dan meneka rasa makanan. Selain itu, aktiviti menukar duit raya, ucapan dari wakil anak-anak BKPPPM diadakan sebagai selingan bagi menceriakan lagi RIA’13. Video ‘Airmata Syawal (2)’ juga telah ditayangkan sebagai penambah seri suasana hari raya pada hari tersebut.

Bagi menjayakan lagi pembawakan konsep sambutan RIA’13 pada kali ini, aktiviti Ziarah Mahabbah ke rumah sewa turut dijayakan oleh seluruh ahli BKPPPM. Ziarah Mahabbah yang telah dilaksanakan ternyata membuahkan impak buat seluruh ahli apabila ikatan ukhuwah dan silaturrahim antara seluruh ahli dapat dieratkan lagi.

Pada 9 Ogos 2013, sambutan malam kemuncak RIA’13 yang dikelolakan oleh gandingan mantap saudara Mohd Fariz bin Mohd Zaini dan saudari Nur Diyana Binti Khamis telah dimulakan dengan persembahan nasyid dan pentomen raya daripada barisan ahli kumpulan hebat, Pak Long dan Pak Lang. Turut ditampilkan persembahan istimewa daripada barisan pimpinan AJKT BKPPPM yang mendeklamasikan sajak pada malam tersebut. Tambah menarik, persembahan hidangan berkeluarga daripada kumpulan mak ngah dan mak su ternyata menghidupkan lagi suasana RIA’13 pada malam itu. Sambutan RIA’13 pada malam tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah daripada Yang diPertua dan Naib Pengerusi HEWI BKPPPM kepada semua pemenang ikhwah dan akhawat bagi pertandingan-pertandingan yang telah dipertandingkan sepanjang program berlangsung. Tirai RIA’13 dilabuhkan dengan tayangan video ‘Airmata Syawal (3)’ dan video kenangan RIA’13. 

Diharapkan segala objektif yang disasarkan oleh barisan jentera pelaksana RIA’13 yang diketuai oleh saudara Muhammad Muaz bin Abdul Rahim berjaya dicapai. Semoga sambutan Riang Ria Raya Aidilfitri pada tahun ini mencipta memori istimewa buat semua adik beradik BKPPPM seterusnya mengukuhkan lagi kesatuan dan ikatan ukhuwah yang sedia terpatri. 

Hari ini menanam jagung,
Hari esok menanam serai,
Hari ini kita berkampung,
Hari esok jangan bercerai.


Disediakan oleh : Setiausaha Sambutan Riang Ria Raya Aidilfitri (RIA’13)

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963