BAZARIA MUTIARA 13: SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN


KAHERAH, 1 April 2013:  Tidak sempat melepaskan lelah selepas sama-sama menjayakan LESTARY’13, seluruh ahli Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) bersatu tenaga menyiapkan persiapan sempena Bazaria Mutiara yang bermula pada 26 Mac 2013. Bazar yang telah berlangsung selama tiga hari itu tampak meriah dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus dari pagi sehingga ke malam hari.

Pelbagai jenis makanan dan minuman yang mewarnai Bazaria Mutiara’13 pada kali ini. Antaranya nasi kandar, bihun sup, char koey teow, yong tau fu, laksa penang, aneka jenis nasi berlauk dan banyak lagi. Keterlibatan taakhi BKPPPM dari Kelantan turut menjadi keistimewaan Bazaria Mutiara’13 pada kali ini apabila menu Pantai Timur turut menjadi pilihan pengunjung seperti nasi kerabu, sagupal dan lain-lain. Tidak ketinggalan juga taakhi dari DPM Shoubra dengan resepi tradisi, pasembor mereka. Gerai air Abang Tanjung juga tidak menang tangan dalam menyediakan minuman istemewa pada kali ini iaitu ais blanded, laicikang dan cendol.

Turut menarik perhatian, kewujudan dua deejay khas BKPPPM, Ustaz Shafiq bin Ismail dan Ustaz Faris yang menghidupkan suasana bazaar dengan celoteh dari konti mereka, Mutiara FM. Tidak dilupakan, kesinambungan pelaksanaan daripada LESTARY’13, ahli jawatankuasa GEMPITA turut menyediakan sudut pameran buat tatapan semua pengunjung yang hadir untuk mengenali BKPPPM dengan lebih dekat lagi. Hal ini adalah bertepatan dengan konsep pembawakan BKPPPM pada Bazaar kali ini iaitu mengimbau kembali sejarah 35 tahun BKPPPM. Bahan-bahan pameran yang menjadi tatapan para pengunjung adalah seperti album-album lama mengenai Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), BKPPPM, tokoh-tokoh kelahiran BKPPPM yang aktif di Malaysia, tokoh mahasiswa/wi mithali BKPPPM dan lain-lain.

Bazaria Mutiara’13 melabuhkan tirai pada jam 11.00 malam pada 28 Mac 2013. Kesungguhan dan kebersamaan yang hebat daripada seluruh tenaga kerja ahli BKPPPM sendiri mahupun orang luar samada secara langsung ataupun tidak langsung didahulukan dengan jutaan terima kasih.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Insya-Allah, Bazaria Mutiara bertemu kembali.

35 Tahun Meniti Usia, BKPPPM Milik Kita.

Memartabat Keilmuan, Memimpin Kesatuan.

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963