PASCA-ISLAMISME : Sejauh Mana Kebenarannya?



Pasca-Islamisme ialah satu istilah yang dibangunkan oleh para peneliti dunia pemikiran bagi merujuk kepada suatu fenomena berfikir baru yang sedang berkembang dalam kehidupan masyarakat Islam hari ini. Pemikiran pasca-Islamisme ini dijangka akan mewarnai corak berfikir masyarakat Islam dalam beberapa tempoh mendatang.

Kita selaku golongan intelektual yang belajar di Al-Azhar wajar mendekati perkembangan corak pemikiran ini dari semasa ke semasa kerana wacananya bukan sahaja menarik malah ia akan memberikan kesan tersendiri terhadap rentak perhubungan geo-politik dunia terutama antara Islam dan Barat.

Sebelum mengenali apakah itu realiti sebenar teori Pasca-Islamisme, lebih baik kita memahami terlebih dahulu apakah yang tekandung dalam istilah Islamisme.

Antara Islamisme dan Pasca-Islamisme

Islamisme yang dikemukakan oelh pemikir moden kini ialah satu bentuk aliran atau jenama pemikiran bagi merujuk kepada himpunan fenomena berfikir yang berkembang dalam masyarakat Islam bermula setelah kejatuhan khilafah Uthmaniah (1924).

Kelahirannya didorong oleh semangat yang dikenali sebagai islah (pembaikan) dan tajdid(pembaharuan) dalam kehidupan masyarakat Islam. Asas dorongan ini ialah kerana masyarakat Islamsedang didepani realiti kemerosotan ketamadunannya.

Pergerakan Islam ini dikenali dalam teks kesarjanaan di Barat sebagai “Gerakan Politik Islam”. Pelbagai kegiatan bercorak perubahan telah dijayakan oleh pergerakan-pergerakan ini meliputi dua pendekatan utama iaitu pertama, pengukuhan jatidiri keagamaan menerusi penghayatan kembali teks-teks warisan Islam dan kedua, mengkritik pemikiran dan kebudayaan yang dikembangkan oleh ketamadunan Eropah di dunia Islam.

Reaksi, sikap dan pendirian golongan Islamis ini terhadap pelbagai realiti pemikiran dan kebudayaan yang berkembang dalam masyarakatnya telah mendorong kelahiran fenomena berfikir yang kita kenali kini sebagai “Wacana Islamisme”.

Antara tokoh awal pencetus dan rujukan dalam teori islah dan tajdid dibawa oleh Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Seterusnya di perkembangkan oelh pelbagai ikon dn figure dikalangan pelopor-pelopor Gerakan Islam diseluruh negara dengan proses tajdid dan islah yang dibawa kedalam dada masyarakat.

Pasca-Islamisme pula merupakan sebuah aliran berfikir bukan satu aliran yang terasing dari Islamisme. Ia adalah suatu aliran yang bersambung atau terbit dari Islamisme itu sendiri. Oleh itu, pasca-Islamisme difahami sebagai satu bentuk aliran berfikir yang menghimpunkan corak dan gaya baru pemikiran golongan Islamis atau pergerakan politik Islam dari segi sikap, pendirian dan kefahaman mereka terhadap realiti baru dunia hari ini.

Pasca bermaksud : “Selepas, sesudah dan setelah”. Lalu Pasca-Islamisme dalam konteks pemikiran Barat merujuk kepada maksud : “Selepas Era Kebangkitan Islam”.

Kenapakah para sarjana dan cendekiawan Barat harus membangunkan istilah baru Pasca-Islamisme ini sedangkan ia terbit dari wacana Islamisme itu sendiri?

Ini kerana didapati wacana yang dikembangkan oleh golongan Islamis sejak beberapa waktu mutakhir ini mempunyai kelainannya yang tersendiri dengan wacana Islamisme sebelum ini. Sekiranya dahulu, pendekatan Islamisme tertumpu kepada langkah membezakan antara Islam dan anti-Islam atau membina tembok pemisah antara Islam dan Barat, namun sejak akhir-akhir ini, nada yang bercorak pemisahan dan pertembungan didapati mula reda.

Pasca-Islamisme juga merujuk kepada suatu pola berfikir baru yang berkembang dalam alam berfikir golongan Islamis semasa yang berusaha mencari titik temu yang saling serasi dan sesuai antara ketamadunan Islam dan moden dalam pelbagai persoalan kehidupan, politik dan ketamadunan hari ini.

Oleh kerana itu, kita akan mendapati nanti sikap dan pendirian yang semakin positif beberapa tokoh Islamis semasa yang berpengaruh tentang isu seperti demokrasi, kebebasan individu dan pluralisme yang sebelum ini dilihat secara asing. Sikap dan pendirian baru ini adalah satu anjakan pemikiran yang amat berbeza dengan pola wacana Islamisme sebelum ini.

Pasca-Islamisme cuba menjustifikasikan kesedaran masyarakat Islam pada hari ini untuk menentang kezaliman pemerintahan yang berpunca daripada kesedaran umum masyarakat Islam hasil tekanan ekonomi dan sosial yang menghimpit kehidupan mereka, bukannya berpunca dari kesedaran akidah Islam yang ditunjangi dan digerakkan oleh Gerakan Islam sejak berdekad yang lalu.

Pencetus Teori Pasca-Islamisme

Pasca-Islamisme didominasi oleh pemikiran dan tesis Asef Bayat, Olivier Roy dan Gille Kepel yang merupakan suatu pendekatan yang tidak dapat dielakkan. Ianya perlu diasimilisasikan / dipadukan menjadi satu dalam pembawaan oleh gerakan Islam kontemporari kini.

Dasawarsa kini, Islam tidak boleh berkembang dan membina ketamadunannya sendiri sekiranya tidak mengambil jalan lebih Liberal dan Pragmatis sesuai dengan acuan Barat dan kehendak zaman. Inilah yang dikehendaki oleh teori Pasca-Islamisme yang dibawa Barat.

Bagi mereka, perkumpulan-perkumpulan Islam atau mana-mana gerakan Islam sebelum ini sudah tidak relevan dalam perjuangan mereka. Bahkan setiap daripada bentuk penyampaian daripada gerakan Islam kini membawa kepada kesudahan yang kurang penting dan tidak membawa kepada sebuah kemajuan serta ketamadunan umat.

Asef Bayat mengemukakan hujah kepada sebuah gagasan kerajaan yang dilaksanakan oleh Ayatullah Khomeini di Iran merupakan antara salah satu contoh kegagalan gerakan Islam dalam sosio-pentadbiran politik mereka.

Sedangkan negara Islam yang kononnya dikemukakan oleh Ayatullah Khomeini bukanlah negara Islam tulen mengikut piawaiannya yang sebenar sebagaimana yang dikomentarkan oleh para ulama gerakan antaranya Syeikh Sa’ied Hawwa.

Asef Bayat juga mengambil model pentadbiran yang dibawa oleh Recep Tayyip Erdogan di Turki sebagai satu keberhasilan apabila memperkenalkan Islam melalui identiti lebih Liberal (melalui isu kebajikan) dalam berhadapan dengan kebangkitan rakyat dalam kurun ke-21 ini.

Apa yang dilakukan oleh Erdogan, beliau mengambil pendekatan yang lebih idealis dan moderat dengan tidak melaksanakan hukum-hukum Islam dalam perundangan demi berhadapan dengan era kini.

Kebanyakan dunia Arab antaranya Tunisia dan Mesir pada pandangan Barat perlu bangkit memperkenalkan diri mereka lebih Demokrat dan Liberal dalam menyelesaikan sesuatu isu yang timbul setelah berlakunya “Arab Spring” yang mengambil model Turki sebagai pendekatan pada era kini.

Tunisia juga dilihat sebagai mengikuti haluan pasca-Islamisme oleh Rasyid al-Ghonoushi dimana Turki menjadi contoh unggulnya pada masa ini. Akan tetapi Mesir mula menampakkan bagaimana fasa dan perubahan yang berlaku dinilai dengan berbeza oleh pihak yang memerhatikan perkembangan di dunia Arab hari ini dengan menonjolkan rupa Islam yang sebenar yang lebih tulen dan syumul.

Banyak pihak di Barat mengharapkan dasar luar yang tidak memusuhi Israel daripada negara-negara Arab yang mula menjadi lebih demokratik itu, tetapi hal itu cenderung untuk bertentangan dengan pilihan ramai rakyat di negara tersebut (Mesir). 

Satu yang menjadi persoalan ialah kenapa model Turki dengan segera dikemukakan sebagai pilihan. Ini memperlihatkan kepentingan Barat untuk menghalakan perubahan itu ke arah yang dapat mereka terima dan supaya kita bertoleransi dengan mereka dalam isu-isu yang lebih global, misalnya seperti yang pernah berlaku di Palestin dan Algeria. Semuanya dalam kepentingan dan keuntungan Barat semata-mata.

Pencernaan Kefahaman Tentang Pasca-Islamisme

Pasca-Islamisme mengikut kefahaman penulis masih merujuk kepada suatu keadaan yang sedang dalam perkembangan dan belum pasti. Jadi teori yang dibawakan oleh Asef Bayat dan oreantalis Barat lain adalah tidak boleh dijadikan kayu ukur dan piawaian kepada pembawaan yang seharusnya dijadikan gagasan kepada sesebuah gerakan dan parti Islam dasawarsa kini.

Namun, dalam sistem politik demokrasi, parti-parti Islam tidak dapat mengelak daripada terkesan dan memberi kesan kepada perkembangan politik global hari ini yang menyaksikan populisme yang semakin meningkat dan berleluasa.

Era kebangkitan rakyat pada masa ini menyediakan pelbagai peluang tetapi tidak kurang juga cabaran yang menyentuh asas fundamental sesebuah gerakan Islam (perjuangan sebenar yang dibawa oleh gerakan Islam iaitu mengembali dan membangkitkan kefahaman Islam dalam diri umatnya sesuai dengan acuan al-Quran dan Sunnah).

Perkembangan politik semasa perlu ditangani dengan cermat dan dengan pemikiran yang jelas serta mendalam oleh gerakan Islam supaya tidak terdorong memilih haluan yang bermasalah. Tanpa pemikiran yang mendalam, pendekatan yang dikemukakan sebagai moderat berkecenderungan untuk kelihatan dan muncul dalam penilaian sejarah pada masa depan sebagai tindakan oportunis semata-mata. 

Populisme semata-mata tidak sepatutnya menjadi sandaran dan modal utama gerakan Islam, yang identiti utama dan misi utamanya bukan matlamat politik dan kuasa semata-mata. Sebagai salah satu pemimpin dan ikutan umat, setiap tindakan perlu didasari asas intelektual dan moral yang jelas iaitu Islam sebagai sebuah al-Din daripada wahyu Ilahi.

Oleh itu pada pandangan optimis penulis, pasca-Islamisme merupakan racun halus musuh-musuh gerakan Islam yang cuba diserapkan dalam pemikiran ahli-ahli gerakan Islam pada hari ini.

Konklusi

Tiga perkara yang perlu diperhatikan dan direnung pada skop perbincangan ini iaitu untuk menjernihkan pemikiran kita mengikut manhaj Islam yang tulen sebagaimana yang dikehendaki oleh Imam Hassan al-Banna daripada Rukun Pertama :

“Apa yang aku kehendaki daripada al-Fahmu bahawa kamu meyakini fikrah kita adalah Fikrah Islam Tulen”.

1. Islam bukanlah Islamisme sebagaimana yang dikemukakan Barat iaitu : Hanya Gerakan Politik semata-mata. Tetapi Islam meliputi keseluruhannya iaitu Akidah, Ibadah, Akhlak, Politik, Ekonomi, Komuniti, Pendidikan, Hiburan, Sosial, Kebajikan dan lain-lain kerana Islam itu syumul (menyeluruh).

2. Teori Pasca-Islamisme yang dilihat lebih moderat (besikap sesuai dengan zaman, tidak melampau dan sesuai dengan kehendak masyarakat) adalah teori salah dan tidak tepat kerana ianya lari daripada asas Islam itu sendiri kerana bukan Islam yang perlu mengikut keadaan dan zaman tapi keadaan dan zaman yang perlu mengikut Islam.

Ini merujuk kepada Islam adalah agama daripada Allah yang mempunyai beberapa sifat dan ciri-cirinya yang tersendiri iaitu :
Rabbaniah : Ketuhanan (Sumber)
‘Alamiah : Global dan Universal
Syumul : Sejagat dan Kesempurnaan
Wasatiah : Kesederhanaan
‘Asalah wal Khulud : Ketulenan dan Kekal
Taisir wa Raf’ul Haraj : Mudah dan Menghilangkan Kesusahan
Ri’ayah Masalihul Basyar : Memenuhi Keperluan Asas Manusia
Al-Tawazun bainal Madah wal Ruh : Keseimbangan antara Material dan Spiritual
Al-Talazum bainal Aqidah wal Hayah : Hubung-kait antara Pegangan dan Kehidupan

3. Pencetus kepada kebangkitan Islam kini yang berlaku diseluruh dunia Islam adalah dibawa daripada jasa dan peranan gerakan-gerakan Islam mengikut Manhaj Haraki yang sempurna sebagaiamana kehendak Islam.

Bukanlah kebangkitan sesuatu komuniti Islam yang ada kini tercetus daripada teori-teori asing Barat ataupun yang mengambil-ceduk daripada doktrin-doktrin Eropah seperti Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme, Komunisme, Kapitalisme, Existentialisme dan lain-lain.

Wallahu a’lam.

“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”


Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012

Sumber : http://www.manhal.pmram.org/2012/11/pasca-islamisme-sejauh-mana-kebenarannya_9651.html

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL