Isu Pengklonan Dari Sudut Syariah

Teknik pengklonan terbahagi kepada dua:

1) Pengklonan janin atau embrio (embryo cloning). Pengklonan ini telah ijalankan ke atas haiwan ternakan bagi menghasilkan ternakan yang lebih kuat bakanya. Eksperimen juga pernah dijalankan ke atas janin manusia dengan menggunakan kaedah ini, iaitu bagi membantu meningkatkan pengetahuan manusia tentang pembiakan sel kanser dan lain-lain penyakit genetic seperti Parkinson dan cystic fibrosis. Dengan itu, para saintis tidak lagi perlu bergantung kepada janin yang diambil dari klinik kesuburan untuk melakukan uji kaji. Ia juga dapat mengurangkan penggunaan janin-janin asal.

2) Pengklonan dengan menggunakan teknik pemindahan nucleus (nuclear transfer technology) Kaedah ini telah digunakan bagi mencipta seekor kambing yang dinamakan Dolly. Sebelum ini belum pernah seekor mamalia dilahirkan hasil penggunaan teknik tersebut.

Pengklonan DNA dewasa melalui teknik nuclear transfer bertujuan:

1) Pembiakan (Reproductive reason): Pengklonan jenis inilah yang dilakukan baru-baru ini sehingga melahirkan bayi Eve, dan yang diberitakan akan dilahirkan lagi di sebuah negara Eropah tidak lama lagi.

2) Perubatan (Therapeutic benefits): Menurut para saintis pengklonan jenis ini adalah berbeza daripada pengklonan untuk tujuan reproduksi. Antara faedahnya ialah :

i) Bagi memperolehi "stem cell" yang akan membantu pertumbuhan sel baru

ii) Bagi mencipta organ-organ penting

iii) Membantu mengubati pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan air tulang sum-sum

iv) Membantu meningkatkan pengetahuan tentang penyakit-penyakit genetik.

 

KEPUTUSAN PANEL KAJIAN SYARIAH ;

Panel Kajian Syariah dalam mesyuaratnya pada 1 Mac 2002 telah memutuskan bahawa:

1) Pengklonan untuk tujuan pembiakan manusia hukumnya adalah haram, kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.

i) Perbuatan ini akan menjatuhkan darjat manusia sama seperti haiwan dan bertentangan dengan hikmat kejadian manusia seperti yang diterangkan Allah SWT di dalam ayat 70, surah Al-Isra', dan ayat 12-14, surah Mu'minun, juga ayat 4, surah At-Tin.

ii) Pengklonan jenis ini juga akan memberikan implikasi yang buruk kepada individu dan masyarakat. Akibatnya, akan terhakis ikatan kekeluargaan dari segi syarak dan undang-undang. Hal ini bukan sahaja akan menafikan hak si anak, malah akan menimbulkan komplikasi, jika si ‘ayah' atau si ‘ibu' tidak lagi mahu bertanggungjawab terhadap hak tersebut. Kedudukan anak serta ibu tidak lagi terjamin dari segi nafkah, harta pesaka dan sebagainya setelah berlaku perpisahan atau kematian.

iii) Kebenaran menggunakan kaedah ini kepada wanita yang tidak berkahwin akan menambahkan lagi masalah ibu tunggal dan anak yang tidak mendapat kasih sayang bapa. Hal ini menjadi lebih serius dalam jangka panjang, iaitu berkemungkinan bahawa kaum lelaki tidak diperlukan lagi kerana pembiakan tidak lagi bergantung kepada sperma lelaki.

iv) Kaedah ini juga akan memusnahkan institusi keluarga, dan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti yang tersebut di dalam ayat 30, surah Ar-Rum.

2) Kaedah ini juga tidak seharusnya dibenarkan kepada pasangan suami isteri kerana dari segi saintifik, status anak yang dilahirkan sebenarnya bukanlah ‘anak' kepada pemberi nucleus tersebut. Sebaliknya anak klon yang dihasilkan adalah ‘kembar seirasnya' yang dilahirkan pada waktu yang terlewat oleh orang yang berbeza. Hal ini akan menimbulkan implikasi terhadap status anak dari sudut syarak, seperti perwalian, nafkah, harta pusaka, penentuan aurat dan sebagainya.

3) Perbuatan mengklon janin manusia untuk tujuan kajian : Kaedah ini adalah diharuskan dengan syarat bahawa janin tersebut dimusnahkan sebelum tempoh 120 hari berdasarkan pandangan para Fuqaha' yang mengharuskan pengguguran kandungan sebelum sempurna 120 hari.

4) Pengklonan manusia untuk diambil sum-sum tulang atau mana-mana organ pada manusia yang telah diklonkan hukumnya haram kerana pengklonan ini telah melahirkan manusia yang cukup sifatnya.

5) Pengklonan untuk tujuan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu bagi menggantikan organ yang rosak hukumnya adalah harus.

KEPUTUSAN MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA KALI KE-51 PADA 11 MAC 2002

Muzakarah yang diadakan pada 11 Mac 2002 telah mengambil perhatian tentang pandangan Panel Kajian Syariah seperti yang tersebut di atas, dan telah membuat keputusan seperti berikut:

1) Pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah SWT;

2) Penggunaan ‘stem cell' bagi tujuan perubatan dan kajian, yang diambil bukan dari proses pengklonan adalah diharuskan selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum syara'.

Sumber : zaharuddin.net

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL