Garis Panduan Keselamatan Bil. 2 Tahun 2011
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH
GARIS PANDUAN KESELAMATAN BIL. 2 TAHUN 2011
KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR
GARIS PANDUAN KESELAMATAN BIL. 2 TAHUN 2011
KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR
1. Maklumat Am
1.1. Garis Panduan Keselamatan Bil. 2
Tahun 2011 dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK)
kepada semua warga Malaysia di Republik Arab Mesir. Ia adalah merupakan
susulan kepada Garis Panduan Keselamatan Bil. 1 Tahun 2011 yang
dikeluarkan oleh KBMK pada 7 Mac 2011 berdasarkan kepada situasi politik
dan ekonomi semasa Mesir.
2. Keadaan dan Maklumat Semasa
(A) Ringkasan Suasana Semasa
2.1. Semua pejabat Kerajaan, institusi
pengajian, pusat kesihatan, premis perniagaan, perbankan dan sistem
pengangkutan awam secara amnya masih beroperasi seperti biasa.
2.2. Pasukan polis telah mula kembali bertugas secara berperingkat.
Namun, waktu tindak balas (response time) oleh pihak polis tidak
menepati keperluan sebarang kecemasan. Kes-kes jenayah seperti kes-kes
pecah rumah, pergaduhan serta jenayah yang melibatkan samseng jalanan
semakin kerap dilaporkan. Keyakinan rakyat Mesir terhadap pasukan polis
awam masih belum pulih sepenuhnya.
2.3. Pihak tentera masih berada di beberapa kawasan dan premis strategik seperti di luar bangunan-bangunan kerajaan. Peranan pihak tentera mengawal keamanan di bandar-bandar dilihat kurang berkesan dan tidak banyak membantu mengurangkann kes-kes jenayah.
2.4. Kekacauan ataupun keganasan
masih berlaku termasuklah keganasan agama (sectarian violence) tetapi
tertumpu kepada bandar-bandar dan kawasan-kawasan tertentu. Tunjuk perasaan dan mogok juga berlaku di tempat-tempat dan pada masa-masa tertentu.
Tindakan tunjuk perasaan dan mogok yang diadakan oleh banyak golongan
rakyat atas pelbagai alasan termasuk menuntut kenaikan gaji, mendesak
Kerajaan Sementara (Interim) Mesir dan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera
(SCAF) membuat pelbagai perubahan politik, ekonomi dan sebagainya
dengan segera dan sebagainya, tidak membantu pemulihan ekonomi Mesir.
Kehadiran para pelancong asing juga semakin berkurangan.
2.5. Beberapa kejadian tidak diingini
yang menimpa mahasiswa-mahasiswi Malaysia baru-baru ini seperti
perselisihan faham dengan tuan rumah yang disewa, kemalangan dan
kematian sewaktu mengikuti aktiviti bukan akademik di luar pengetahuan
Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt
atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun
Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, boleh dijadikan teladan supaya
warganegara Malaysia, khususnya mahasiswa-mahasiswi lebih mengambil
berat tentang aspek keselamatan mereka dalam situasi semasa di Mesir.
2.6. Terdapat beberapa institusi
seperti pusat-pusat pengajian swasta dan pejabat-pejabat korporat
syarikat-syarikat antarabangsa telah mengumumkan akan menutup operasi
mereka pada tarikh-tarikh tertentu semasa Pilihanraya Parlimen Mesir
diadakan sebagai langkah berjaga-jaga.
(B) Peralihan kepada Pemerintahan Awam
2.7. Majlis Tertinggi Angkatan Tentera dan Kerajaan Sementara (Interim) Mesir telah menetapkan bahawa Pilihanraya Parlimen Mesir akan diadakan secara berperingkat mulai bulan November 2011 sehingga bulan Mac 2012.
Pilihanraya Parlimen yang terdiri daripada People’s Assembly dan Majlis
Shoura ini telah dimulakan dengan penamaan calon mulai 12 hingga 24
Oktober 2011.
2.8. Secara ringkasnya, Pilihanraya
People’s Assembly akan diadakan secara berperingkat mengikut
Governorates (Muhaffazah) pada 28 November 2011, 14 Disember 2011 dan 3 Januari 2012. Pilihanraya Majlis Shoura pula akan diadakan pada 29 Januari 2012.
2.9. Setiap peringkat Pilihanraya People’s Assembly akan melibatkan sembilan (9) Governorates (Muhaffazah) seperti berikut:
2.9.1. Peringkat Pertama pada 28 November 2011 – Cairo, Alexandria, Damietta, Fayoum, Port Said, Kafr El-Sheikh, Assiut, Luxor dan Red Sea.
2.9.2. Peringkat Kedua pada 14 Disember 2011 – Giza, Menoufiya (Shibin El-Kom), Sharqiya (Zaqazik), Beheira (Damanhur), Beni Suef, Ismailiya, Suez, Sohag dan Aswan.
2.9.3. Peringkat Ketiga pada 3 Januari 2012 – Gharbiya (Tanta), Daqahliya (Mansurah), Minya, Qalioubiya, North Sinai, South Sinai, Marsa Matrouh, Qena dan New Valley.
3. Langkah-langkah Keselamatan
3.1. Semua warganegara Malaysia disarankan untuk mematuhi nasihat-nasihat berikut:
(A) Pencegahan
3.1.1. Menghindari kawasan tumpuan
perhimpunan dan tunjuk perasaan seperti Dataran Tahrir, premis Kerajaan
strategik seperti Kementerian Penerangan (Maspero), Pejabat Perdana
Menteri, Pejabat-pejabat Gabenor (Muhaffiz) dsb;
3.1.2. Tidak melibatkan diri dalam
sebarang jenis perhimpunan yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan
sama ada di tempat terbuka atau tertutup atau dalam ataupun luar kampus
universiti;
3.1.3. Mengelakkan daripada memberikan sebarang komen ataupun ulasan mengenai
politik dalam Mesir kepada mana-mana individu, parti-parti politik dan
organisasi Mesir dan asing. Situasi semasa di Mesir adalah merupakan hal
ehwal rakyat Mesir semata-mata;
3.1.4. Menghadkan sebarang pergerakan
ke tempat (venue) dan aktiviti terutamanya pada hari Jumaat yang tidak
berkaitan dengan pengajian ataupun tugas pekerjaan termasuklah ceramah
politik Mesir dan rapat umum yang tidak ada kaitan dengan negara
Malaysia;
3.1.5. Mengelakkan dari berjalan-jalan / bersiar-siar di waktu malam ataupun berjalan berseorangan terutamanya bagi para mahasiswi;
3.1.6. Elakkan dari terlibat dalam pertengkaran yang
boleh membawa pergaduhan dengan mana-mana anggota masyarakat tempatan
yang kini bersemangat ‘revolusi’. Elakkan dari mengambil tindakan
bersendirian yang boleh mengundang ancaman keselamatan diri dan nyawa;
3.1.7. Mengelakkan daripada mewujudkan suasana yang tidak tenteram dengan mempercayai dan menyebarkan khabar-khabar angin (hearsay / rumours)
melalui sistem pesanan ringkas (SMS), laman sesawang seperti Facebook,
Yahoo! messenger, blog dan email. Adalah dinasihatkan supaya segala
khabar angin disemak kesahihannya dengan Kedutaan Besar Malaysia
Kaherah, atau Pejabat Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat
Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja
Pengajian.
3.1.8. Mahasiswa-mahasiswi dan para
pelajar mestilah mendapat pandangan dan kelulusan daripada Pejabat
Education Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar
Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana
yang berkenaan, sebelum mengikuti ataupun mengadakan sebarang aktiviti
sama ada secara individu ataupun berkumpulan di luar kawasan tempat
pengajian. Persatuan-persatuan dan Badan-badan Kebajikan Pelajar juga disarankan
supaya menangguhkan aktiviti-aktiviti di luar kawasan kediaman dan
kampus sehingga pilihanraya selesai melainkan setelah mendapatkan
sokongan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Pejabat Education Malaysia
Egypt atau Pejabat-pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian.
(B) Persediaan
3.1.9. Setiap warganegara Malaysia
(yang bukan mahasiswa-mahasiswi/ pelajar) yang berada di Mesir
dinasihatkan supaya mendaftarkan diri dengan Unit Konsular Kedutaan
Besar Malaysia Kaherah melalui salah satu daripada kaedah berikut:
3.1.9.1. Mengisi borang secara atas talian (online) di http://www.kln.gov.my/web/guest/ekonsular ; atau
3.1.9.2. Mengirim emel dengan
menyertakan butir-butir peribadi dan alamat perhubungan kepada alamat
emel; malcairo@kln.gov.my ; atau
3.1.9.3. Menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada waktu pejabat di nombor telefon (002) 02 3761 0013 (Encik Ahmed el Wassiff, Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah).
3.1.10. Bagi mahasiswa-mahasiswi/pelajar
Malaysia yang berada di Mesir, sila layari laman web Pejabat Education
Malaysia Egypt untuk membuat pendaftaran di
http://www.educationmalaysiaegypt.net. Pejabat Education Malaysia Egypt
juga boleh dihubungi di alamat emel: educationmalaysiaegypt@gmail.com.
3.1.11. Mematuhi sebarang arahan keselamatan termasuk perintah berkurung yang dikeluarkan oleh Kerajaan Mesir;
3.1.12. Mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen-dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan Malaysia dsb serta barang berharga di tempat yang selamat;
3.1.13. Sentiasa peka dan berwaspada kepada persekitaran dan mengemaskini maklumat semasa melalui media massa dan arahan-arahan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;
3.1.14. Menyimpan bekalan makanan dan minuman untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga (3) hari sepanjang tempoh pilihanraya. Selain itu, kad tambah nilai prabayar telefon dan wang saku tambahan disediakan dengan sewajarnya;
3.1.15. Memperkukuhkan tahap keselamatan
tempat kediaman termasuk menggunakan mangga dan kunci yang bersesuaian.
Selain itu, memastikan pintu rumah dan tingkap sentiasa ditutup rapat
dan dikunci sebelum meninggalkan rumah;
3.1.16. Memastikan supaya dokumen pengenalan diri
seperti kad pelajar universiti dan kad pelajar yang dikeluarkan oleh
Education Malaysia Egypt ataupun pasport dibawa bersama apabila
melakukan perjalanan keluar daripada rumah / kediaman. Bagi pemegang
pasport Malaysia pula, perlulah memastikan supaya visa yang berkenaan masih sah berlaku;
3.1.17. Tidak keluar rumah atau tempat tinggal pada hari-hari pilihanraya dijadualkan
dan keputusan diumumkan, melainkan perlu untuk menghadiri kuliah dan
sebagainya. Namun sedemikian, perjalanan yang perlu dilakukan itu
perlulah dipastikan keselamatannya dan mengelakkan daripada melalui
kawasan-kawasan pengundian dijalankan dan keputusan pilihanraya
diumumkan yang menjadi tempat perhimpunan orang ramai;
3.1.18. Memastikan anda dapat dihubungi
dengan mudah dan sentiasa memberikan maklumat perhubungan anda yang
terkini kepada Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (bagi
warganegara Malaysia selain mahasiswa-mahasiswi / pelajar) dan Education
Malaysia Egypt atau Pejabat-pejabat Hal Ehwal Pelajar Negeri ataupun
Pejabat-pejabat Agensi Penaja Pengajian, mengikut mana yang berkenaan
(bagi para mahasiswa-mahasiswi/ pelajar Malaysia).
4. Hal-hal Lain
4.1. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah telahpun membuat persediaan yang
sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Oleh itu, kerjasama
semua warganegara Malaysia amatlah mustahak supaya segala tindakan
susulan yang dirancang akan dapat dilaksanakan apabila perlu, dengan
lancar tanpa sebarang masalah yang tidak diingini.
4.2. Garis Panduan Keselamatan ini bukanlah jaminan keselamatan tetapi sebagai panduan untuk keselamatan diri warganegara Malaysia semasa berada di Mesir dan bagi mempermudahkan sebarang urusan bantuan sewajarnya dihulurkan sekiranya perlu.
4.3. Selaras dengan amalan
diplomasi antarabangsa, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah adalah merupakan
satu-satunya pusat rujukan warganegara Malaysia semasa berada di Mesir.
Sebarang pertanyaan bolehlah dirujuk ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah
dan Agensi-agensi Kerajaan yang bernaung di bawahnya.
Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah
Sumber : EME
Comments