Agama dan Politik pada kacamata Islam dan Sekular

AGAMA DAN POLITIK
(PADA KACAMATA ISLAM DAN SEKULAR)
Agama adalah "Satu peraturan / undang-undang Ilahi yang mendorong manusia yang memiliki akal yang sejahtera, dengan pilihan sendiri, ke arah kebaikan masa kini (dunia) dan kejayaan pada hari kembali (akhirat)".
Ianya adalah satu pegangan hidup bagi setiap manusia yang mempunyai kaitan antara perhambaan mereka kepada Allah taala. Akan tetapi hanya agama Islam yang di iktiraf kebenarannya oleh Allah sebagaimana Firman-Nya : "Sesungguhnya agama disisi Allah hanyalah Islam". (Surah Ali-Imran : 19)
Politik pada pandangan ulama' Islam adalah "Semua tindakan pemerintah yang mendekatkan rakyat kebada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan, sekalipun tanpa hukum syara’ dan nas, dengan syarat ia tidak bertentangan dengan syara". Maka inilah yang dinamakan dengan Siasah Syar’iah.
Adapun politik disisi masyarakat Barat dan Sekular hanyalah sekadar :
1. Al-Quwwah wa Saitaroh  (Penguasaan dan Pemerintahan)
2.
Maslahat wa manfaat  (Kepentingan dan Keuntungan)
Adakah ada kaitan antara Agama dan Politik disisi Sekular?


Agama dan politik adalah dua perkara yang jauh terpisah disisi Sekularisma. Ini kerana bagi pendapat mereka, agama itu datangnya daripada Tuhan manakala Politik itu datangnya daripada manusia. Inilah virus yang membarah tanpa disedar dan terus dibiarkan. 
Satu konsep yang diajarkan Bible Matius 22 : 21 berbunyi : "Berikanlah hak pemerintahan kepada pemerintah, berikanlah hak Tuhan kepada Tuhan". Itulah konsep semangat dan orientasi duniawi yang diamalkan oleh golongan Sekular.
Pada kacamata Sekular, agama itu tabiatnya suci dan bersih manakala politik pula kotor dan keji. Agama itu tujuannya adalah untuk akhirat manakala politik adalah untuk dunia. Maka tuntaslah disisi mereka mengasingkan agama hanya kepada ahli-ahlinya (rahib-rahib dan ahli agama) manakala dunia hanya untuk ahli-ahlinya (pemerintah negara dan kerajaan). Dalam erti kata agama dan politik adalah dua perkara yang tidak boleh digabung jalinkan kerana dua perkara yang berlawanan selama-lamanya tidak boleh disatukan. 
Disebabkan methodologi pemikiran inilah kita dapat melihat dalam kanvas sejarah umat Kristian sebelum ini pada kurun ke-16, ketika zaman Renaissance diperkenalkan ketamadunan Eropah kononnya ingin merealisasikan kehidupan sebenar manusia adalah dengan satu titik pemikiran bahawa agama dan politik (urusan hidup) tidak boleh disatukan.
Istilah "..Tidak ada agama dalam politik manakala tidak ada politik dalam agama" dan "Agama hanyalah semata-mata fokus untuk spiritual manakala politik semata-mata fokus kepad sekularisma.. " adalah kefahaman yang salah dan satu jarum daripada jarum-jarum musuh untuk mengasingkan umat Islam daripada kehidupan mereka. 
Musuh Islam cuba meragukan tentang kesyumulan yang sedia ada pada Islam. Oleh itu tidak peliklah jika variasi dan kepelbagaian fikrah yang dimiliki oleh umat Islam sekarang telah dicucuk oleh jarum-jarum halus musuh dengan parasit ideologi yang akan merosakkan akidah umat Islam.

Sudah timbul pada zaman sekarang golongan yang hanya mahukan akidah sahaja tanpa pedoman syariat, hanya mahu beribadah semata tanpa hiraukan kemasyarakatan, hanya mahu belajar menuntut ilmu sahaja tanpa ingin bergiat dalam apa-apa bentuk pertubuhan dan gerakan, hanya mahukan pengamalan agama jua tanpa memandang sedikitpun kepada permasalahan dunia, hanya mahu berdakwah sahaja tanpa ingin membentuk daulah (Negara Islam), hanya mahu hak mereka dtunaikan sebagai seorang rakyat tanpa ingin menyumbang walau setitis keringat bersama kesatuan dan ketuanan Islam.
APA YANG PERLU DISEDARI OLEH UMAT ISLAM ?
1. Islam yang disyariatkan Allah itu adalah bersifat Syumul (Menyeluruh).

Setiap aspek dan lapisan kehidupan kita adalah diikat dengan konsep pensyariatan Islam yang bersifat Syumul samada dari sudut kehidupan dunia mahupun akhirat, material mahupun spiritual, individu mahupun secara kolektif (berjemaah). Politik juga adalah salah satu aspek yang terdapat dalam kesyumulan Islam. Ini adalah kerana Islam datang sebagai rahmat kepada seluruh alam.
 
Firman Allah taala : "Dan telah kami (Allah) turunkan kepada kamu (Muhammad) akan al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu(semua perkara), sebagai petunjuk, rahmat dan khabar gembira bagi mereka yang beserah diri". (al-Nahl : 89)
 
2. Allah melarang daripada mengambil sebahagian sahaja daripada ajarannya.
 
Pembelajaran dalam Islam mencakupi semua bidang keilmuan dan ajaran-Nya sudah lengkap. Hakikatnya, padanyalah sahaja didapati pelbagai hukum-hukum berkisar tentang akidah, syariat, akhlak, ibadah, mu'amalah, munakahah, jinayah dan lain-lain. Semuanya mana mungkin dapat diasingkan kerana Allah taala menyeru sekalian kita agar mengamalkan Islam secara menyeluruh
 Firman Allah taala : "Wahai rang-orang Islam masuklah kedalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan (sebagaimana Yahudi mengambil separuh daripada suruhan Tuhan manakala separuh lagi mengikuti telunjuk syaitan) kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata". (Surah al-Baqarah : 208)
3. Kepentingan Daulah Islam dalam Berpolitik menyebarkan Islam

Sebagaimana para ulama' mengajar pelbagai ilmu-ilmu Islam kepada anak bangsa mereka  iaitu agar umat Islam sedar tujuan kehidupan mereka didunia iaitu menjadi Khalifah. Tidak dapat tidak Negara Islam amatlah dituntut agar hukum-hukum Tuhan dapat dilaksanakan oleh khalifah. 
Dengan kata lain : "Menegakkan agama Islam dan memerintah dunia ini dengannya (dalam konteks Islam sebagai Perlembagaan Negara)"Oleh kerana itulah pelbagai pertubuhan, parti, persatuan timbul atas dasar saling tolong-menolong bagi tujuan mewujudkan Daulah Islam.  
Firman Allah taala : "Iaitu orang-orang yang jika Kami (Allah) berikan mereka kedudukan dibumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan hanya kepada Allah kembali segala urusan". (Surah al-Hajj: 41)
4. Memahami tentang ghayah dan maslahah beragama dan berpolitik (tujuan dan kepentingan).

Agama dari sudut tujuannya bukan hanya berkisar untuk akhirat sahaja manakala politik juga bukan hanya bermain sekitar dunia sahaja bahkan kedua-duanya bertujuan membawa manusia kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Ini kerana kita tidak mengetahui apakah hakikat setiap sesuatu suruhannya melainkan hanya Dialah sahaja mengetahui hikmah yang tersembunyi. 
Oleh itu, setiap tuntutan dan kepentingan manusia itu mestilah selari dengan tuntutan dan kepentingan Allah sebagai pencipta yang Maha Mengetahui setiap perkara yang diciptakannya. Jelas bahawa dunia dan akhirat itu tidak sesekali boleh dipisahkan.
 
Firman Allah taala : "Dan antara mereka berdoa : "Ya Tuhan kami berilah kami kebaikan didunia (dalam melakukan setiap pekerjaan) dan kebaikan diakhirat (agar diperolehi ganjaran pahala) serta lindungilah kami dari azab neraka".
(Surah al-Baqarah : 201)
AL-AZHAR SEBAGAI BENTENG UTAMA MENOLAK FAHAMAN SEKULARISMA
 
Antara orang pertama yang ingin merosakkan manhaj Al-Azhar Al-Syariff yang bersifat wasatiah dan syumuliah adalah Syeikh Ali Abdul Razak dalam penulisan bukunya "al-Islam wa Usulul Hukmi" pada tahun 1925 menyatakan bahawa tiada satu pun dalil yang menunjukkan Islam menyeru kepada mengasaskan sebuah Negara Islam dan Perlembagaan Islam kerana baginya Islam itu hanyalah rigid dalam seruan yang berbentuk keagamaan semata-mata yang tidak keluar daripada institusi masjid dan hanya berbincang soal kerohanian. Tidak ada langsung perbincangan yang berhubung dengan membentuk sebuah Kerajaan Islam kerana itu semua adalah persoalan keduniaan.
Namun para ulama' Al-Azhar sedar itu adalah antara ghazwatulfikr (serangan pemikiran) yang diada-adakan oleh pihak Sekular bagi memisahkan antara agama dan politik dalam pemikiran umat Islam. Bangkitlah para ulama' al-Azhar menolak fahaman tersebut , antaranya Mufti Mesir Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti'ie dan Syeikhul Azhar Muhammad Khidr Husein melalui kitabnya "Naqdu Kitabul Islam wa Usulul Hukmi".
Tulisan seterusnya datang untuk kali keduanya pada tahun 1950 oleh Syeikh Khalid Muhammad Khalid dengan kitabnya "Min Huna Nabda" lalu terus dijawab oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya "Min Huna Na'lam".  
Begitu juga dizahirkan lagi oleh pengarang akhbar harian Al-Ahram, Dr Fu'ad Zakaria menulis dengan judul al-Haqa'iq wa al-Waha'in yang menyeru supaya semua rakyat mesir berada dalam Liberal. Lalu Dr. Yusof Al-Qardhawi mengarang kitab Wajhan li wajhin baina al-Islamiah wa al-Ilmaniah.

Begitulah seterusnya para ulama dengan penuh kesedaran cuba megembalikan ketulenan Islam yang cuba dimanipulasikan oleh golongan yang ingin meniupkan benih Sekularisma dalam diri umat Islam kerana ianya adalah persoalan yang bersangkut paut dengan Aqidah umat Islam. 
 
KESIMPULAN
Islam datang sebagai agama yang sempurna. Tidak boleh dijuzu'-juzu'kan hanya kepada aspek-aspek tertentu sahaja. Ibarat sebuah tubuh yang saling dilengkapi oleh anggota-anggota badan yang menyempurnakan jasad seorang manusia maka begitulah Islam. 
Padanya terdapat Akidah, Syariat, Akhlak, Sosial, Kemasyarakatan, Politik, Persatuan, Pertubuhan, Organisasi, Kerajaan, Pentadbiran, Keseniaan, Hiburan, Keilmuan, Ekonomi, Falsafah dan lain-lain. Itulah manhaj yang diajar oleh Al-Azhar yang bertepatan dengan acuan Islam. 
Para ulama' Al-Azhar sering mengingatkan kita bahawa Al-Azhar terbina daripada 3 rukun asas yang sentiasa digabung jalin :
1.  Ilmiah (Methodologi berdasarkan Wahyu Ilahi)
2.  Ibadah (Spiritual)
3.  Dakwah (Politik)
Wallahu a'lam.

Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Felo MANHALPMRAM
___________________________

Rujukan :
1. Al-Din wa al-Siasah karangan Dr. Yusuf Al-Qardawi : Cetakan Darul Syuruq.
2. Al-Siasah al-Syar’iyyah  fi al-Syu'un Dusturiah wal Kharijiah wal Maliah karangan
    Syeikh Abdul Wahab Khalaf : Cetakan Majalah al-Azhar bulan Zulqaiedah 1432 H.

3. 
3. Hasyiatul Amir fi Syarhil Jauharah Tauhid : Cetakan Maktabah Halabi

Sumber : MANHAL PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL