WANITA DAN FITNAH

Wanita adalah makhluk ciptaan Allah yang teristimewa dan mempunyai kelebihannya tersendiri. Bahkan Islam juga tidak membezakan darjat atau kedudukan di antara lelaki dan wanita melainkan di atas asas ketaqwaan mereka kepada Allah Ta’ala.

Tetapi lain pula keadaannya di zaman Jahiliyah, yang mana wanita ditindas dan diperlakukan sewenang-wenangnya seperti boneka yang boleh dipermain-mainkan sesuka hati. Mereka menganggap wanita tiada harga diri dan kepentingan di dalam masyarakat ketika itu, sehinggakan bayi perempuan yang dilabel pembawa sial ditanam hidup-hidup.

Namun, episod penganiayaan ke atas wanita berakhir dengan pembelaan setelah kedatangan Islam yang mengangkat kembali hak dan maruah wanita ke tempat tertinggi. Islam begitu mengambil berat akan perihal wanita dan telah meletakkan peraturan yang bersesuaian untuk kebaikannya, kerana pada diri seorang wanita itu mempunyai pelbagai kemuliaan dan juga sebab yang boleh membawa unsur-unsur fitnah andai tersasar daripada landasan fitrah seorang wanita.

Keharmonian dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, yang mana wanita itu tiang negara, jika rosak tiangnya maka rosaklah negaranya. Bak kata pepatah : “Tangan yang menghayunkan buaian, bisa mengoncangkan dunia”. Amatlah rugi dan malang bagi wanita sekiranya tidak mensyukuri akan pemeliharaan Islam ke atas dirinya dan dengan kedudukannya sekarang ini. Sedangkan manusia memerlukan kepada Islam sebagai tempat untuk berlindung dan berteduh.

Apabila disebut fitn
ah maka akan diperkaitkan dengan wanita, walhal di dalam Islam sendiri tidak ada nas yang tetap dan hadith yang sahih mengatakan wanitalah punca kepada fitnah sepertimana yang berlaku kepada Nabi Adam AS yang dikeluarkan daripada syurga ke dunia. Para ulama’ pula tidak menetapkan sesuatu hukum melainkan melihat kepada tujuan dan maslahat yang sebenar dan juga kemudaratan kepada sesuatu perkara.

Mengenai fitnah yang ada pada wanita, di mana hal itu telah diterangkan di dalam al-Qur'an dan dianjurkan supaya mereka berwaspada dan menjaga diri daripada fitnah tersebut.

Dalam sabda Rasulullah S.A.W telah diterangkan mengenai fitnah kaum wanita, : "Setelah aku tiada, tidak ada fitnah yang paling besar gangguannya bagi laki-laki daripada fitnahnya wanita." (H.r. Bukhari)
Hadith ini menunjukkan wanita mempunyai pengaruh yang besar bagi manusia, yang dikhuatiri akan melupakan pada kewajipannya, lupa kepada Allah dan terhadap agama. Sepertimana yang terdapat segolongan wanita yang menghalangi suami mereka daripada bersungguh-bersungguh dan berjihad di medan peperangan.

Fitnah wanita berlaku pada diri mereka sendiri apabila melakukan sesuatu perkara di luar batasan yang telah ditetapkan oleh syariat. Sebagaimana Islam telah menggariskan panduan semata-mata untuk memelihara wanita dengan menyarankannya menutup aurat, menjaga suara, tidak mempamerkan perhiasan, memelihara pandangan, menjaga batas pergaulan dan sebagainya.

Firman Allah Ta’ala : "Katakanlah kepada wanita beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan adanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka". (an-Nur : Ayat 31)

Dalam pada itu, fitnah berlaku kepada wanita disebabkan bilamana datangnya sesuatu perkara yang boleh mengundang kepada kemungkaran dan kemaksiatan. Sabda Rasulullah SAW : “Apabila datang seorang lelaki yang baik agama dan akhlaknya melamar anakmu, maka hendaklah kamu kahwininya dengan anakmu. Jika tidak, akan berlaku kemungkaran dan kerosakan yang besar di muka bumi”. (Ibnu Majah).

Oleh itu, seharusnya perkara baik yang tidak ada pertentangan di dalam Islam wajar dilaksanakan bagi menjaga wanita daripada berlaku perkara yang tidak elok dengan tidak menghalanginya. Jika dilihat pada dunia hari ini, amat mudah untuk wanita Islam terperangkap dengan fitnah, yang mana dieksploitasikan melalui kenikmatan dan kesenangan hidup.

Tambahan pula, dengan kemunculan Sister’s In Islam telah menggugat dan mencondongkan hati wanita Islam yang lemah imannya, bilamana pernah diutarakan oleh pertubuhan ini bahawa mereka menentang isu mempoligamikan wanita dan juga turut mempersoalkan hak wanita dalam pemilikan harta pusaka dengan lelaki adalah sama. Hal ini boleh menimbulkan keraguan, malahan sekiranya wanita Islam itu telah disogok dengan material, maka akan terikut dan terjerumus dengan pemikiran sekular. Ini merupakan salah satu hasil keberjayaan agenda Yahudi dalam menyebarkan serangan pemikiran kepada umat Islam.

Maka diwajibkan bagi wanita agar berwaspada dan berhati-hati dalam menghadapi tipu muslihat yang dirancangkan oleh musuh-musuh Islam, yang mana menjadikan kaum wanita sebagai agen perosak kepada akhlak dan seterusnya akan menjatuhkan aqidah umat Islam sendiri.

Di samping itu, perlulah diketahui bahawasanya fitnah bukan sahaja datang daripada wanita, malahan disebabkan juga daripada
fitnah harta dan anak-anak. Perkara ini telah diingatkan oleh Allah Ta’ala di dalam firmannya, : "Sesungguhnya harta-harta dan anak-anakmu adalah fitnah (cubaan bagimu); dan pada sisi Allahlah pahala yang besar." (at-Taghaabun : Ayat 15) dan firman Allah SWT lagi, : "Hai orang-orang yang beriman! Janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu mengingat kepada Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka mereka termasuk orang-orang yang rugi". (al-Munafiqun : Ayat 9).

Oleh yang demikian, dianjurkan untuk berwaspada daripada fitnah kaum wanita, fitnah harta dan anak-anak, hal itu bukan bererti kesemuanya bersifat jahat, tetapi demi mencegah timbulnya fitnah yang dapat melalaikan kewajipan-kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Walau bagaimanapun, Islam bukanlah agama yang mengongkong hak kebebasan wanita, apatah lagi dalam konteks ini, Islam membenarkan seseorang wanita keluar dari rumah untuk mencari ilmu, bekerja, mendapatkan keperluan harian dan sebagainya tetapi dengan syarat mereka menjaga maruah dan adab kesopanannya agar terhindar daripada fitnah mahupun mara bahaya dan bencana.

Oleh yang demikian, segala suruhan dan larangan yang telah ditetapkan Allah Ta’ala kepada wanita sewajarnya diikuti. Biarpun berat dan jelek pada pandangan mata si jahil dan pengingkar tetapi ianya adalah kemanisan iman yang akan dimiliki oleh wanita Islam. Tiada kesukaran untuk wanita menjadi Muslimah..Mukminah.. Mujahidah..Solehah..
Kerana...
Sebagai anak, dia boleh menjadi anak yang taat...
Sebagai mahasiswi, dia akan menjadi mahasiswi yang berjatidiri..
Sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan hati suaminya..
Sebagai ibu, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang... dan pastinya sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya...Rabbul Izzati.

Risalah أيتها الفتيات (Bil : 4)
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL