Perbahasan Ucapan Lazim Agama Islam Oleh Orang Kafir


Muqaddimah

Mutakhir ini ramai daripada kalangan orang bukan Islam menggunakan perkataan yang terkandung nama Allah dan ayat-ayat Allah dalam perbualan harian mereka. Ucapan seperti Alhamdulillah, InsyaAllah dan sebagainya seperti sudah menjadi kebiasaan bagi mereka terutama ketika berjumpa atau berbual dengan rakan mereka yang beragama Islam.

Islam Agama Fitrah

Hadith Nabi S.A.W. ada menyebutkan :

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ يُصَلَّى عَلَى كُلِّ مَوْلُودٍ مُتَوَفًّى وَإِنْ كَانَ لِغَيَّةٍ مِنْ أَجْلِ أَنَّهُ وُلِدَ عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ يَدَّعِي أَبَوَاهُ الْإِسْلَامَ أَوْ أَبُوهُ خَاصَّةً وَإِنْ كَانَتْ أُمُّهُ عَلَى غَيْرِ الْإِسْلَامِ إِذَا اسْتَهَلَّ صَارِخًا صُلِّيَ عَلَيْهِ وَلَا يُصَلَّى عَلَى مَنْ لَا يَسْتَهِلُّ مِنْ أَجْلِ أَنَّهُ سِقْطٌ فَإِنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ يُحَدِّثُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ كَمَا تُنْتَجُ الْبَهِيمَةُ بَهِيمَةً جَمْعَاءَ هَلْ تُحِسُّونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ (فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا) الْآيَةَ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Abu Al Yaman telah mengabarkan kepada kami Syu'aib berkata, Ibnu Syihab: "Setiap anak yang wafat wajib dishalatkan sekalipun anak hasil zina karena dia dilahirkan dalam keadaan fithrah Islam, jika kedua orangnya mengaku beragama Islam atau hanya bapaknya yang mengaku beragama Islam meskipun ibunya tidak beragama Islam selama anak itu ketika dilahirkan mengeluarkan suara (menangis) dan tidak dishalatkan bila ketika dilahirkan anak itu tidak sempat mengeluarkan suara (menangis) karena dianggap keguguran sebelum sempurna, berdasarkan perkataan Abu Hurairah radliallahu 'anhu yang menceritakan bahwa Nabi Shallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Tidak ada seorang anakpun yang terlahir kecuali dia dilahirkan dalam keadaan fithrah. Maka kemudian kedua orang tuanyalah yang akan menjadikan anak itu menjadi Yahudi, Nashrani atau Majusi sebagaimana binatang ternak yang melahirkan binatang ternak dengan sempurna. Apakah kalian melihat ada cacat padanya?". Kemudian Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata, (mengutip firman Allah QS Ar-Ruum: 30 yang artinya: ('Sebagai fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu"). – Hadith ke-1270 riwayat Imam Bukhari.

Islam dari sudut bahasa membawa maksud “tunduk dan patuh kepada perintah yang maha memerintah dan larangannya tanpa membantah”. Ia menjelaskan bahawasanya setiap satu kejadian yang ada di dunia ini bergerak melalui tabiat fitrah yang telah ditetapkan kepadanya. Peredaran bumi, matahari, bintang-bintang dan bulan bertepatan dengan paksinya tanpa berubah sedikitpun, begitu juga dengan benda-benda yang lain segalanya mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh yang maha berkuasa.

Begitu juga manusia, jika diperhatikan segala gerak geri yang terhasil daripada manusia segalanya mengikut ketentuan yang telah diaturkan kepadanya. segala hembusan nafas yang bergerak tanpa henti tidak kira ketika sedar mahupun tidak sedar, segala peredaran darah yang mengalir di seluruh tubuh manusia setiap masa tanpa paksaan, serta pergerakan sel-sel yang bergerak disetiap inci tubuh manusia menjalankan tugas mereka bersesuaian dengan kejadian semulajadi yang telah ditetapkan oleh yang maha berkuasa. Jelaslah disini bahawa manusia secara fitrahnya telah Islam (tunduk) pada ketentuan yang telah ditetapkan oleh yang maha berkuasa iaitu Allah Subhanahu Wata’ala.

Namun disebabkan kekuatan akal dan ilmu yang membezakan antara keimanan yang hakiki dengan kekufuran yang keji. Maka tidak hairanlah sekiranya orang bukan Islam mudah untuk melafazkan kalimah yang lazim bagi orang Islam kerana secara fitrahnya diri mereka telah pun tunduk dan patuh pada ketetapan yang telah Allah tentukan pada mereka, hanya disebabkan keegoaan serta keangkuhan mereka untuk mengenal siapakah yang menciptakan mereka serta enggan beriman dengan keesaan allah menyebabkan hati mereka tertutup dari mendapat cahaya hidayah.

Pandangan Islam

Islam mengharuskan kepada orang yang bukan Islam untuk menggunakan kalimah lazim ini dalam perbualan harian mereka dengan syarat bukanlah untuk menghina atau mepersendakan kalimah tersebut. Hal ini diqiaskan kepada pendapat para ulama dalam mengharuskan orang yang bukan Islam membaca Al-Quran.

Dr Ahmad Salim melalui kitabnya “فيض الرحمن في الاحكام الفقهية الخاصة بالقران” di dalam bab hukum-hukum yang berkaitan dengan orang bukan Islam samada mereka kafir zimmi ataupun kafir harbi telah menyatakan bahawa terdapat dua hukum bagi orang kafir membaca Al-Quran :

Pertama : Tidak Harus bagi kafir zimmi atau selainnya membaca al-Quran kerana mereka itu lebih aula untuk ditegah daripada orang yang berjunub, Ini adalah pendapat Mazhab Hanbali.

Kedua : Harus bagi orang kafir membaca al-Quran kerana mereka tidak berpegang dengan kehormatan Al-Quran dan ini adalah pendapat Mazhab Syafie. Dr Ahmad Salim menambah bahawa pengarang kitab Hasyiah Bujairimi meletakkan syarat pada orang kafir tersebut iaitu dia berharap untuk masuk Islam supaya benar bacaannya.

Imam Al-Mawardi juga menegaskan dalam kitabnya الحاوى الكبير berkenaan orang kafir itu tidak dilarang daripada membaca al-Quran.

Sebahagian besar ulama tidak menghalang orang bukan Islam untuk membaca al-Quran, ia menjadi dalil kukuh bahawa Islam juga tidak menghalang orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah yang lazim seperti Alhamdulillah dan sebagainya, kerana semua perkataan terebut asalnya daripada al-Quran.

Persoalan : Adakah Mereka Memperoleh Pahala?

Hendaklah difahami bahawa sesungguhnya dalam menentukan sesuatu hukum dalam Islam ia mestilah berpandukan pada hukum syara’. Definisi hukum menurut ilmu usul feqh iaitu segala suruhan dan larangan Allah (Al-Quran dan hadith) yang berhubungkait dengan perbuatan para mukallaf samada ia dalam bentuk tuntutan (iqtida’) atau pilihan (takhyir) atau ketentuan (al-Wad’). Orang kafir yang mengucapkan lafaz Alhamdulillah, Astaghfirullah dan sebagainya tidak mendapat pahala mahupun dosa kerana mereka tidak dikira sebagai seorang mukallaf. Seorang yang mukallaf merupakan seorang muslim dan dibebani dengan hukum wajib, haram, makruh, sunat, dan harus.

Mestilah difahami di sini bahawa dosa dan pahala itu bergantung kepada keimanan seseorang. Jika mereka tidak beriman (orang bukan Islam), maka segala kebaikan yang mereka lakukan tidak diterima oleh Allah. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Imran :


85. dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi.
Kesimpulan : Tiada larangan bagi orang bukan Islam untuk menyebut atau mengucapkan kalimah lazim bagi orang Islam serta ayat suci al-Quran selagimana ucapan itu bukanlah bertujuan untuk mempersendakan agama Islam, namun tiada ganjaran pahala bagi setiap lafaz yang diucapkan kerana segala amalan orang bukan Islam adalah sia-sia selagi mana mereka tidak beriman kepada Allah.

Rujukan :

1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sohih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Kitab Faidh Ar-Rahman Fi Al-Ahkam Al-Fiqhiyah Al-Khassah Bi Al-Quran, karangan Dr. Ahmad Salim.

Disediakan oleh,
Muhammad Hanif Jamaluddin,
Pemangku Pengerusi Felo MANHAL PMRAM.
Sumber: http://www.pmram-manhal.blogspot.com/

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963