Imtihan : Di Tahap Manakah Persediaan Kita Wahai Mahasiswa/wi Islam Sekelian?





Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Sedar ataupun tidak, kita sudahpun berada di ambang peperiksaan semesta pertama yang dijadualkan bakal berlangsung pada awal Januari depan.

Perasaan berdebar, resah, takut, risau dan kurang berkeyakinan telah menyelubungi di segenap tubuh kita. Inilah sunnah sebagai seorang penuntut ilmu yang mana tidak sunyi daripada berhadapan dengan imtihan sama ada pengajian Islam mahupun perubatan.

Imtihan yang bakal kita hadapi ini merupakan suatu tanda aras yang menentukan kefahaman kita terhadap ilmu yang dipelajari dan yang telah diajarkan oleh para doktor.

Jika di sekolah rendah dahulu kita sering jadikan peperiksaan itu sebagai tempat persaingan untuk memburu kejayaan. Kita berbangga apabila mendapati kita berada pada kedudukan pertama dalam kelas. Kita berbangga apabila mendapati kebanyakkan matapelajaran yang kita duduki mencapai keputusan sebagaimana yang kita sasarkan.

Inilah bukti kita memang benar-benar inginkan kejayaan yang cemerlang.

Namun, hari ini perkara tersebut seolah-olah tidak berlaku kepada kita. Semangat belajar yang ditunjukkan baik oleh mahasiswa mahupun mahasiswi tampak kurang memberangsangkan.

Kita lebih berminat untuk berkurung dalam bilik dan rumah seharian berada di hadapan lap top mahupun komputer semata-mata untuk mencari kenalan melalui laman sosial facebook, yahoo mesengger, dan sibuk dengan mengemaskini blog-blog, web-web dan sebagainya serta perkara-perkara yang melalaikan kita.

Perlulah difahami, bukanlah kita menolak dan tidak bersyukur di atas nikmat kecanggihan dan kemodenan teknologi yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada kita.

Manakan tidak, seluruh urusan kita dapat diselesaikan dengan kadar segera serta segala maklumat dan peristiwa yang berlaku dalam dunia ini dapat kita ketahui dengan mudah dan cepat hasil daripada kewujudan teknologi tersebut, tetapi kadang-kadang kita lupa bahkan ada di kalangan kita yang buat-buat lupa sehinggakan pelajaran yang menjadi keutamaan kita diabaikan.

Inilah sikap yang perlu diubah dalam diri kita.

Kitalah mahasiswa Islam yang memahami tuntutan Islam secara syumul tak kiralah kita ini mahasiswa aliran agama mahupun perubatan, masing-masing ada posisi dan kedudukan yang tersendiri dalam memastikan ilmu-ilmu islam yang kita pelajari ini dapat difahami dengan baik sekaligus dikembangkan untuk diwarisi kepada generasi akan datang.

Masyarakat kita pada hari ini bukan sahaja melihat kehebatan kita dari sudut bercakap, berhujah dan berpidato malahan mereka menjadikan sijil ataupun syahadah itu sebagai suatu bukti kukuh yang menunjukkan kita benar-benar mahir dalam sesuatu ilmu yang dipelajari.

Oleh itu, mahu atau pun tidak, sudah menjadi kewajipan kepada kita untuk memastikan kita benar-benar hebat dalam pengajian kita dengan dibuktikan kejayaan kita dalam peperiksaan dan segulung ijazah bakal bakal kita bawa pulang ke tanah air kelak.

Tempoh sebulan yang masih berbaki ini perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh kita semua. Tidak ada istilah bahawa kita telah pun terlambat dalam mengejar kecemerlangan dalam peperiksaan.

Selagi mana kaki kita belum lagi menjejaki ke dalam dewan peperiksaan, maka di sana kita masih lagi punyai waktu dan ruang untuk membuktikannya, yang paling penting adalah kita berjaya menyusun dan mengoptimumkan waktu belajar kita dengan baik serta fokus terhadap segara perkara yang berkaitan dengan pelajaran sama ada study group, ulangkaji, buat nota, lazimi kuliah dan sebagainya.

Rebutlah peluang yang masih lagi terhidang di hadapan mata kita ini untuk kita lonjakkan dan gilapkan keizzahan agama Islam dengan sinar kejayaan.

Kitalah mahasiswa dan mahasiswi Islam yang menjadi harapan ummah. Kitalah mahasiswa dan mahasiswi Islam yang menjadi agen perubah masyarakat.

Kitalah mahasiswa dan mahasiswi Islam yang memikirkan masa depan gerakan Islam.

Kitalah mahasiswa dan mahasiswi Islam yang sentiasa berusaha membela maruah agama Islam. Kitalah mahasiswa dan mahasiswi Islam yang cintakan Islam.

Oleh yang demikian, maka kitalah mahasiswa dan mahasiswi Islam yang selayaknya dan bertanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan agama Islam di atas muka bumi ini.

Akhirnya, marilah kita sama-sama menyahut seruan ke arah kecemerlangan dengan mejadikan kejayaan yang bakal kita raih dalam peperiksaan nanti sebagai hadiah teristimewa bukan sahaja kepada diri, ibubapa ,kaum kerabat, dan masyarakat kita bahkan yang paling teristimewa adalah buat ummah islam secara keseluruhannya.

Inilah yang menjadi bukti bahawasanya kitalah mahasiswa dan mahasiswi Islam sememangnya menyayangi Islam.


Abdul Aziz bin Ali,
Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010
Sumber:http://pmram.org/

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

AMALAN DUNIAWI VS AMALAN UKHRAWI

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden