Siri ke II : MADRASAH HADIS DI MADINAH



Madinah Al Munawwarah menjadi pusat penyebaran agama islam dan pusat fatwa pada zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin. Kelebihan yang terdapat pada kota Madinah memberi kesan kepada para Sahabat untuk terus kekal menetap di kota Madinah, bahkan tiada seorang sahabat dari kalangan muhajirin (ahli Badar) yang kembali menetap di kota Mekah selepas kewafatan Nabi melainkan Abu Sabrah.

ANTARA FAKTOR PARA SAHABAT MENETAP DI KOTA MADINAH

1. Hadis kelebihan meninggal dunia di kota Madinah
Ibn Umar ada meriwayatkan sebuah hadis bahawa rasulullah bersabda “Barangsiapa yang diberi kesempatan untuk meninggal di Madinah maka berbuatlah demikian, sesungguhnya aku memberi syafaat bagi mereka yang meninggal di Madinah” Riwayat Imam At-Tirmizi dan Imam Ahmad.

2. Semangat Ukhuwwah Islamiyah diantara Kaum Muhajirin dan Ansar.

3. Sebahagian besar hadis yang diriwayatkan oleh Nabi adalah semasa baginda di Madinah dan sukar untuk difahami hadis-hadis tersebut dengan kefahaman yang tepat kecuali setelah mengkaji keadaan dan suasana Madinah ahlinya.

Antara para sahabat yang terlibat dalam pembentukan madrasah hadis di Kota Madinah.

SAIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ

Nama sebenar beliau ialah Abdullah Bin Abu Quhafah, manakala nama sebenar Abu Quhafah ialah Usman. Bonda beliau bernama Ummul Khair.Beliau dilahirkan di Mina 3 tahun sebelum kelahiran Junjungan Mulia SAW. Beliau dilantik menjadi Khalifah Islam yang pertama pada bulan Rabiu’ Awal tahun ke 11 Hijrah.

Diantara para sahabat yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah Saiduna Umar Bin Al-Khattab, Saidina Usman Bin Affan, Saiduna Ali Bin Abi Talib, Saiduna Huzaifah Bin Al-Yaman dan Abdullah Bin ‘Abbas. Imam An-Nawawi telah mengisyaratkan di dalam kitab “Tahzib Asma’ Wa Lughat” bahawasanya Saiduna Abu Bakar As-Sidiq telah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah sebanyak 142 Hadis.

Beliau wafat pada malam Isnin selepas berlalunya 17 malam bulan Jamadil Akhir, tahun ke 13 Hijrah. Beliau memegang jawatan sebagai Khalifah selama 2 tahun 3 bulan dan 30 hari.

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB

Beliau dilahirkan di Mekah, pada hari Isnin pada bulan Zulhijjah.Beliau memeluk islam pada selepas 39 orang lelaki dan 11 wanita memeluk islam.Beliau dilantik menjadi khalifah selepas kewafatan Saiduna Abu Bakar pada Jamadil Akhir tahun 13 Hijrah.

Diatara para sahabat yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah anak beliau sendiri, iaitu Abdullah bin Umar, Hafsah dan ‘Asim. Turut meriwayatkan hadis daripada beliau ialah Saiduna Saad Bin Abi Waqqas, Talhah Bin Ubaidullah, Abdul Rahman Bin ‘Auf.

Manakala daripada golongan Tabi’in, Sa’id Bin Musayyib, ‘Abbas Bin Rabe’ah, Abdul Rahman Bin Abdul Qari, dan ‘Ilqimah Bin Waqqas.Terdapat sumber yang menunjukkan bahawa bilangan hadis yang diriwayatkan oleh Saiduna Umar daripada Rasulullah ialah sebanyak 537 buah Hadis.26 buah hadis disepakati, manakala 34 hadis oleh Imam Bukhari sahaja dan 21 buah hadis oleh Imam Muslim sahaja.

Beliau wafat pada bulan Zulhijjah tahun 23 Hijrah. Beliau wafat selepas ditikam oleh Abu Lu’lu’ah dengan 3 kali tikaman. Tempoh pemerintahan beliau 10 tahun 6 bulan 4 malam.


SAIDUNA ALI BIN ABI TALIB KARRAMALLAHU WAJHAHU

Beliau merupakan Khalifah Islam yang ke-4. Nama ayahanda beliau ialah Abu Talib, manakala bonda beliau ialah Fatimah Binti Asad Binti Hasyim Binti Abd Manaf. Fatimah Binti Asad memeluk islam dan Nabi menganggap beliau sebagai bonda Baginda SAW.Saiduna Ali banyak menghabiskan usia kanak-kanak bersama Rasulullah dan beliau mendapat tempat di hati Rasulullah SAW. Beliau merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk islam.

Saiduna Ali meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW, Saiduna Abu Bakar, Saiduna Umar, Saiduna Miqhdad Bin Al-Aswad, Saidatuna Fatimah Azzahra’ dan ramai lagi. Manakala golongan sahabat yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah Saiduna Ibn ‘Abbas, Saiduna Ibn Umar, Saiduna Ibn Zubair, Saiduna Jabir Bin Abdillah dan ramai lagi.Sesungguhnya telah berkata Masruk, bahawa “ilmu para sahabat terkumpul pada 6 sahabat, Umar, Ali, Zaid, Abi Darda’, Ibn Mas’ud dan Ubai”.

Tempoh pemerintahan Saiduna Ali ialah selama 5 tahun dan 2 bulan setengah, dan beliau wafat pada hari jumaat.

ZAID BIN THABIT

Beliau merupakan salah seorang Ulama’ Madinah, Fuqaha’ dan Muhaddis daripada kalangan sahabat.Nama sebenar beliau ialah, Zaid Bin Thabit Bin Ad-Dahhak Bin Harisah. Berasal daripada keturunan Bani Salamah, salah satu keturunan daripada Bani Al-Haris Bin Al-Khazraj. Beliau digelarkan dengan 2 gelaran iaitu Abu said dan Abu Kharijah.Memeluk islam selepas peristiwa hijrah, ketika beliau berumur 11 tahun. Beliau merupakan salah seorang daripada penulis wahyu Nabi dan Qurra’. Beliau juga mahir dengan bahasa ‘Ibraniyah salah satu bahasa kaum Yahudi di Madinah.

Beliau menimba ilmu daripada Rasulullah, dan meriwayatkan daripada Saiduna Abu Bakar, Saiduna Umar dan Saiduna Usman. Manakala golongan yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah Saiduna Abu Hurairah, Saiduna Ibn ‘Abbas, Saiduna Ibn Umar,Abu Sa’id Al-Khudry, Saiduna Anas Bin Malik dan ramai lagi.


Sunnah Rasulullah SAW merupakan sunnah yang agung.Bahkan Baginda menjadi contoh ikutan dan tauladan sepanjang zaman. Dakwah baginda selama 23 tahun untuk menyebarkan dakwah ke seluruh umat manusia diteruskan oleh para pencinta Baginda SAW sebagai merealisasikan tujuan dan harapan Baginda agar islam tersebar ke seluruh pelusuk alam.Justeru, menjadi kewajipan masyarakat Umat Islam untuk terus mempertahankan kesucian Sunnah dari dicemari oleh musuh-musuh Islam.

Ruj: Adhwak ‘ala Al Madaris Al hadisiah (An- Nasyaah wa Al Altathawwur)
Al-Allamah Dr. Mustafa Mohamad Abu ‘Imarah
Al-Ma’in Ar-Raik min Sirah Khair Al-khalaik SAW
Al-Allamah Dr. Sa’id Bin Mohamad Bin Soleh Bin Sawabi

Disediakan oleh :
(Muhammad Firdaus Bin Aznan)
Felo Manhal PMRAM

Dipetik dari : MANHAL PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL