Perbahasan Melihat Allah S.W.T

Di kalangan Ulamak Al-Mutakallimin telah membahaskan permasalahan ini dengan mendalam dan panjang sekali dalam kitab-kitab Tauhid. Ini adalah kerana pada zat Allah S.W.T itu sendiri bersifat dengan wujud. Jika kita melihat dari segi logik pada akal, setiap benda yang ada pasti dapat dilihat dan dirasai kewujudannya dengan salah satu daripada pancaindera yang lima. Namun begitu, melihat Allah S.W.T secara sedar di dunia ini tidak akan berlaku sama sekali pada sekalian makhluk melainkan pada diri Rasulullah S.A.W sahaja. Buktinya, jumhur ulamak berhujah berdasarkan kisah Rasulullah S.A.W ketika diisrak dan dimi'rajkan untuk menghadap Allah S.W.T di Sidratul Muntaha.

Manakala disisi para rasul yang lain dan sekalian manusia, mereka tidak akan dapat melihat Allah S.W.T di dunia. Ini berdasarkan kisah Nabi Musa A.S yang telah diceritakan dalam Al-Quran seperti berikut :

وَلَمَّا جَآءَ مُوسَىٰ لِمِيقَـٰتِنَا وَكَلَّمَهُ ۥ رَبُّهُ ۥ قَالَ رَبِّ أَرِنِىٓ أَنظُرۡ إِلَيۡكَ‌ۚ قَالَ لَن تَرَٮٰنِى وَلَـٰكِنِ ٱنظُرۡ إِلَى ٱلۡجَبَلِ فَإِنِ ٱسۡتَقَرَّ مَڪَانَهُ ۥ فَسَوۡفَ تَرَٮٰنِى‌ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ ۥ لِلۡجَبَلِ جَعَلَهُ ۥ دَڪًّ۬ا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقً۬ا‌ۚ فَلَمَّآ أَفَاقَ قَالَ سُبۡحَـٰنَكَ تُبۡتُ إِلَيۡكَ وَأَنَا۟ أَوَّلُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Maksudnya : "Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu. Allah berfirman: Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau dia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu. Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, berkatalah dia: Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)". (Surah Al-A'araf : 143).

Jika di hari akhirat kelak, melihat Allah S.W.T itu adalah perkara yang thabit bagi orang yang beriman dan taat kepada ajaran Allah S.W.T. Keharusan melihat Allah S.W.T ini merupakan sebesar-besar ganjaran daripada Tuhan kepada hamba-hambanya yang beriman dan beramal soleh, pemberian ini juga melebihi segala nikmat yang terdapat pada syurga.

Dalil-Dalil Keharusan Melihat Allah S.W.T


Kita telah mengatakan bahawa Allah S.W.T harus dilihat di dunia, walaupun ia tidak berlaku tetapi hanya dikhususkan kepada Rasulullah S.A.W. Begitu juga Allah S.W.T harus dilihat di akhirat khusus buat orang-orang yang beriman sekali gus menafikan hak orang-orang kafir daripada melihat Allah S.W.T. Ini adalah pandangan daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Berikut adalah dalil-dalil keharusan melihat Allah S.W.T :

1) Al-Quran, firman Allah S.W.T :
وُجُوهٌ۬ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ نَّاضِرَةٌ * إِلَىٰ رَبِّہَا نَاظِرَةٌ۬

Maksudnya : "Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang beriman) berseri-seri, melihat kepada tuhannya". (Surah Al-Qiamah : 22-23).

لِّلَّذِينَ أَحۡسَنُواْ ٱلۡحُسۡنَىٰ وَزِيَادَةٌ۬‌ۖ وَلَا يَرۡهَقُ وُجُوهَهُمۡ قَتَرٌ۬ وَلَا ذِلَّةٌ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡجَنَّةِ‌ۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ

Maksudnya : "Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya". (Surah Yunus : 26).

تَعۡرِفُ فِى وُجُوهِهِمۡ نَضۡرَةَ ٱلنَّعِيمِ

Maksudnya : "Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ)".(Al-Muthaffifin : 23).

2) As-Sunnah, Rasulullah S.A.W bersabda :


Maksudnya : Daripada Saidina Jabir Bin Abdullah R.A, beliau berkata : Adalah kami bersama-sama Rasulullah S.A.W. melihat bulan pada suatu malam (bulan purnama) lalu baginda bersabda : "Sesunggunhnya kamu akan dapat melihat Allah S.W.T seperti mana kamu melihat bulan ini. Kamu tidak akan bersesak-sesak untuk melihatNya. Jika kamu dapat mengerjakan solat sebelum matahari terbit dan terbenam, maka lakukanlah, Kemudian Baginda S.A.W membaca ayat (dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya)". (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, dan Ibnu Majah).

3) Ijma' Para Sahabat :


Para sahabat r.a telah bersepakat akan kebenaran melihat Allah S.W.T di hari akhirat.

Riwayat daripada Imam Malik bahawa beliau telah berkata : "sekiranya orang-orang beriman tidak melihat Tuhan mereka pada hari qiamat, nescaya orang-orang kafir tidak akan dihina dengan terhijabnya mereka daripada melihat Allah S.W.T".

Kata-kata ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

كَلَّآ إِنَّہُمۡ عَن رَّبِّہِمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ لَّمَحۡجُوبُونَ

Maksudnya : "Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya". (Surah Al-Muthaffifin : 15).

Menurut kefahaman daripada ayat ini, orang-orang kafir tidak akan dapat melihat Allah S.W.T di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak, kerana mereka tidak layak menerima kemulian daripada Allah S.W.T. Tambahan pula, tempat yang dikhaskan untuk melihat Allah S.W.T di akhirat kelak adalah di syurga. Orang -orang kafir bukanlah dikalangan ahlinya. Para penghuni syurga akan melihat Allah S.W.T pada hari Jumaat dan hari-hari perayaan. Yang terpilih dikalangan ahli syurga pula akan dapat melihat Allah S.W.T setiap pagi pagi dan petang. sebahagian yang lain pula akan diberikan penghormatan dengan melihat Allah S.W.T pada setiap masa. (Moga kita tergolong dalam golongan ini, Amin).

Allah S.W.T juga boleh dilihat ketika berada di padang Mahsyar lagi, ia merupakan pendapat yang sahih berpandukan kepada hadis Rasulullah S.A.W. Melihat Allah S.W.T adalah harus pada akal kerana Allah S.W.T telah menyandarkan dengan perkara yang harus iaitu penetapan gunung pada tempatnya. Justeru, semua perkara yang disandarkan kepada sesuatu yang harus, maka ia harus berlaku. Hal ini berdasarkan permintaan Nabi Musa a.s untuk melihat Allah S.W.T yang disebut dalam Al-Quran seperti berikut :

وَلَمَّا جَآءَ مُوسَىٰ لِمِيقَـٰتِنَا وَكَلَّمَهُ ۥ رَبُّهُ ۥ قَالَ رَبِّ أَرِنِىٓ أَنظُرۡ إِلَيۡكَ‌ۚ قَالَ لَن تَرَٮٰنِى وَلَـٰكِنِ ٱنظُرۡ إِلَى ٱلۡجَبَلِ فَإِنِ ٱسۡتَقَرَّ مَڪَانَهُ ۥ فَسَوۡفَ تَرَٮٰنِى‌ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ ۥ لِلۡجَبَلِ جَعَلَهُ ۥ دَڪًّ۬ا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقً۬ا‌ۚ فَلَمَّآ أَفَاقَ قَالَ سُبۡحَـٰنَكَ تُبۡتُ إِلَيۡكَ وَأَنَا۟ أَوَّلُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Maksudnya : "Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu. Allah berfirman: Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau dia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu. Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, berkatalah dia: Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)". (Surah Al-A'araf : 143).
Berpandukan ayat di atas, sekiranya melihat Allah S.W.T adalah suatu perkara yang dilarang ketika di dunia, nescaya Nabi Musa a.s tidak akan meminta seperti permintaannya yang dirakamkan dalam Al-Quran, tetapi dengan permintaan Nabi Musa a.s seolah-olah menunjukkan kepada kita bahawa perkara tersebut adalah harus bagi Zat Allah S.W.T yang Maha Suci dari segala makhluk itu untuk dilihat oleh baginda ketika itu.

Rasulullah S.A.W Melihat Allah S.W.T Secara Sedar Ataupun Sekadar Mimpi?


Berlaku sedikit khilaf di kalangan Ulamak, berkenaan keadaan Rasulullah S.A.W ketika melihat Allah S.W.T kepada dua pendapat seperti berikut :

1) Pendapat yang rajih (kuat) : Bahawa Rasulullah S.A.W melihat Allah S.W.T dengan matanya sendir pada malam Isra' dan Mi'raj. Pandangan ini disokong melalui pendapat yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas.

2) Pandangan daripada Saiyyidatina 'Aisyah r.ha menafikan peristiwa agung tersebut dengan mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W melihat Allah dalam keadaan mimpi.

Namun begitu, sandaran yang rajih adalah berdasarkan riwayat daripada Ibnu 'Abbas yang mengiyakan peristiwa tersebut. Kebanyakkan Ulamak menggunakan kaedah seperti berikut :

Maksudnya : "Bahawa apabila bertembung antara pensabitan dan penafian, maka didahulukan perkara yang thabit".

Pendapat Golongan Muktazilah Pada Permasalahan Ini

Menurut pendapat Muktazilah, bahawa Allah S.W.T tidak akan dilihat buat selama-lamanya, samaada di dunia ataupun di akhirat. Penafian ini merangkumi semua makhluk, termasuk Rasulullah S.A.W, para Rasul, orang-orang beriman ataupun orang kafir.

Mereka berpandangan bahawa Allah S.W.T Suci daripada segala yang bersifat kekurangan yang menyerupai makhluk. Apabila kita mengatakan bahawa Allah S.W.T dapat dilihat, maka ia bermaksud kita telah menyamakan Allah S.W.T dengan segala Makhluk yang berjisim, bertempat dan boleh dilihat dengan pancaindera.

Dalil Penafian

Allah S.W.T berfirman :

لَّا تُدۡرِڪُهُ ٱلۡأَبۡصَـٰرُ وَهُوَ يُدۡرِكُ ٱلۡأَبۡصَـٰرَ‌ۖ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلۡخَبِيرُ

Maksudnya : "Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata) dan Dialah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.". (Surah Al-An'am : 103).

Mengenai kisah yang berlaku kepada Nabi Musa a.s mengikut pandangan Muktazilah ialah baginda meminta untuk melihat Allah S.W.T oleh sebab kejahilan kaumnya yang membuat permintaan tersebut, bukan dengan sebab permintaan Nabi Musa a.s sendiri. Begitu juga mereka menafsirkan perkataan
"لَن تَرَٮٰنِى" membawa kepada maksud Allah S.W.T tidak akan dilihat untuk selama-lamanya.

Walaupun begitu, segala hujah mereka adalah tertolak berdasarkan dalil-dalil yang jelas dan sahih melalui padandangan daripada Jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti di atas.

Melihat Allah S.W.T Melalui Mimpi

Melihat Allah S.W.T dalam mimpi adalah Thabit dan ia berlaku ke atas ramai dikalangan para wali dan hamba Allah S.W.T yang soleh. Ini adalah kerana syaitan tidak mampu untuk menyerupai Allah S.W.T dan para NabiNya. Antara buktinya, melalui kisah yang diceritakan daripada Imam Ahmad r.a bahawa beliau telah melihat Allah S.W.T dalam mimpinya sebanyak 99 kali dan seterusnya kali yang ke 100. Dalam mimpi tersebut Imam Ahmad bertanya kepada Allah S.W.T : "Wahai Tuhanku! dengan amalan apa yang mampu untuk mendekatkan diri denganMu Ya Allah? Allah S.W.T berfirman : 'Dengan membaca kalamKu (Al-Quran)'. Bertanya Imam Ahmad lagi : 'Membaca dengan memahami (bacaannya) atau tidak? Maka Allah S.W.T berfirman lagi : 'Wahai Ahmad! membaca dengan memahami (isi kandungannya) ataupun tidak', (kedua-duanya boleh mendekatkan dirinya denganKu)". Kisah ini boleh dirujuk didalam kitab Hasiyyah Al-Baijuri 'Ala Jauharah At-Tauhid. Wallahua'lam.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang ringkas ini, dapat memberi gambaran umum kepada kita semua bahawa Allah S.W.T boleh dilihat oleh mereka yang terpilih dikalangan ummatNya (tetapi tidak sewenang-wenangnya untuk mendakwa dirinya melihat Allah S.W.T ketika di dunia lagi). Tinggal lagi amalan yang kita ingin mempersembahkan kepada Tuhan sekalian alam supaya kita terpilih oleh Allah S.W.T untuk mengecapi nikmat yang paling besar disisi Allah S.W.T dengan melihatNya dalam syurga. Mudah-mudahan artikel yang ringkas ini mampu menaikkan semangat kita untuk terus beramal dengan harapan dapat bertemu dengan Allah S.W.T di hari akhirat kelak, InsyaAllah. Moga kita tergolong dalam golongan ini. Allahumma Amin.


Rujukan

Hasyiyyah Imam Al-Baijuri 'Ala Jauharah At-Tauhid (Tuhfah Al-Murid 'Ala Jauharah At-Tauhid), tahqiq Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah Muhammad As-Syafie, Mufti Kerajaan Mesir.


Disediakan oleh :

Mohamad Hanif B Haron
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL