Disiplin Mencegah Kemungkaran

Globalalisasi kini menghadapi bencana yang amat buruk dari perlakuan kemungkaran yang berleluasa. Bahkan, lebih mengecewakan lagi, ramai dikalangan muslimin kini hanya mempunyai nilai "menyuruh orang buat baik" tanpa memberi perhatian kepada "melarang dari berlakunya kemungkaran". Malahan, masalah yang lebih berat lagi telah muncul apabila kemungkaran tidak dapat diuruskan dengan disiplin yang tepat agar keadilan kepada semua pihak tercapai.
Manusia sememangnya mempunyai nilai sensitiviti tinggi terhadap permasalahan yang mengakibatkan perasaan :
Situasi : Seorang wanita yang sedang sarat mengandung mempunyai tenaga yang sangat lemah dan tidak berdaya, tanpa belas kasihan, beliau diperlakukan dengan teruk oleh seorang pencuri sehingga mengakibatkan nyawanya melayang.


Nampak tragis bukan? Jika kita menyaksikan situasi pada ketika itu, pastinya kita akan bangkit bangun menyuarakan keadilan atas kematian wanita tersebut, mungkin juga dibenak fikiran kita, terlintas untuk membunuh pencuri tersebut dengan cara yang sama pada masa itu juga! Namun, kejadian trajis itu tidak berjaya mengaburkan "mata" perundangan Islam , kerana keadilan adalah segalanya didalam islam. Oleh itu, mangsa akan dibela oleh Islam, bahkan pembunuh juga akan dipastikan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya, tanpa menzalimi beliau sedikit pun.


"Sesungguhnya keadilan itu adalah antara nilai-nilai tertinggi dalam islam, kerana menegakkan kebenaran dan keadilan akan membawa kepada ketenangan , menyebarkan keamanan, dan memperkuatkan hubungan sesama manusia. Bahkan memperkuatkan lagi kepercayaan antara penghukum dan pesalah…" [Said Sabiq – Feqh As-Sunnah].


Justeru, kita sebagai anggota masyarakat yang berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam perlu menjadikan diri kita berdisplin dalam mencegah kemungkaran..
Allah SWT berfirman :




Maksudnya : "Wahai orang beriman, jadilah kamu kelompok yang berpegang teguh dengan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan, Adillah! Sesungguhnya keadilan itu paling hampir dengan ketaqwaan, bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah lebih mengetahui dengan mendalam setiap apa yang kamu lakukan". [Al-Maidah : 8].


Ayat Al-Quran diatas telah dijelaskan dengan ringkas, padat dan mudah difahami oleh Imam Muhammad bin Jamaluddin al-Qasimi :


"Ayat ini menunjukkan kewajipan menjalankan tugasan menyuruh kearah kebaikan dan melarang dari berlakunya kemungkaran, serta menegakkan kebenaran … , begitu juga dalam meberikan fatwa, ianya mestilah menyatakan kebenaran tanpa mengira musuh mahupun rakan, malahan beliau tidak boleh mengitu hawa nafsunya."[Tafsir Al-Qasimi].


Secara umumnya, keadilan haruslah ditegakkan dalam apa jua keadaan sekalipun, samada kita berada dikalangan orang yang menghukum mahupun kita dari kalangan saksi perbuatan kemungkaran.


Kuasa Hukuman


Lihat pula hadis yang acapkali diperdengarkan kepada kita ini..


عن أبي سعيد الخدري قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان . رواه مسلم


Daripada Abi Said Al-Khudri RA berkata : aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:


"Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka wajib baginya untuk mencegah dengan tangannya, jika beliau tidak mampu, maka cegahlah dengan kata-katanya, jika beliau tidak mampu juga, maka cegahlah dengan hatinya(membenci), sesungguhnya mencegah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman." [Hadis riwayat Imam Muslim: 49].


Tugasan mencegah kemungkaran dengan hati/ perasaan benci dan ucapan lisan/ kata-kata seperti berunding dengan orang berkaitan, menulis dengan menyatakan kebenaran tanpa diselaputi fitnah dan pembohongan tidak menjadi masalah jika dilakukan oleh individu mahupun kumpulan tertentu.. bahkan , kadangkala, ianya merupakan wasilah terbaik dalam menyelesaikan permasalahan pencegahan kemungkaran. Tetapi masalah yang besar akan berlaku apabila pencegahan yang hendak dilakukan melibatkan anggota badan seperti tangan atau anggota zahir yang lain jika tidak dafahami dengan baik , kerana ianya diterjemahkan sebagai "kuasa pemerintahan" oleh ilmuwan Islam.


Seorang ayah berkuasa atas keluarganya, seorang majikan berkuasa atas pekerjanya, dan hakim berkuasa atas penjenayah. Justeru, seorang yang hendak membela dengan melibatkan anggota badan perlu menerima tauliah / kebenaran dari pihak yang berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan. Pendapat ini disepakati oleh Imam Nawawi RH dan Said Sabiq RH.


Oleh itu, hukuman kepada pesalah tidak boleh dijatuhkah dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran pihak berkuasa, ianya adalah urusan khusus yang wajib diikuti peraturannya.


Said Sabiq RH berkata :
"Barangsiapa yang bukan dari kalangan ahli hukum maka diharamkan baginya untuk menjalankan hukuman, jika beliau mejalankan juga hukuman tersebut, beliau akan mendapat dosa, tanpa mengira status hukuman tersebut tepat dari hukum syarak ataupun tidak". [Feqh As-Sunnah].


Mengapa Kita Perlu Berdisiplin?


Selain dari menegak keadilan kepada semua pihak, berdisplin dalam mencegah kemungkaran perlu diterapkan didalam semangat perjuangan kita bagi menjamin kefahaman yang jelas terhadap hukuman Islam. Sebilangan kelompok di Malaysia telah sekian lama melaungkan slogan Islam, namun, sehingga kini, masyarakat Malaysia masih belum dapat memahami bagaimanakah keadilan yang dibawakan oleh negara Islam, malahan, orang Islam sentiasa dikenali dengan sifat bengis, suka menghukum dan tidak harmoni.
Kefahaman ini semakin subur disebabkan orang Islam itu sendiri. Kebanyakkan kita hanya suka melaungkan slogan tanpa mempraktikkan disiplin dalam beramal.
Sebetulnya, Islam harus difahami sebagaimana yang difahamkan oleh Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya ,Usul ad-dakwah :


"Islam adalah jiwa sebenar manusia dan menjadi panduan petunjuk dalam menjani kehidupan, bahkan, islam merupakan ubat yang lengkap menyembuhkan segala penyakit-penyakit manusia, ianya juga merupakan jalan kebenaran yang tidak akan sesekali menyesatkan orang yang mengikutinya.."

Tuntasnya, kita perlu berdisiplin dalam melakukan sebarang tindakan, samada tindakan tersebut berkaitan dengan individu mahupun kumpulan tertentu. Semoga, dengan usaha kita berusaha memahami Islam dengan kefahaman yang betul dan tepat, Islam dapat disebarkan dengan seluas-luasnya keseluruh pelusuk alam. Semoga Allah membantu kita.


"Islam tidak ditegakkan dengan emosi dan perasaan tidak berpuas hati, tetapi ditegakkan atas nama keadilan ".




Disediakan Oleh :
Syihabudin Ahmad,
Kuliah Dirasat Islamiah Wa Lughatul Arabiah,
Syukbah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar , Dumyat.
Sahabat MANHAL PMRAM.


Disemak oleh :
Felo MANHAL PMRAM




Rujukan :
1)Said Sabiq, Feqh As-Sunnah , Maktabah Darul Hadis, Kaherah , 2009.
2)Dr Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Dakwah, Maktabah Muassasah Ar-risalah Nasyirun, Beirut,2010.
3)Imam Al-Alamah Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, Tafsir Al-Qasimi, Maktabah Darul Hadis, Kaherah, 2003.
4)Prof. Dr al-Qasabi Mahmud Zaltha, Tafsir Ayat Al-Ahkam,Maktabah Al-majdi lil Thaqafah wal Ulum, 2008.
5)Imam Muslim RH, Sahih Muslim, Maktabah Ibnu Hizam, Kaherah , 2008.
6)Imam Nawawi RH, Shahih Muslim Bi Syarh An-Nawawi, Maktabah Darul Manar, Kaherah , 2003.

Dipetik dari : MANHAL - PMRAM

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL