Biah Solehah Membentuk Syakhsiah Mahasiswa dan Mahasiswi Islam

Assalamu'alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh

Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Ta’ala kerana masih dikurniakan nikmat Islam dan iman, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam, para sahabat serta para pengikut baginda, seterusnya para penegak agama Allah Ta'ala.

Sejak kebelakangan ini umat Islam mengalami keruntuhan moral yang sangat dahsyat. Jika dilihat di tanah air kita sendiri, pelbagai masalah sosial yang berlaku dan kebanyakannya di kalangan pemuda pemudi Islam. Masalah sosial ini menyebabkan imej dan maruah orang Islam cukup tercalar. Kes zina, buang bayi, rogol, bunuh, minum arak dan sebagainya semakin berleluasa. Kenapakah ia berlaku dan siapakah yang sepatutnya dipersalahkan? Adakah ibu bapa yang kurang memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak?

Firman Allah Taala :
Maksudnya : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka (Surah Al-Baqarah : 120)

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,

Daripada ayat tersebut kita boleh kaitkan masalah yang menimpa umat Islam pada hari ini adalah disebabkan tangan-tangan musuh Islam dan hasil usaha mereka. Bukan sahaja masyarakat, bahkan kepimpinan kita pada hari ini sudah termakan dan terpedaya dengan perancangan jahat Zionis yang berusaha sedaya upaya untuk menghancurkan Islam dan kesatuan umat Islam pada hari ini. Fahaman Sekularisme, Liberalisme dan pelbagai fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam diserap masuk ke dalam pemikiran umat Islam. Ini adalah cara yang paling berkesan bagi menghancurkan umat Islam iaitu melalui serangan pemikiran atau ghazwatul fikr. Pelbagai cara digunakan termasuk mengeksploitasi media demi mencapai cita-cita mereka.

Justeru, kita sebagai mahasiswa Islam seharusnya bangkit memperjuangkan agama dan umat Islam daripada ditindas oleh orang-orang kuffar laknatullah. Semua mahasiswa Islam perlu menyedari betapa pentingnya daulah Islamiah. Dengan tertubuhnya daulah Islamiah segala masalah sosial dan masalah lain dapat diatasi. Demi mencapai hadaf tersebut, suasana Islam di kalangan mahasiswa/wi perlu dibentuk dan diamalkan sebagaimana permulaan Islam dari biah negara kecil Madinah setelah mendapat asas pentarbiyahan di Mekah. Walaupun pelbagai mehnah dan tribulasi yang menimpa Rasulullah dan para sahabat pada ketika itu, penyebaran Islam tetap diteruskan sehingga sebuah negara Islam dapat ditegakkan.

Kita seharusnya bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada kita termasuk nikmat kesatuan dan ukhuwah. Keberadaan kita dalam PMRAM merupakan satu peluang untuk kita sama-sama belajar hidup bermasyarakat dan pada masa yang sama dapat menjalinkan ukhuwah Islamiah sesama ahli. Kesatuan dan kefahaman dari pelbagai aspek sangat penting bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur yang membawa kapada perpecahan di kalangan ahli. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “Berpeganglah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah”.

Maka, sama-samalah kita menjaga kesatuan yang dibina ini sebagaimana utuhnya PMRAM yang sehingga kini telah mencecah usia 80 tahun. Jadikanlah madrasah PMRAM sebagai medan pentarbiyahan bagi merealisasikan pembentukan biah Islamiah di bumi Mesir ini.

Antara pentarbiyahan diri dalam membentuk biah islamiah ialah :

1. Menjaga solat berjamaah
2. Menghiasi diri dengan sifat mahmudah dan membersihkan diri dari sifat mazmumah
3. Memperbanyakkan amalan-amalan sunat
4. Sentiasa berzikir mengingati Allah
5. Meninggalkan berbual kosong
6. Menjauhkan diri dari perkara yang boleh melalaikan diri
7. Sentiasa mengeratkan hubungan silaturrahim sesama Islam

Oleh itu, pembentukan biah solehah ini perlu diambil berat dan diamalkan oleh semua mahasiswa Islam bagi memastikan kita sentiasa berada dalam suasana Islam. Mudah-mudahan biah islamiah yang dibina ini dapat membentuk shakhsiah kita sebagai mahasiswa Islam sekaligus mencegah daripada berlakunya masalah sosial yang semakin parah.

Sekian, Wassalam.

“Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah”

“Kesatuan Ukhwah Manifestasi Tarbiyah”

SAMIHAH BINTI ABDULLAH
NAIB PENGERUSI HEWI III
(KETUA UNIT MUHAFAZAH) HEWI PMRAM 2010

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN MEMPELAJARI DAN MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN RASULILLAH SAW

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

Minda Pimpinan | TAWAKAL VS TAWAKUL