Bah di Utara paling buruk sejak 2005


UTARA ,7 November - : Fenomena banjir di perairan pantai utara, Kedah dan Perlis adalah antara bah paling buruk berbanding fenomena yang berlaku pada 2005.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Yap Kok Seng, berkata banjir kali ini dianggap dahsyat kerana berlaku pembentukan lekukan tropika berbanding kejadian hujan monsun pada 2005.

Katanya, pembentukan lekukan tropika dikesan di Laut China Selatan berdekatan perairan Malaysia dan ia melintasi perairan Utara Semenanjung pada 1 November lalu. “Apabila berlakunya lekukan tropika, angin sistem tekanan rendah mengakibatkan pembawaan hujan lebat ke Perlis, Kedah Utara dan utara Kelantan.

“Justeru, berlakunya banjir besar dan menjejaskan kawasan Utara Semenanjung terutama di kawasan hulu Sungai Kedah,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Difahamkan, jumlah hujan yang diterima dianggarkan melebihi purata hujan bagi Oktober dan November di kedua-dua negeri itu.

Di Alor Setar, jumlah hujan dicatatkan meningkat dua kali ganda iaitu 207mm berbanding 119 mm pada 2005; di daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Pendang (300mm hingga 530mm), dan di Perlis (260mm hingga 360mm) serta Chuping (321mm).
Mengulas mengenai keadaan cuaca di Utara Semenanjung, ia dijangka semakin baik bagaimanapun, hujan renyai serta sederhana dijangka turun berterusan pada sebelah malam dan pagi sehingga Jumaat depan.

Sementara itu, laporan yang dikeluarkan stesen Meterologi sehingga 11 pagi semalam mencatatkan jumlah hujan di Padang Besar sebanyak 7.5mm; di Sik (6.5mm), Kubang Pasu (1.7mm) dan Kota Setar, Kuala Muda, Kulim (0.0mm).

Sementara itu, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dengan kerjasama Tentera Darat Malaysia melancarkan satu misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir di Kedah dan Perlis bagi memulihkan bekalan air bersih.

Ketua Pegawai Operasi SYABAS, Datuk Ir Lee Miang Koi, berkata bagi bantuan peringkat pertama ini, 10,000 botol air minuman 5 liter, 20 buah lori tangki air dan 50 buah tangki statik akan dihantar ke sana.

Comments

Popular posts from this blog

Kebaikan Dan Keburukan Teknologi Moden

FAKTOR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

SEJARAH HARI MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963